Kebaya Kain Batik Sido Drajad, Gaya Tradisional NIKITA WILLY Di Majlis “Tedak Siten”Issa Xander Djokosoetono

Sedar tak sedar, nampaknya putera sulung Nikita Willy dan suami tersayang, Indra Priawan telah genap tujuh bulan baru-baru ini. Kebiasaannya, masyarakat keturunan Jawa akan menjalani adat Tedak Siten bagi meraikan bayi yang menjadi lambang kebanggaan dalam keluarga.


Nikita Willy juga tidak terkecuali dari mengadakan majlis Tedak Siten buat putera tersayang, Issa Xander Djokosoetono atau lebih dikenali sebagai Baby Izz baru-baru ini.


Nikita sekeluarga mengenakan sepersalinan pakaian Jawa lengkap di mana Nikita anggun mengenakan kebaya tradisi. Pasangan ini mengenakan batik dikenali sebagai Sido Drajad di mana sido membawa maksud sebuah harapan manakala drajad

pula melambangkan darjat dan keberatan. Sekaligus ia membawa maksud mendalam buat anak kecil ini sebagai anak yang akan memiliki masa depan yang penuh kebaikan.


Menyingkap dekorasi keseluruhan majlis, ia mendapat sentuhan @didietmaulana yang mengetengahkan konsep biru langit dengan palette warna trend 2023 iaitu tranquil blue. Warna tersebut membawa maksud harmoni dan variasi penuh ketenangan.
Tedak Siten merupakan budaya warisan leluhur masyarakat Jawa untuk bayi yang berusia sekitar tujuh atau lapan bulan sebagai upacara turun tanah. Kebiasaannya, adat ini dilakukan bertujuan agar anak membesar menjadi anak yang boleh berdikari.


Acara Tedak Siten baby Izz dimulakan dengan Nikita Purnama Willy mencucikan kaki si comel diikuti proses menapakkan kaki Baby Izz ke tujuh dulang berisi beras berwarna warni. Kemudian Baby Izz ditempatkan di dalam sebuah kurungan khas yang diisi pelbagai barangan berupa permainan yang akan dipilih oleh bayi berkenaan.

Menurut tradisi masyarakat Jawa, pemilihan tiga barangan dari dalam kurungan khas oleh bayi berkenaan melambangkan kerjaya yang bakal dipilih oleh bayi berkenaan apabila dewasa kelak.


Jika di Malaysia, upacara jejak tanah atau adat memijak tanah adalah sebahagian daripada budaya bangsa Melayu yang merujuk kepada anak kecil yang baru pandai bertatih, dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang permulaan kehidupannya.


Upacara jejak tanah dijalankan secara berbeza dari satu tempat ke tempat lain, baik dari segi cara atau peralatan yang digunakan barangan yang digunakan, malahan kebiasaannya upacara itu akan disertakan dengan majlis ringkas kenduri doa selamat.


Malah tidak banyak bezanya dengan upacara Tedak Siten dimana upacara ini sebagai satu bentuk pengormatan kepada bumi sebagai simbolik untuk si kecil mula melangkah mengenali dunia.
Majlis ini juga diserikan dengan doa agar zuriat penyeri kehidupan rumah tangga ini berjaya dalam segala yang dilakukannya. Semoga Baby Izz membesar dalam lingkungan kasih sayang tanpa berbelah bahagi dari keluarga tersayang.


Untuk rekod, Indra Priawan merupakan pewaris konglomerat Blue Bird Group, perusahaan teksi Blue Bird yang sudah beroperasi di Indonesia lebih dari 40 tahun. Sebelum perkhidmatan pengangkutan secara online diperkenalkan, teksi biru ini jadi salah satu pengangkutan utama di Indonesia.

Lulusan Universitas Indonesia jurusan Teknik Mesin 2013 turut mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan di bawah nama PT Indra Investama. Nikita dan Indra selamat melangsungkan perkahwinan pada 16 Oktober 2020 yang lalu.

Share
Published by
Rosmah Idayu