Bayangkan, ini keadaan ketika bertemu kali kedua, mereka meluru memeluk saya seperti anak-anak saya sendiri. Tetapi di sini saya dapat dari mereka yg baru kenal sehari.
Ketika itu saya terdetik satu perkara, mereka mahu perhatian.
Anak ini kehilangan ibu ayah kandungnya sewaktu mereka masih bayi dan masih anak kecil, jadi dari mana mereka nak mencari kasih sayang?
Tak sempat nak bermanja atau bergurau senda. Ibu dah tak ada, tak dapat nak mengada-ngada atau merengek macam anak-anak kita bermanja, dan tak ada ayah nak mengadu jika mereka susah atau inginkan sesuatu.
Saya pun tak sekuat mereka…
Sebaknya membaca luahan hati kecil Irma Hasmie saat menceritakan pengalamannya menyertai misi bantuan musim sejuk anjuran Islamic Relief Malaysia.
Irma yang merupakan salah seorang barisan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia bersama Diana Amir, Elfaeza Ul Haq, Ashraf Muslim dan Saujana giat menjalankan pelbagai projek bantuan pek makanan Ramadan bagi membantu pelarian Syria serta penduduk di Palestin, Somalia, Bosnia & Herzegovina, Kosova dan Albania.
“Pengalaman mengikuti misi kemanusiaan ke Gaziantep, sempadan Turki Januari lalu memberi kesan emosi mendalam pada diri saya. Kebanyakan pelarian Syria di Turki terdiri daripada ibu tunggal dan anak yatim yang melarikan diri tanpa sebarang harta atau bekalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Meskipun kerjaan Turki menyediakan bantuan untuk mereka namun pastinya bantuan itu tidak mampu menanggung sepenuhnya keperluan kira-kira 3.6 juta pelarian Syria yang berlindung di negara itu,” kata Irma Hasmie.
Irma berharap, dengan bantuan kempen Iftar for Syrian Children with Irma Hasmie ini sedikit sebanyak dapat menceriakan Ramadan pelarian Syria dalam menikmati juadah berbuka dan bersahur.
PROJEK UTAMA
Bagi Diana Amir pula, projek menyalurkan bantuan kepada warga Bosnia & Herzegovina digerakkan tidak hanya untuk meringankan beban yang ditanggung penerima manfaat malah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kita yang mungkin kurang tahu mengenai kesusahan orang Islam di sana.
Masyarakat Muslim di Bosnia tersepit di tengah-tengah percampuran etnik Croatia dan Serb. Kebajikan mereka sering diketepikan dan hak mereka turut dinafikan.
Pengalaman mengikuti misi kemanusiaan ke Bosnia pada tahun 2018 memberi pandangan berbeza kepada Diana dalam menilai keindahan salah sebuah negara Balkan itu. Diana menjelajah negara Bosnia dan Kosovo menerusi kempen Ramadhan Rescue with Diana.
Somalia tidak terkecuali dalam senarai negara yang dibantu.
Elfaeza Ul Haq, selebriti kelahiran Singapura yang pernah mengikuti kembara tanpa tiket pulang ke negara yang tersenarai antara 10 negara paling bahaya untuk dikunjungi itu sentiasa bersemangat apabila berbicara mengenai pengalaman menyantuni penduduk di bumi tandus itu.
“Imej kanak-kanak yang kurus, bermata kuyu, perut besar dan dihurung lalat, sentiasa segar dalam ingatan Elfa. Dalam keadaan panas terik, budak-budak dan orang tua terpaksa berjalan ratusan kilometer untuk mendapatkan air.
Pengalaman yang Elfa temui di Somalia banyak membuka minda dan mengajar Elfa erti syukur. Disebabkan itu, Elfa bersungguh-sungguh untuk cuba kumpulkan dana lebih dari sasaran RM35,000 sebab Elfa nak bantu lebih ramai lagi penduduk Somalia,” jelas Elfa.
Islamic Relief adalah sebuah organisasi bantuan dan pembangunan kemanusiaan antarabangsa yang bebas, mempunyai ibu pejabat di United Kingdom, dan ditubuhkan pada tahun 1984.
Islamic Relief telah berkhidmat di lebih 45 buah negara dan kini mempunyai rangkaian tetap di lebih 32 buah negara merangkumi lebih 100 buah cawangan di seluruh dunia.
Sehingga kini, Islamic Relief telah membantu lebih daripada 120 juta orang tanpa mengira perbezaan bangsa, agama mahupun warna kulit. Skop bantuan Islamic Relief merangkumi bantuan kecemasan, pembangunan mampan bersepadu, pengurangan risiko bencana, dan advokasi.
This website uses cookies.