Tergamam seketika mendengar butir bicara yang terpacul dari bibir Joy Revfa. Dalam kesamaran dia mencari sinar bahagia, wanita cekal ini masih mampu tersenyum dan memberi kata-kata semangat buat wanita lain. Apakah yang membuatkan dia begitu kuat menghadapi dugaan hidup ini sedangkan fikiran dan mindanya bersarang dengan seribu satu pertanyaan?
Dengan riak muka tenang, pemilik nama Siti Arifah Mohd Amin ini mengungkap kata. Sekali gus menjelaskan kepada Nona dari mana datangnya kekuatan hari ini. “Sebagai manusia kita tak terkecuali berdepan semua ini. Kegagalan hari ini saya anggap satu anugerah daripada Allah sebenarnya. Saya dapat banyak ‘hadiah’ daripada Allah yang mana saya boleh ubah diri jadi lebih sempurna.
Kalau dulu diri ini cetek hal agama, tapi sekarang Alhamdulillah saya semakin dekat dengan ajaran Allah. Bukan disebabkan kegagalan yang lalui, saya harus berhenti melangkah. Tapi ia buat saya lebih bersemangat untuk keluarga dan anak.
Andai cabaran anda lebih teruk berbanding saya, bangkitlah. Ingat, dugaan itu anugerah daripada Allah. Jangan putus asa dan teruskan berlari walau pun berkali-kali jatuh tersungkur. Kuatkan diri dengan doa, bertawakal dan muhasabah diri. Saya tak cakap diri ini sudah sempurna tapi saya belajar untuk sampai ke tahap itu,” pesannya menahan sebak.
Masih menanti keputusan mahkamah berhubung status perkahwinannya bersama penyanyi lelaki, Hafiz Hamidun, Joy berkata dia sedia menerima apa juga takdir Allah yang telah ditetapkan buatnya. Biarpun dia memiliki segala kemewahan dan kerjaya yang membanggakan namun sebagai seorang wanita, masih terdetik di lubuk hati usahawan MERVE ini untuk dibelai dan disayangi insan bernama suami.
“Kalau rumah tangga bergolak memang ramai yang menyalahkan wanita. Seolah-olah semua kesalahan ditujukan kepada wanita. Kalau boleh kita tak mahu saling menyalahi antara satu sama lain. Sebagai ketua keluarga misalnya, jaga dan hormatilah keluarga anda.
Sebenarnya wanita tak minta lebih masa pun daripada anda. Cukup bila suami mampu buat mereka gembira, tersenyum dan rasa bahagia. Dan seelok-eloknya menerima kekurangan isteri. Mungkin isteri banyak silap tapi suami harus membimbing.
Bagi saya sebelum bernikah, tanya hati perkahwinan ini berlandaskan kepada apa? Andai kata berpaksikan Allah SWT, inshaallah akan dapat keredaanNya. Kalau satu lagi hati ada niat yang lain, mana mungkin rumah tangga akan menjadi. Cinta sejati itu datang daripada dua hati yang benar-benar ikhlas mencintai. Dalam masa sama, apa jua cabaran tak akan buat mereka terputus.”
Tatkala ditanya adakah dia serik untuk menerima jodoh sekali lagi, ibu kepada Muhammad Arryan Firdaus ini nyata tidak merasakan sedemikian sebaliknya hanya timbul sekelumit rasa takut andai perkara sama masih berulang.
“Sebagai wanita saya perlu seorang suami untuk membimbing, mendampingi dan membawa saya ke syurga Allah. Kalau di dunia kita kenal orang yang baik, kita dapat kebahagiaan. Jumpa orang buruk pula akan dapat satu pengalaman dan kalau seandainya dipertemukan dengan insan jahat, Allah hendak bagi pengajaran kepada kita. Jangan rasa diri ini serik atau takut. Kita sebagai wanita kena kuat. Memang ada yang mahu hidup sendiri saja dengan anak-anak. Tapi kalau ada nakhoda kapal untuk melayari bersama-sama, bukankah itu lebih indah?”
Ketahui pengalaman hidup dan sisi peribadi Joy Revfa selanjutnya dalam Nona Oktober 2017.SUZIANAABUDAUD