Gaya Hidup

Anda SELALU SAKIT? Tubuh Tunjuk Isyarat-Isyarat Ini Ketika Stres, Semak Yang Mana Satu Puncanya

Kehidupan urban dan gaya hidup yang serba pantas dilihat sebagai faktor utama stres. Ramai yang tidak sedar bahawa keadaan ini boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya.

Kesan yang paling kerap berlaku adalah demam, selesema, gangguan makan dan gangguan tidur. Kaum wanita sering menganggap stres sebagai perkara yang ringan. Namun, sebenarnya mereka lebih terdera apabila dilanda stres.

Sebagaimana yang diketahui, tugas seorang wanita tidak terhad di pejabat semata-mata. Apabila pulang ke rumah banyak tugas lain sedang menanti.

Tugas menguruskan rumah tangga, menjaga keperluan suami dan anak-anak adalah tugas yang tidak pernah berhenti. Oleh itu wanita perlu tahu bagaimana cara untuk mengatasi stres agar hidup lebih ceria disamping keluarga.

Stres timbul apabila wanita dihantui masalah pekerjaan, masalah dalam hubungan, masalah kewangan dan kesunyian. Kadang-kadang masalah kesihatan juga boleh menjadi punca stres.

Isyarat Tubuh

(a) Rahang

Tanda stres: Rahang kaku dan kadang-kadang gigi bergesek ketika tidur.

Cara meredakan: Tuam air panas di sekitar rahang sebelum tidur. Air panas ini dapat membantu mengurangkan rasa sakit di bahagian. rahang

(b) Hidung

Tanda stres: Bersin dan selesema. Stres menurunkan daya tahan tubuh dan mendedahkan kepada alahan.

Cara meredakan: Mungkin ubat alahan membantu tetapi bersenam secara konsisten selama 30 minit dapat mengeluarkan epinephrine yang boleh melegakan tubuh.

(c) Rambut

Tanda stres: Rambut semakin nipis. Tekanan dan stres boleh mempengaruhi pertumbuhan rambut.

Cara meredakan: Ambil suplemen zat besi, Omega-3 dan Vitamin B12 seperti brokoli dan ikan salmon sebagai makanan yang penting untuk rambut.

(d) Kulit

Tanda stres: Ketika stres, tubuh mengeluarkan adrenalin tambahan. Sebum keluar lebih banyak dan membuat kulit berminyak dan berjerawat.

Cara meredakan: Cuci wajah dengan sempurna sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pembersih gel sangat sesuai untuk mengeluarkan minyak.

Amalan Bijak

Sokongan keluarga dan teman yang rapat

Jika rasa diri keseorangan dan dilanda sepi, jangan pendam masalah seorang diri. Cuba luangkan masa dengan mereka dan berkongsi masalah yang terbuku di dalam hati. Sedikit-sebanyak beban di bahu akan berkurangan.

Sikap yang positif

Semua orang mempunyai stres masing-masing, bukan anda seorang sahaja yang melaluinya. Memiliki sikap yang positif dalam menghadapi stres dapat menghindarkan penyakit. Cuba renungi diri dan ambil langkah yang positif.

Bersenam

Ketika stres melanda, cuba bersenam. Bersenam dapat membantu tubuh menghilangkan stres dengan mudah. Latihan pernafasan sangat efektif untuk menangani stres. Apabila perjalanan darah lancar, otak juga akan cergas.

Rekreasi

Mempunyai hobi yang dilakukan secara konsisten dapat membantu mengurangkan stres. Aktiviti sederhana yang dilakukan bersama keluarga atau teman untuk menghabiskan masa bersama dapat membantu mengurangi ketegangan diri.

Gaya Hidup Sihat

Menjalani gaya hidup yang sihat seperti diet yang seimbang, tidur yang mencukupi, tidak menunda kerja dan memanfaatkan waktu yang berkualiti dapat membantu menangani stres. Komunikasi yang mudah dengan orang di sekeliling juga turut membantu. Hamizatul Maizan Mohamed

Share
Published by
Norzalina