Anda Peminat Tempoyak? 2 Resipi Ini Jamin Buat Anda Kecur Liur Sekarang. Cubalah!

Di kalangan masyarakat Pahang dan Perak, pasti aroma tempoyak menjadi bahan utama dalam setiap menu masakan. Tapi berdasarkan penelitian, tempoyak dipercayai mengandungi jumlah kalori yang besar selain padat dengan protein, karbohidrat, kalsium dan zat besi.

Jika anda bingung untuk menyediakan juadah seisi keluarga, apa kata anda cuba dua sajian berasaskan tempoyak yang kami kongsikan ini. Selamat mencuba!

PAIS TEMPOYAK IKAN PATIN BAKAR

    

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan patin (saiz sederhana dipotong 2 & dikelar)
  • 15 tangkai cili padi
  • 2 cawan tempoyak
  • 1 inci kunyit hidup
  • 2 helai daun kunyit
  • 5 tangkai daun kesum
  • 4 helai daun kaduk
  • 2 batang serai
  • Garam
  • Gula

Cara membuat:

Kisar cili padi dan kunyit hidup hingga halus. Masukkan tempoyak, garam dan gula secukup rasa. Kisar hingga sebati. Hiris halus daun kunyit, serai, daun kesum dan daun kaduk. Kemudian, masukkan ke dalam tempoyak tadi bersama daun kesum yang telah direlai. Gaul hingga sekata.

Seterusnya, lumurkan campuran tempoyak ke seluruh ikan patin. Letakkan di atas daun pisang dan balut kemas. Akhir sekali, bakar ikan hingga masak.

 

SAMBAL TEMPOYAK PUCUK UBI KAYU

Bahan-bahan A:

  • 1 genggam pucuk ubi
  • ½ genggam daun kaduk
  • 5 helai daun kunyit
  • 5 batang serai (dihiris halus)
  • 1/3 cawan petai (dibuang kulit)
  • ½ cawan terung pipit
  • 1 liter santan
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 genggam ikan bilis (dibersihkan & dicuci)
  • 3 sudu besar tempoyak
  • Garam
  • Gula

Bahan-bahan untuk dikisar halus:

  • 8 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ cawan cili padi kampung (dicampur hijau & merah)
  • 1 inci kunyit hidup

Cara membuat:

Hiris halus pucuk ubi dan daun kunyit serta dimayang petai yang telah dibuang kulit. Bersihkan ikan bilis dan toskan sebelum ditumbuk kasar. Seterusnya, panaskan kuali dan masukkan bahan-bahan yang dikisar bersama tempoyak, ikan bilis dan santan. Kacau rata hingga mendidih dan kelihatan pekat dengan api sederhana.

Kemudian, masukkan petai dan biarkan ia masak sebentar. Masukkan pula pucuk ubi, daun kaduk, daun kunyit, terung pipit dan serai serta digaul sebati. Akhir sekali, masukkan asam gelugor dan perasakan garam serta gula secukup rasa. Masak dengan api sederhana. Apabila sudah pekat, tutup api dan sedia untuk dihidang.

Resipi: TERIMA KASIH MARINA KHAIRUDDIN, MM CATERING ENTERPRISE, KUANTAN, PAHANG

Share
Published by
Zully