Sekiranya anda penggemar filem-filem Bolywood era 90-an, nama Neelam tak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun Neelam pernah muncul hanya untuk seketika dalam filem malar segar, Kuch Kuch Hota Hai arahan Karan Johar sebagai dirinya sendiri, impaknya cukup kuat dan diingati sehingga kini.
Malah, Neelam juga cukup dikenali menerusi filem Bollywood bertemakan keluarga ‘pecah-panggung’ seperti Hum Saath Saath Hain yang cukup digemari ramai sehingga kini. Walaupun dibarisi bintang-bintang hebat seperti Tabu, Karisma Kapoor dan Sonali Bandre, namun watak Neelam dilihat sangat dekat dengan hati peminat.
Selain dari bakatnya, sudah pasti wajah cantik dan klasik Neelam menjadikan antara ratu filem Bollywood yang punya kelompok peminatnya sendiri, walau namanya tidak sebesar Madhuri Dixit dan mendiang Sri Devi serta rakan-rakan seangkatannya.
USAHAWAN BARANG KEMAS
Setelah hampir dua dekad mewarnai industri filem Bollywood, nama Neelam terus diperkatakan di bibir-bibir pengemar filem Hindi. Walau pun sudah tidak lagi berlakon, namun Neelam kini dikhabarkan menghabiskan masanya menjadi seorang usahawan barang kemas yang berjaya dan terkemuka di India.
Membuat penampilan sulung dalam filem Jawaani pada tahun 1984, Neelam sememangnya diketahui sebagai seorang selebriti seorang yang cukup meminati barang kemas dan secara langsung terlibat dalam empayar perniagaan keluarganya.
Demi menjayakan impiannya, Neelam kemudiannya mengikuti kursus formal dalam rekaan barang kemas di Mumbai dan setelah berhenti seketika daripada bidang filem pada tahun 2001, kemudian beliau memulakan perniagaannya sendiri yang bernama Neelam Jewels.
Hasil usahanya meneruskan legasi perniagaan keluarganya, Neelam yang lahir di Hong Kong akhirnya berjaya membuka bilik pameran di Mumbai pada tahun 2004 dan seterusnya melancarkan kedai brang kemasnya di Mumbai pada 25 Ogos 2011 dengan nama Neelam Kothari Fine Jewels.
Dianggarkan nilai bersihnya adalah sekitar $1 juta, perniagaan diterajui Neelam terus mendapat perhatian terutama sekali dari golongan elit, sosialit dan pengaruh-pengaruh besar industri.
ANAK ANGKAT
Neelam yang memulakan kariernya sebagai model mengikat tali pertunangan dengan Rishi Sethia, anak kepada ahli perniagaan dari U.K. tetapi kedua-duanya berpisah dalam tempoh yang sangat singkat. Selepas itu, berkahwin pula dengan pelakon filem dan televisyen Samir Soni pada tahun 2011. Pasangan itu malah mengambil seorang bayi perempuan angkat bernama Ahana pada tahun 2013.
Walau pun belum dikurniakan anak sendiri, namun Neelam dilihat cukup bahagia membesarkan anak angkatnya, malah gembira melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta.
Malah di usianya yang ke 53 tahun ini, para peminat filem Hindi pastinya cukup teruja melihat penampilan Neelam yang masih awet muda malah kekal jelita. Neelam sememangnya seorang selebriti yang cukup menjaga penampilan dan sentiasa mudah tersenyum dan kekal positif.
Mungkin itulah rahsia cantik Neelam kan!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.