Tahun ini masuk tahun ke-11 jelitawan Marion Rose Caunter Abdullah menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim dan isteri kepada SM Nasarudin SM Nasimuddin. Mendirikan rumah tangga dengan jejaka kacak yang juga pewaris Naza Group pada 16 Disember 2010, Marion yang dahulunya merupakan pengacara, DJ dan model kini berstatus ibu kepada tiga orang anak.
Meskipun sudah beranak tiga namun pesona dan kecantikan Marion tetap memukau. Pendek kata, penampilan dan susuk tubuh wanita berusia 40 tahun ini kekal menawan.
Memiliki pinggang bak kerengga dan bertubuh tinggi lampai apa juga persalinan yang tersarung di badannya nampak terletak dan sempurna.
Lebih-lebih lagi saat mengenakan busana tradisi seperti baju kurung dan kebaya. Terserlah keanggunan anak jati Pulau Pinang ini.
Mengintai potret indah pada 1 Syawal lalu, penampilan Marion sekali lagi menjadi perhatian. Bukan hanya di kalangan warga net bahkan rakan-rakan artis turut mengagumi
kecantikan Marion yang terkenal dengan cita rasa fesyen mewah dan eksklusif.
Biarpun menyambut lebaran dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 namun Marion sekeluarga tetap meriah beraya. Kekal sedondon seperti raya kebiasaan, Marion memilih persalinan rona pastel kuning bagi Aidilfitri tahun ini.
Menerusi perkongsian Marion di Instagram miliknya, pagi 1 Syawal mereka mengenakan persalinan ceria kuning. Lebih menarik, dia dan dua anak perempuan menggayakan rekaan busana dari label fesyen ternama, Alia Bastamam. Keanggunan ibu jelita ini tak ubah seperti peragawati di pentas peragaan sekaligus menyerlahkan sisi elegan dalam persalinan yang dipakai.
Malah, potret raya mereka sekeluarga turut disertakan dengan ucapan lebaran, “Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin from our family to yours.”
Dengan bentuk tubuh ramping, penampilan Marion tampak sempurna dari hujung rambut ke hujung kaki. Walau tanpa memakai aksesori rantai leher dan gelang tangan. Simple, yet elegant!
Kredit: Instagram Marion Caunter