Kebahagiaan mengulit insan kecil yang di gelar cucu sememangnya memberi seribu kemanisan buat diva Indonesia, Krisdayanti. Pada usia 47 tahun, Krisdayanti atau lebih mesra disapa KD meraikan majlis istimewa “Tedak Siten” untuk cucu sulungnya, Ameena Hanna Nur Hatta yang kini mencecah usia tujuh bulan.
Ameena merupakan cahaya mata sulung Aurelie Hermansyah Atta dan suami tersayang, Atta Halilintar.
Anggun mengenakan kebaya renda dengan kain batik Jawa, diva popular Indonesia, Krisdayanti sekeluarga mengenakan busana rona jingga yang tampak mewah laksana Gusti Raden Ayu!
Turut sama menyertai acara keluarga ini tentulah Anang dan Ashanty yang turut mengenakan busana rona sedondon.
Penampilan Aurel dan puterinya yang mengenakan busana kebaya warna peach rekaan Asky Febrianti yang mencuri perhatian. Ibu dan anak ini tampak serasi berkebaya warna baby peach dengan kebaya labuh yang dipadukan kain batik Jawa.
Tedak Siten merupakan budaya warisan leluhur masyarakat Jawa untuk bayi yang berusia sekitar tujuh atau lapan bulan sebagai upacara turun tanah. Kebiasaannya, adat ini dilakukan bertujuan agar anak membesar menjadi anak yang boleh berdikari.
Jika di Malaysia, upacara jejak tanah atau adat memijak tanah adalah sebahagian daripada budaya bangsa Melayu yang merujuk kepada anak kecil yang baru pandai bertatih, dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang permulaan kehidupannya.
Upacara jejak tanah dijalankan secara berbeza dari satu tempat ke tempat lain, baik dari segi cara atau peralatan yang digunakan barangan yang digunakan, malahan kebiasaannya upacara itu akan disertakan dengan majlis ringkas kenduri doa selamat.
Malah tidak banyak bezanya dengan upacara Tedak Siten dimana upacara ini sebagai satu bentuk pengormatan kepada bumi sebagai simbolik untuk si kecil mula melangkah mengenali dunia.
Majlis ini juga diserikan dengan doa agar zuriat penyeri kehidupan rumah tangga ini berjaya dalam segala yang dilakukannya.
Walaupun menjalani kehidupan seharian dalam suasana moden, pujian harus diberikan buat Atta Halilintar dan Aurel kerana masih mengangkat tradisi ini sebagai salah satu yang perlu diwarisi oleh generasi akan datang agar tradisi yang diamalkan dalam masyarakat Jawa ini diteruskan dari satu generasi ke generasi yang lain.