Gaya Hidup

Anggun & Sihat Usia 70, Ibu Rozita Che Wan Akui Ikut Amalan Berpantang Waktu Muda!

Tak seperti Che Ta, ibu tujuh orang anak ini sebenarnya seorang yang tak banyak cakap. Tapi jiwanya sarat dengan naluri keibuan dan mudah tersenyum dengan sesiapa saja.

Meskipun jelas kelihatan garis usia di raut wajah Zabedah Saad, namun jika diamati fizikal ibu kepada selebriti popular Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah ini memang cantik orangnya.

Tak hairanlah, kelima-lima anak perempuan sering menjadi perhatian ramai. Mewarisi kecantikan ibunda tersayang rupa-rupanya!

Berpeluang mendekati dan berkongsi petua sihat dan cantik kepada Nona, tanpa berselindung figura ibu yang meniti usia 70 tahun ini membongkar rahsia.

Kredit Instagram @rozitachewan1
Kredit Instagram @rozitachewan1
Kredit Instagram @rozitachewan1

Sambil mengakui tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, ini jawapan jujurnya. “Tak ada rahsia dan makan apa-apa pun. Tak ambil jamu dan tak ambil juga ubat. Cuma masa dalam pantang lepas bersalin tu je jaga makan.

Dulu, waktu berpantang memang tak sentuh ‘makanan-makanan sejuk’ sampai tiga hingga enam bulan. Sayur pun tak makan termasuk laksa. Rasanya, lebih daripada setahun kot baru makan.

Lagi satu, saya amalkan bertungku 4 kali sehari. Makan pula hanya dua kali.

Waktu pagi tu minum kopi O yang ada sedikit gula dengan biskut kering. Tengah hari baru makan nasi. Itu pun dengan lauk ikan masin bakar dan lada.

Ikutkan petua orang dulu-dulu, makanan berkuah seperti gulai pun mereka tak bagi ibu lepas bersalin makan. Sudahnya, ikut saja apa yang mak ajar.

Bukan kena jaga makan je, masa berpantang dulu pun tak digalak minum air. Sampai kadang-kadang tu terlupa nak minum. Tahu-tahu saja dah sedu,” cerita Puan Zabedah sambil tersenyum.

Kredit Instagram @rozitachewan1
Kredit Instagram @rozitachewan1
Kredit Instagram @rozitachewan1

Tambahnya lagi, dia masih menerapkan amalan sama ketika menjaga kesemua anak perempuan selepas mereka bersalin.

“Che Ta, masa saya sedang berpantang dia akan tunggu je kalau nasi tak habis makan. Dia memang suka lauk orang berpantang ni.

Dari dulu lagi pun dalam adik-beradik, Che Ta ni lain sedikit. Saya tak bagi sangat anak-anak pegang adik mereka yang baru lahir. Tapi Che Ta, dia akan beria tolong basuhkan adiknya bila buang air besar atau mandikan mereka. Sebab dia suka pegang baby.”

Pernah lalui hidup susah ketika membesarkan ketujuh-tujuh orang anak memaksanya membuat bermacam-macam pekerjaan demi menyara keluarga. Salah satu cara mendapatkan wang adalah dengan mengambil tempahan baju.

“Dulu ada juga ambil tempahan baju daripada jiran-jiran. Dalam sehari tu, dapatlah siapkan tiga pasang baju. Ada yang hantar minta buat baju kurung, mini kurung, kebaya dan sebagainya.

Bab sediakan baju raya anak-anak, ada antara mereka yang tak kisah ada juga yang minta pattern tertentu.

Biasanya, Che Ta yang paling suka berfesyen. Kalau orang lain suka satu keluarga pakai warna sedondon tapi kami hanya tetapkan bunga saja perlu sama.

Tapi warna baju boleh lain-lain. Anak-anak tak berapa pandai jahit baju tapi kreatif cantikkan baju dengan jahitan labuci.”

Kredit Instagram @rozitachewan1
Kredit Instagram @ayuraudhah_7
Kredit Instagram @rozitachewan1
Kredit Instagram @rozitachewan1

Sebelum menutup bicara, Puan Zabedah yang selesa berbual dalam loghat Kedah ini berkongsi resipi sihat. “Kalau nak buang angin dalam badan, boleh cuba resipi telur ni. Ambil telur ayam sebaiknya ayam kampung dan campurkan bersama lada hitam, halia dan bawang putih.

Pastikan bahan-bahan kering ni ditumbuk sampai lumat sebelum dimasukkan dalam telur. Bubuh garam sedikit dan kacau rata. Goreng tanpa menggunakan minyak dan makan dengan nasi.

Ini adalah petua turun-temurun dan anak-anak saya pun masih makan hidangan ni sampai sekarang.”

 

 

Share
Published by
Suzi