ANGELABABY Cipta Sejarah Perkahwinan Termahal Di China, Harga Cincin Je USD1.5 Juta!

Tercengang mengetahui perkahwinan gilang-gemilang selebriti China, Angelababy dan Huang Xiaoming ini bernilai tidak kurang daripada USD31 juta! Ia sekali gus menjadikan majlis resepsi pasangan selebriti popular negara tembok besar tersebut sebagai yang termahal pernah diadakan di sana. Mendapat gelaran ‘Chinese Kim Kardashian’ dari Vogue, Angelababy atau nama sebenarnya Yang Ying dilahirkan pada 28 Februari 1989 di Shanghai, China. Ibu Angelababy berasal dari Shanghai sementara bapanya merupakan rakyat Hong Kong yang berketurunan Jerman dan China.

Laporan Forbes mendedahkan majlis bersejarah Angelababy dan Huang dianggarkan mencecah tidak kurang daripada USD31 juta. Meskipun perkahwinan tersebut diadakan hampir empat tahun lalu iaitu pada tahun 2015… namun kemewahan persandingan mereka masih tersenarai sebagai perkahwinan termewah di China hingga ke hari ini.

Bergelar isteri pada usia 26 tahun, gaun perkahwinan yang dipakai Angelababy nyata berjaya mencuri tumpuan. Mana tidaknya, gaun dari label mewah Perancis, Dior tersebut diperbuat daripada 115 kaki ivory satin organza dan 165 kaki tulle yang mengambil masa hampir lima bulan untuk disiapkan.

Bukan itu saja bahkan kek perkahwinan mereka setinggi 10 kaki dan berinspirasikan carousel juga mengambil masa selama sebulan untuk diselesaikan. Eksklusif sangat!

Menerusi Instagram milik Angelababy, aktres ini pernah berkongsi gambar cincin perkahwinan kepada peminat di laman media sosial. Apa yang mengejutkan ialah sebentuk cincin bertatah berlian ‘Josephine Aigrette Imperiale’ rekaan jenama perhiasan mewah Paris, Chaumet berkenaan bernilai lebih USD1.5 juta!

Pada majlis persandingan yang diadakan 8 Oktober 2015… Angelababy dan suami menjemput seramai 2,000 tetamu ke majlis bersejarah mereka yang turut menyaksikan acara pra-perkahwinan diadakan di Paris dengan pengantin perempuan mengenakan persalinan mewah dan anggun dari Elie Saab.

Paling best, tetamu yang hadir menerima bermacam-macam cenderahati dan salah satunya berupa telefon pintar Meitu!

Bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik, comel, bergaya dan kaya… nama Angelababy juga dikenali di China dan Hong Kong. Memulakan karier sebagai pelakon dan model, personaliti ini menarik perhatian dunia apabila dia berkahwin dengan pelakon terkenal China, Huang Xiaoming yang 11 tahun berusia darinya. Angelababy dan Huang dikatakan menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun dan hanya mendedahkan kepada umum tentang perhubungan mereka pada tahun 2014.

Sejak kecil Angelababy sudah didedahkan dengan dunia fesyen memandangkan bapanya memiliki empayar fesyen di Shanghai. Bagaikan sudah sebati dengan kerjaya bapa tersayang, jelitawan ini begitu tertarik dengan fesyen dan menceburkan diri dalam bidang peragaan.

Bersandarkan wajah sempurna, susuk tubuh tinggi lampai dan cita rasa fesyennya… Angelababy telah menandatangani kontrak bersama Style International Management ketika usianya baru mencecah 14 tahun iaitu setahun selepas dia berhijrah ke Hong Kong.

Mewarisi bakat berniaga dari bapanya, selebriti ini juga mengusahakan perniagaan berasaskan kecantikan, kafe dan butik pakaian. Berdasarkan populariti yang diraih, Angelababy telah dilantik wajah kempen Christian Dior di China selain merupakan antara artis paling kaya di Hong Kong yang memiliki kekayaan USD50 juta. Begitu juga suaminya yang mempunyai harta kekayaan USD80 juta.

Sebagai menghargai jasa peminat dan masyarakat di sana, pasangan ini berbesar hati memberi sumbangan berjumlah USD2.5 juta sebagai dana untuk membantu graduan universiti memulakan perniagaan atau mencari pekerjaan.

Pada tahun 2016, Forbes mengiktiraf Angelababy sebagai salah seorang daripada Top 30 selebriti muzik, atlet dan bintang filem bawah umur 30 tahun yang mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.

 

Sumber: Forbes & Showbizz Daily

 

Share
Published by
Suzi