Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 baru sahaja berlalu, selama lima hari penulis fesyen Nona turut ada di sana bagi menyaksikan kreativiti para pereka tempatan. Setiap jenama yang mempersembahkan rekaan menyerlah dalam gaya identiti masing-masing. Menariknya, selain busana rekaan yang dipersembahkan gaya para tetamu yang hadir turut menjadi perhatian.
Paling menarik perhatian penulis adalah kehadiran khas Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli menyaksikan rekaan pereka muda Afiq Mohamed yang berkolaborasi dengan ShoesShoesShoes Luxe. Jom kita lihat gambar-gambar Tengku Permaisuri Selangor yang cukup anggun dalam persalinan kot dan seluar palazzo labuh corak genggang, semestinya rekaan Afiq M.
KOLEKSI AFIQ M X SHOESSHOESSHOES LUXE
Mengaplikasikan konsep ‘See Now, Buy Now’ koleksi kolaborasi ini bukan sekadar satu omong kosong persembahan semata-mata. Sebaliknya rekaan yang dipersembahkan telah dilancarkan secara terus sejurus selepas persembahan dan boleh dibeli menerusi laman web www.afiqm.com .
Rekaan yang dipersembahkan memberikan satu persilangan gaya antara feminin dan juga edgy. Seperti yang kita tahu, Afiq memang bijak bermain dengan susuk tubuh wanita dan menyerlahkan stail terbaik. Menarik perhatian penulis adalah suntikan perincian penuh rambu berkilat pada sesetengah rekaan, biarpun ia kelihatan sarat namun apabila disarungkan oleh moden rekaan tersebut nampak menarik dan cukup untuk memberikan satu statement gaya yang sempurna.
Kredit Foto: All Is Amazing