Kredibiliti dan suara wanita Islam sekali lagi diiktiraf di mata dunia! Kali ini, Ilhan Omar iaitu ibu kepada tiga orang anak yang dahulunya merupakan seorang pelarian kini dilantik menjadi anggota kongres Amerika Syarikat yang mewakili parti demokrat. Sekaligus, muncul sebagai parti pembangkang kepada kerajaan republikan yang diketuai Presiden Donald Trump.
Ilhan mencipta sejarah dalam persidangan kongres ke-116 pada November tahun lalu apabila dia menjadi wanita pertama Islam menyandang jawatan sebagai anggota kongres selepas menerima undi tertinggi menentang calon republikan dalam pemilihan daerah Minnesota pada Ogos tahun lepas. Turut melakar kejayaan sama ialah Rashida Tlaib yang juga wanita Islam pertama mendapat tempat dalam kongres negara kuasa besar tersebut.
Yang pasti, kisah kejayaan Ilhan tidak datang bergolek kerana realitinya… lebih dua dekad lalu dia dan keluarganya ditempatkan di kem pelarian di Kenya sebelum dibawa masuk sebagai pelarian di Amerika Syarikat. Waktu itu, Ilhan baru berusia 14 tahun dan berketurunan Somalia.
Menurut bapa Ilhan, “23 tahun lalu kami sekeluarga tiba di lapangan terbang Washington sebagai pelarian di negara ini selepas berjaya meninggalkan sebuah kem pelarian di Kenya. Kami percaya dan berpegang kepada keterbukaan Amerika bahawa prosperity for all and hope for a better tomorrow.
Bagaikan dalam mimpi, kini selepas 23 tahun saya kembali di lapangan terbang yang sama… bersama anak perempuan saya, Ilhan sebelum dia mengangkat sumpah sebagai wanita Islam Somali-American pertama dalam Kongres Amerika Syarikat. Pasti anda dapat membayangkan betapa bangganya saya atas kejayaan Ilhan.
Ia merupakan satu penghormatan buat kami kerana akhirnya Ilhan menjadi salah seorang ‘suara’ demokrasi. Walaupun datuk Ilhan tidak dapat menyaksikan momen bermakna ini tapi kami membawa semangatnya dan Ilhan akan mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran milik datuk beliau.”
Ilhan yang dilahirkan pada 4 Oktober 1981 kini meniti usia 38 tahun hidup bahagia bersama suami tercinta, Ahmed Hirsi yang merupakan seorang aktivis. Hidup Ilhan juga diberkati dengan tiga orang cahaya mata iaitu Isra Hirsi, Adnan dan Ilwad.
Baru-baru ini Ilhan mendapat liputan meluas media Amerika dan sekutunya selepas wanita berani ini dengan lantang menyuarakan pandangannya tentang insiden September 11 dan ditentang hebat Presiden Donald Trump. Akibat ‘tidak sebulu’ dengan pemimpin tersebut, Ilhan menerima pelbagai ugutan bunuh daripada penyokong Trump.
Selain mengangkat suara dan membela nasib golongan yang ditindas, Ilhan turut menyatakan pendirian tegasnya yang tidak menyokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kredit: Instagram Ilhan Omar