Penampilan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-99 menarik perhatian ramai. Anggun berhijab dan mengenakan persalinan kurung biru, Baginda berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen UiTM itu pada 2 September lepas yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.
Menerusi perkongsian di media sosial rasmi Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM menyampaikan anugerah kepada 107 penerima ijazah Doktor Falsafah, Sarjana Kepakaran Klinikal dan 15 graduan terbaik.
Dalam titah ucapan, Baginda mahu agar isu diskriminasi gaji khususnya bagi graduan yang baharu menamatkan pengajian perlu dikaji semula dengan penetapan bayaran minimum mengikut keperluan, ekonomi dan inflasi semasa.
Titah Baginda lagi, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini tidak setaraf dengan kelayakan graduan dengan isu gaji tidak selaras serta tidak setimpal terhadap permintaan dan penawaran kerja sering dipersoal.
Dalam memartabatkan Bumiputera melalui institusi pengajian tinggi serta memenuhi keperluan industri, Baginda menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti untuk bekerja lebih keras bagi memastikan graduan lebih relevan dengan pasaran kerja.
Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan berangkat ke Sidang 2 Istiadat Konvokesyen UiTM pada 3 September dan menyampaikan ijazah kepada 997 graduan dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
Seramai 28,020 graduan dari pelbagai bidang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada istiadat konvokesyen sehingga 17 Oktober depan.
UiTM memaklumkan sebanyak 27 sidang konvokesyen berlangsung di UiTM Kampus Shah Alam melibatkan penganugerahan kepada 25,459 graduan.
This website uses cookies.