Tercengang mengetahui perkahwinan gilang-gemilang selebriti China, Angelababy dan Huang Xiaoming ini bernilai tidak kurang daripada USD31 juta! Ia sekali gus menjadikan majlis resepsi pasangan selebriti popular negara tembok besar tersebut sebagai yang termahal pernah diadakan di sana. Mendapat gelaran ‘Chinese Kim Kardashian’ dari Vogue, Angelababy atau nama sebenarnya Yang Ying dilahirkan pada 28 Februari 1989 di Shanghai, China. Ibu Angelababy berasal dari Shanghai sementara bapanya merupakan rakyat Hong Kong yang berketurunan Jerman dan China.
Laporan Forbes mendedahkan majlis bersejarah Angelababy dan Huang dianggarkan mencecah tidak kurang daripada USD31 juta. Meskipun perkahwinan tersebut diadakan hampir empat tahun lalu iaitu pada tahun 2015… namun kemewahan persandingan mereka masih tersenarai sebagai perkahwinan termewah di China hingga ke hari ini.
Ads
Bergelar isteri pada usia 26 tahun, gaun perkahwinan yang dipakai Angelababy nyata berjaya mencuri tumpuan. Mana tidaknya, gaun dari label mewah Perancis, Dior tersebut diperbuat daripada 115 kaki ivory satin organza dan 165 kaki tulle yang mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan.
Bukan itu saja bahkan kek perkahwinan mereka setinggi 10 kaki dan berinspirasikan carousel juga mengambil masa selama sebulan untuk diselesaikan. Eksklusif sangat!
Menerusi Instagram milik Angelababy, aktres ini pernah berkongsi gambar cincin perkahwinan kepada peminat di laman media sosial. Apa yang mengejutkan ialah sebentuk cincin bertatah berlian ‘Josephine Aigrette Imperiale’ rekaan jenama perhiasan mewah Paris, Chaumet berkenaan bernilai lebih USD1.5 juta!
Pada majlis persandingan yang diadakan 8 Oktober 2015… Angelababy dan suami menjemput seramai 2,000 tetamu ke majlis bersejarah mereka yang turut menyaksikan acara pra-perkahwinan diadakan di Paris dengan pengantin perempuan mengenakan persalinan mewah dan anggun dari Elie Saab.
Paling best, tetamu yang hadir menerima bermacam-macam cenderahati dan salah satunya berupa telefon pintar Meitu!
Bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik, comel, bergaya dan kaya… nama Angelababy juga dikenali di China dan Hong Kong. Memulakan karier sebagai pelakon dan model, personaliti ini menarik perhatian dunia apabila dia berkahwin dengan pelakon terkenal China, Huang Xiaoming yang 11 tahun berusia darinya. Angelababy dan Huang dikatakan menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun dan hanya mendedahkan kepada umum tentang perhubungan mereka pada tahun 2014.
Ads
Sejak kecil Angelababy sudah didedahkan dengan dunia fesyen memandangkan bapanya memiliki empayar fesyen di Shanghai. Bagaikan sudah sebati dengan kerjaya bapa tersayang, jelitawan ini begitu tertarik dengan fesyen dan menceburkan diri dalam bidang peragaan.
Bersandarkan wajah sempurna, susuk tubuh tinggi lampai dan cita rasa fesyennya… Angelababy telah menandatangani kontrak bersama Style International Management ketika usianya baru mencecah 14 tahun iaitu setahun selepas dia berhijrah ke Hong Kong.
Ads
Mewarisi bakat berniaga dari bapanya, selebriti ini juga mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan, kafe dan butik pakaian. Berdasarkan populariti yang diraih, Angelababy telah dilantik wajah kempen Christian Dior di China selain merupakan antara artis paling kaya di Hong Kong yang memiliki kekayaan USD50 juta. Begitu juga suaminya yang mempunyai harta kekayaan USD80 juta.
Sebagai menghargai jasa peminat dan masyarakat di sana, pasangan ini berbesar hati memberi sumbangan berjumlah USD2.5 juta sebagai dana untuk membantu graduan universiti memulakan perniagaan atau mencari pekerjaan.
Pada tahun 2016, Forbes mengiktiraf Angelababy sebagai salah seorang daripada Top 30 selebriti muzik, atlet dan bintang filem bawah umur 30 tahun yang mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.
Sumber: Forbes & Showbizz Daily
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hanya tinggal dua hari sahaja lagi tibanya lebaran. Jika tahun-tahun sebelum ini bahang Aidilfitri sudah mula dirasai dengan meriah, berbeza pula suasananya tahun ini. Apatah lagi dengan keadaan negara yang masih ‘berperang’ dengan virus Covid-19.
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah perutusan istimewa, khusus buat petugas-petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Selangor Royal Official di laman media sosial, DYMM Sultan Selangor bertitah, “Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada petugas-petugas di barisan hadapan (frontliners) khususnya kepada para doktor, jururawat dan kakitangan hospital.
Beta amat menghargai pengorbanan yang dilakukan khususnya dalam mendepani risiko merawat kes-kes jangkitan wabak berbahaya Covid-19 yang masih menular. Beta berdua
sentiasa mendoakan agar anda semua terus dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk berkhidmat demi negara. Terima kasih dan Selamat Hari Raya.”
Sehari sebelum perutusan istimewa ini, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya
Aidilfitri kepada rakyat beragama Islam di Selangor dan seluruh negara.
“Sempena bulan yang mulia ini, suka Beta ingatkan agar sekalian rakyat memperbanyakkan ibadat serta menjauhi perbuatan tidak baik yang boleh mendatangkan dosa seperti menyebarkan fitnah dan berita palsu yang boleh memberi kesan yang tidak elok kepada masyarakat.
Di kesempatan ini juga Beta ingin menyeru orang Melayu agar terus bersatu-padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan. Apatah lagi Aidilfitri kali ini kita sambut dalam suasana yang amat berbeza di ketika umat Islam seluruh dunia kini diduga dengan penularan wabak berbahaya Covid-19.
Apa yang penting, rakyat mesti bersatu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dan ekonomi negara terus kukuh.
Beta ingin mengingatkan agar budaya dan amalan-amalan biasa ketika menyambut Hari Raya selama ini harus kita ubahsuai buat sementara waktu, mengikut norma-norma baharu. Amalan seperti kunjung-mengunjung dan salam-bersalaman tidak sesuai diamalkan buat masa ini bagi mengelak risiko penularan wabak yang masih ada di luar sana.
Budaya balik ke kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri juga haruslah dielakkan. Jangan berkumpul atau anjurkan majlis rumah terbuka yang hanya akan memungkinkan wujudnya kluster-kluster baharu jangkitan. Meskipun statistik jangkitan kes baharu Covid-19 di Selangor semakin menunjukkan penurunan, namun kita harus terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Beta sentiasa berdoa agar Negeri Selangor yang kita kasihi ini dan rakyatnya terus dipelihara Allah Subhanahu Wata’ala sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, harmoni serta dijauhi dari malapetaka, bencana dan segala musibah yang tidak kita ingini. Selamat Hari Raya Aidilfitri.”
Sumber: Selangor Royal Official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pencarian Hero Remaja melabuhkan tirainya pada 6 November 2021 dengan menobatkan Muhammad Amirul Aiman bin Norazman atau lebih dikenali sebagai Mierul Aiman, 23 sebagai juara Hero Remaja edisi kesebelas pada tahun ini.
Menerusi siaran langsung selama satu jam setengah di saluran Astro Ria, On Demand dan aplikasi Astro Go, empat orang finalis akhir yang terpilih untuk berentap di pentas finale bersama-sama Mierul Aiman ialah Aqil Taqeeuddin bin Tuhit (Aqil Taqee), Muhammad Fazziq Muqris bin Mohd Shariff (Fazziq Muqris) dan Afiq Hilman bin Hamidon (Afiq Hamidon).
Pada malam tersebut, mereka telah dihakimi oleh dua orang juri tetap program Hero Remaja iaitu Datuk Rosyam Nor dan Dewi Remaja 2005/2006, Scha Alyahya tanpa kehadiran juri jemputan.
Cabaran pertama yang perlu dilalui adalah pengacaraan solo secara langsung. Cabaran kedua adalah persembahan sketsa mengikut idea, skrip dan memilih pelakon iringan sendiri dan cabaran ketiga adalah sesi soal jawab (Q&A) bersama juri tetap.
Ternyata setelah diadili dalam tiga segmen tersebut, Mierul Aiman mendahului lain-lain peserta dengan persembahan yang cukup menyakinkan juri serta penonton.
Mierul dinobatkan sebagai juara manakala kedudukan finalis lain adalah seperti berikut; Naib Juara, Aqil Taqee; Pemenang Tempat Ketiga, Fazziq Muqris dan Pemenang Tempat Keempat, Afiq Hamidon.
Dua lagi kategori yang turut disampaikan pada malam tersebut menjadi milik Aqil Taqee bagi kategori Hero Inspirasi dan Syazani Zainal bagi kategori Hero Favourite hasil undian peminat di laman web rasmi Majalah Remaja sepanjang percarian berlangsung.
Pencarian Hero Remaja 2021 turut menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos. Ia juga meraikan kehadiran penaja, NIVEA Men menerusi beberapa episod yang ditayangkan.
Foto: Sharinizam Othman & Azfarina Sulaiman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, busana warna putih gading yang disarung Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah nyata mencuri tumpuan tetamu. Semuanya kerana persalinan puteri bongsu KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.
Meskipun usia busana tradisi berkenaan sudah lebih tiga dekad namun ia masih terletak cantik tatkala Tengku Puteri Jihan memakainya dan yang lebih penting memiliki nilai sentimental tersendiri.
Mana tidaknya, persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.
Maknanya sejarah sama kembali berulang. Dahulu, Tunku Azizah yang menyaksikan ayahanda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong… tapi kini giliran Tengku Puteri Jihan pula mengulangi momen serupa dan memakai persalinan sama bonda tersayang!
Tengku Puteri Jihan yang berusia 17 tahun berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri. “Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.
Lensa kamera pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut berjaya merakam kelibat putera dan puteri baginda. Kelima-lima puteri baginda tampak cukup manis dengan persalinan baju kurung tenun Pahang dan dihiasi dengan selendang putih serta mahkota di kepala.
Istimewanya, persalinan indah yang dipakai adalah dari Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh banduan-banduan terpilih dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Manakala putera-putera baginda pula segak menggayakan busana songket dengan corak jalur menegak.
Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.
Sumber: BERNAMA / Kredit foto: Instagram Malaysia Royal Family & Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...