Tahun ini masuk tahun kesembilan jelitawan Marion Rose Caunter Abdullah menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim dan isteri kepada SM Nasarudin SM Nasimuddin. Mendirikan rumah tangga dengan jejaka kacak yang juga pewaris Naza Group pada 16 Disember 2010, Marion yang dahulunya merupakan pengacara, DJ dan model kini berstatus ibu kepada tiga orang anak.
Meskipun sudah beranak tiga namun pesona dan kecantikan Marion tetap memukau. Pendek kata, penampilan dan susuk tubuh wanita berusia 39 tahun ini kekal menawan. Memiliki pinggang bak kerengga dan bertubuh tinggi lampai… apa juga persalinan yang tersarung di badannya nampak terletak dan sempurna.
Lebih-lebih lagi saat mengenakan busana tradisi seperti baju kurung dan kebaya. Terserlah keanggunan anak jati Pulau Pinang ini.
Awal Syawal lalu… Marion sekeluarga memilih rona pastel coral dan rekaan busana yang digayakannya adalah dari label fesyen ternama, Fizi Woo. Seperti biasa, Marion berjaya menyerlahkan sisi anggun dalam persalinan yang dipakai.
Dengan bentuk tubuh ramping persis peragawati… penampilan Marion tampak sempurna dari hujung rambut ke hujung kaki. Biarpun tanpa memakai aksesori rantai leher dan gelang tangan. Simple, yet elegant!
Sepanjang Ramadan lalu pula Marion turut aktif menghadiri majlis berbuka puasa dan aktiviti amal bersama anak-anak yatim di samping keluarga dan suami tercinta. Difahamkan ia salah satu daripada acara tahunan yang diadakan keluarga mentua melalui Yayasan Tan Sri Nasimuddin.
Tidak sekadar menceriakan anak-anak Yatim dan keluarga asnaf, Yayasan Tan Sri Nasimuddin juga berpeluang meluangkan masa bersama penghuni warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang. Di samping mengagihkan keperluan untuk penghuni di sana… Marion bersama beberapa sukarelawan lain mesra melayan kerenah dan mengadakan pelbagai aktiviti ringkas bagi menghiburkan mereka.
Menariknya, setiap acara dan majlis yang dihadirinya… Marion selesa mengenakan baju-baju tradisional antaranya dari Innai Group, Khoon Hooi, Alia Bastamam dan beberapa ilham fesyen pereka tempatan lain.
Sudahlah cantik, berjiwa penyayang pula tu. Untung SM Nasarudin!
Kredit: Instagram Marion Caunter
This website uses cookies.