Sudah menjadi kelaziman, tiap kali 18 Februari tiba pasti Bunga Citra Lestari (BCL) dan anak tersayang, Noah akan menziarahi pusara Allahyarham Ashraf Daniel Mohamed Sinclair. Kembali ke pangkuan ilahi pada tanggal 18 Februari 2020, tahun ini masuk tahun ketiga BCL hidup tanpa kelibat suami di sisi.
Pastinya bukan mudah bagi penyanyi terkenal kelahiran Indonesia ini untuk menjalani hidup seharian. Namun demi Noah, dia bangkit meneruskan kehidupan bersama-sama.
Hadir ke pusara suami tercinta dengan busana merah jambu dan selendang rona senada serta berkaca mata hitam, terpancar wajah penuh kerinduan Bunga terhadap insan tercintanya itu.
Turut kelihatan menemani Bunga ialah anak lelaki kesayangan, ahli keluarga dan kenalan. Taburan kelopak bunga ros warna putih dan merah memenuhi pusara Allahyarham Ashraf yang juga pelakon popular di Indonesia.
Tidak pernah sesekali melupakan tarikh-tarikh penting bersama arwah Ashraf, meskipun suami tercinta sudah kembali ke rahmatullah namun Bunga tetap mengingati hari lahir dan ulang tahun perkahwinan mereka.
Sambil menggengam erat tangan anak, luah Bunga di pusara arwah Ashraf, “Hey you, anaknya udah gede (sudah besar) nih.”
Ternyata perkongsian tersebut meraih hampir sejuta tanda like daripada followers Bunga Citra Lestari.
Pelantun lagu Wanita Terbahagia ini mendirikan rumah tangga bersama Ashraf pada 9 November 2008. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-15 perkahwinan mereka.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Noah Sinclair yang kini berusia 13 tahun.
This website uses cookies.