Berita perkahwinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin masih segar di ingatan rakyat meskipun sudah hampir tiga tahun berlalu. Sebaik mengetahui khabar gembira itu pada tahun 2016, ramai yang tertanya-tanya siapakah wanita bertuah yang berjaya menawan hati Sultan Sharafuddin.
Yang pasti, dari hari pertama melihat wajah Permaisuri Selangor ini… ramai yang tertawan dengan kecantikan dan kelembutan yang dimiliki Tengku Permaisuri Norashikin.
Menyambut ulang tahun kelahiran ke-48 pada 4 Jun lepas, baginda merupakan bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada tahun 2005.
Tengku Permaisuri Norashikin diijabkabulkan dengan Sultan Sharafuddin oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pada 31 Ogos 2016 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Majlis pernikahan baginda berdua berlangsung secara sederhana dan ringkas atas titah baginda.
Tiga tahun bergelar Permaisuri Selangor, penampilan baginda ketika berada di khalayak sering mencuri perhatian. Malah, ramai wanita menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin sebagai sumber inspirasi bukan sahaja dari segi keperibadian baginda bahkan gaya dan cita rasa fesyen baginda.
Pada 1 Syawal… di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, baginda kelihatan cukup anggun dalam persalinan tradisi rona pastel bersama pilihan aksesori rantai mutiara. Minimalis tapi tetap memukau.
15 Jun, ketika mengiringi Sultan Sharafuddin menyempurnakan pembukaan pusat beli-belah Central i-City di Seksyen 7, Shah Alam… penampilan Tengku Permaisuri Norashikin sekali lagi menarik perhatian apabila mengenakan baju kurung berwarna ungu, membimbit clutch rona senada dan memilih rantai dan anting-anting Mutiara sebagai pelengkap gaya.
Begitu juga ketika baginda berangkat meraikan Majlis Sambutan Aidilfitri bersama penduduk Kampung Pasir Baru di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Berbaju kurung merah… Tengku Permaisuri Norashikin turut mengenakan kalung bertatahkan mutiara. Effortless beautiful!
Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan Hari Raya kepada para penduduk yang memerlukan. Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Jawatankuasa Penduduk Kampung berkenaan.
Sumber: Instagram Selangor Royal Official