Antara Keikhlasan & Agenda Tangan Ghaib, Dana Sumbangan Bill Gates Mula Dipersoalkan

Bill Gates telah menjadi tokoh masyarakat paling lantang menyelar tindakan melulu Amerika Syarikat yang membekukan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disifatkan sebagai keputusan berbahaya.

Kelantangan tersebut walau bagaimanapun mengundang persoalan besar apabila banyak pihak mengemukakan dakwaan yang meragui keikhlasannya. Adakah beliau seorang penyelamat atau dalang di sebalik pandemik global ini?

Gates, 67, dengan nilai harta kekayaan lebih AS$100 bilion (RM437 bilion) itu sentiasa cuba memberi pemahaman yang jelas dan penyelesaian kepada wabak itu yang kini menjangkiti lebih 2.25 juta individu di seluruh dunia.

Menurut jutawan yang mengasaskan syarikat perisian terbesar di dunia (Microsoft) pada April 1975 itu, tugas WHO adalah untuk memperlahankan penyebaran COVID-19. Tiada pertubuhan lain yang dapat menggantikan WHO jika fungsi mereka dihentikan.

Kenyataan yang dimuat naik dalam Twitter itu turut meraih lebih 374,000 like.

…no other organization can replace them. The world needs WHO now more than ever – Bill Gates

“Ini adalah masalah global. WHO ialah sebuah institusi yang menyatukan negara dan memastikan kita berkongsi amalan terbaik antara satu sama lain,” ujar Gates ketika diwawancara.

Kenyataan itu turut dipersetujui isterinya, Melinda yang mengumumkan dana tambahan berjumlah AS$150 juta (RM655 juta) disalurkan daripada The Bill & Melinda Gates Foundation bagi membantu mempercepatkan penghasilan rawatan, vaksin dan langkah kesihatan awam untuk membendung wabak tersebut.

Difahamkan, yayasan tersebut adalah pemberi dana kedua terbesar kepada WHO selepas AS. Dana tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang disumbangkan Yayasan The Bill & Melinda Gates Foundation kini mencecah AS$250 juta (RM1.1 bilion).

Tangan Ghaib

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pengguna Twitter dilihat menghentam korupsi yang berlaku dalam WHO serta menuduh jutawan ini sebagai tangan-tangan ghaib di belakang penghasilan vaksin COVID-19.

Ciapan di atas (bertarikh 19 Disember 2019) mewujudkan tanda tanya besar di kalangan masyarakat. Rata-ratanya mempersoalkan agenda kesihatan global yang dimaksudkan oleh Bill Gates. Adakah beliau di belakang pandemik ini?

Terdapat juga ciapan balas yang melihat WHO sebagai kambing hitam untuk minggu ini.

Pun begitu, tak kurang juga yang menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap usaha Bill Gates dalam menyelamatkan WHO.

Fakta demi fakta dikemukakan oleh pengguna Twitter yang inginkan kebenaran. Namun yang pasti, majoriti rakyat Amerika Syarikat dilihat lebih menentang keras dana sumbangan Bill Gates kerana diragui tujuannya.

Ketika ini, yayasan pasangan tersebut sedang menyokong lapan projek bagi mencari penyelesaian berpotensi untuk penghasilan vaksin COVID-19 yang dijangka mengambil masa selama 18 bulan selain membiayai peningkatan keupayaan pengesanan virus di Afrika.

Sejak beberapa dekad lalu, Gates telah membiayai program penyelidikan dan beliau juga pernah memberi amaran tentang pandemik yang boleh meragut lebih 10 juta nyawa ketika mengulas topik ‘The next outbreak? We’re not ready?’ (Wabak akan datang? Dunia masih belum bersedia) di TED Talk pada 2015 dan mengulangi ramalan sama dalam satu acara di Davos pada 2017.

Adakah semua ini betul atau bohong? Dan sejauh mana kepercayaan kita terhadap keikhlasan manusia … Tepuklah dada, tanyalah selera.

Share
Published by
Norzalina