Seperti yang kita sedia maklum, pelakon wanita Malaysia berketurunan Cina, yang pernah popular menerusi watak Lucy dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an kini telah memeluk agama Islam sebaik bergelar isteri kepada pelakon veteran, Sabri Yunus.
Ardini Angeline Tan merupakan nama Islam yang dipilih oleh Sabri sendiri khusus buat isteri tercinta apabila mereka selamat diijabkabulkan pada 14 Oktober lalu.
Angeline Tan Mahu Jadi Contoh Kepada Anak, Jika Mereka Berhajat Peluk Islam!
Nona sempat menemubual Angeline dan bertanya tentang bagaimanakah penerimaan anak-anaknya yang masih menganuti agama Buddha apabila mengetahui ibunya kini sudah memeluk Islam?
“Pada masa ini anak-anak saya menerima pengislaman saya dan mereka sangat baik serta memahami,” ujar Angeline.
Sehubungan itu, memandangkan Angeline menerima maklum balas positif dari anak-anak dan ketika di soal adakah mereka (anak-anak) akan turut mengikut jejak langkah Angeline memeluk Islam, ini respon yang diberikan.
“Bagi Angeline, bukan tak mahu mengajak anak-anak sekali memeluk agama Islam. Tetapi biar Angeline menjadi satu contoh yang baik dahulu.
“Apabila tiba masanya, jika anak-anak sendiri punyai kemahuan untuk memeluk Islam, fahami konsep dan menerima Islam, Angeline akan berbesar hati mengajak mereka,” katanya.
Angeline berkata demikian ketika ditemui team NONA pada majlis resepsi perkahwinan yang ketiga, berlansung di Rose Hall, Glo Damansara Mall pada Ahad lalu.
Angeline Belajar Agama Dengan ‘Ustaz’ Sabri Yunus Dulu
Mengulas lanjut tentang bagaimana dia mempelajari Islam sebagai seorang saudara baharu, Angeline mendedahkan bahawa ia bukan perkara yang mudah. Namun, bebrsyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan baik yang sudi berkongsi ilmu agama bersama dirinya.
Jelasnya lagi, dek kerana jadual tuntutan kerja yang mulai padat, dia belum sempat untuk menghadiri mana-mana kursus agama untuk memantapkan iman sebagai seorang mualaf.
“Sebenarnya selama ini, abang Sabri adalah ustaz Angeline. Dia yang bimbing Angeline. Saya belum lagi sempat hadiri kursus agama.
“Tapi saya banyak belajar dari abang, orang sekeliling dan juga ustaz-ustaz lain yang abang kenal dan mereka banyak beri ilmu kepada saya.
“Malah, abang selalu ada masa untuk terangkan kepada saya tentang konteks-konteks dalam Islam. Jadi buat masa ni, saya belajar dengan ustaz Sabri Yunus dulu,” jelasnya sambil senyuman manis terukir di bibir.
Jelas terpancar kebahagiaan dan keserian di wajah kedua-dua mempelai tatkala bersama-sama menjawab soalan yang diajukan wartawan dengan begitu tenang.
Nona mendoakan agar ikatan perkahwinan yang terjalin diantara Sabri Yunus dan Ardini Angelin Tan berkekalan hingga ke syurga.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!