Kemenangannya meraih gelaran Bintang Paling Popular BH ke-36 ibarat satu validasi namanya dalam medan muzik tanah air. Berdiri megah dengan personaliti serta keupayaan nyanyian luar biasa, memahat kukuh nama Aina Abdul sebagai anak seni dengan pesona yang tidak mungkin malap, hanya akan gemerlap dan terus bersinar.
Dia bukan sekadar seorang penghibur, tapi penenun yang mencipta kanvas seninya beracuankan mimpi sehingga jadi realiti. Ketika dunia seni dahagakan bakat seni yang unik, dia muncul sebagai permata yang bersinar, dengan aura dan kemahiran vokal yang memukau.
Setiap naskhah didendangkan bagai helaian puisi yang hidup, setiap persembahan bagai ritual seni dengan magis tersendiri menjentik perasaan lantas membuat hati pendengar tersentuh tanpa disedari. Itulah kuasa yang ada pada dirinya. Tidak hairanlah, Aina Abdul disebut-sebut sebagai bintang masa depan.
Sedekad berkelana mencari ruang, perjalanan karier seni Nurul Aina binti Abdul Ghani tidak mudah. Jelasnya, sepuluh tahun ini cukup bermakna buat dirinya sebagai seorang penyanyi. Transisi dari seorang ‘Aina’ ke ‘Aina Abdul’ itu memakan masa dan segala jatuh bangun yang dikecapi adalah satu pelajaran untuk Aina terus kuat dalam bidang nyanyian,” jelas anak bongsu dari lima adik-beradik ini.
Bermula dari seorang gadis Johor Bahru yang biasa dan dibesarkan di Seremban dengan impian besar, Aina Abdul mengorak langkah mempertaruhkan bakatnya sebagai penyanyi gig di restoran dan kelab malam. Langkah itu diteruskan dalam pertandingan Mentor Legend dan seterusnya ke World Championships of Performing Arts di Amerika Syarikat. Di sana, Aina berjaya mendapat tempat pertama menewaskan 110 peserta dari serata dunia, sekaligus menjadi titik mulanya bertapak dalam industri.
“Aina berterima kasih kepada Cikgu Shamsiah, guru Darjah 6 Aina yang mengubah diri ini daripada seorang yang pemalu kepada Aina yang sekarang. Bayangkan, dia ‘memaksa’ kami menyertai pertandingan nyanyian dan seorang pun tidak terkecuali. Itulah pertama kali Aina mengeluarkan suara dan mampu untuk menyanyi di khalayak ramai.”
Walaupun namanya agak ‘lambat panas’ berbanding senior-senior yang lain namun Aina tidak pernah merintih nasib.
“Banyak telah dilakukan dan dikorbankan termasuk masa serta tenaga untuk apa yang dikecap kini. Sejujurnya, Aina tak mengejar tetapi 10 tahun kerja keras menjadi sangat bermakna dan tidak sia-sia.”
Di sebalik kelunakan suara, Aina Abdul adalah figura yang tidak hanya berpaut pada talent semata-mata. Seiring dengan kejayaan yang dikecap kini, Aina akui dirinya banyak belajar dari pengalaman, tak lupa ilmu muzik yang menjadi nadi kariernya.
“Bagi Aina, pendidikan adalah kunci yang membuka pintu-pintu impian. Ilmu bukan sekadar memberi kefahaman dalam teknik vokal, tetapi juga ‘isi’ yang melengkapkan diri kita dengan kemahiran kreatif, ‘decision making’ dan bagaimana untuk membawa diri dalam industri.
Namun ilmu tak semestinya dengan memegang sejulung ijazah, ia juga boleh ditimba daripada pelbagai sudut. Jadi galilah ilmu muzik di mana-mana saja hatta YouTube sekalipun,” jelas Aina yang memiliki Sarjana Muda Muzik Kontemporari Universiti dari UCSI.
Dan kini, hatrik tiga kali vokal terbaik yang dirangkul penyanyi dan komposer berusia 30 tahun ini sejak AJL36 petanda kedudukan Aina yang dilihat sukar digugat, sekaligus menempatkan dirinya dalam liga ‘one to beat’ dalam mana-mana pertandingan disertai. Enggan mendabik dada, namun Aina akui perbandingan dalam industri menyeksa emosi dan mentalnya.
“Peminat mungkin kecewa tapi kalau diikutkan Aina enggan bertanding lagi. Aina ingin lindungi minda Aina. Acap kali bila dibandingkan misalnya siapa punya vokal terbaik dan sebagainya, ia tidak sihat. Jadi Aina ambil ini sebagai cabaran untuk kekal relevan, dan kelainan apa lagi boleh Aina bawakan. Jika ingin bersaing sekalipun, mungkin di pentas lebih besar seperti peringkat antarabangsa.”
Namun bagaimana pula dengan usikan pemerhati industri yang menggelar Aina ‘The Next Siti Nurhaliza’? “Bagi Aina, there is only one Siti Nurhaliza. Aina kagumi beliau sebagai seorang ikon dan inspirasi buat Aina. Malah Aina sendiri pun masih mencari identiti sendiri dalam bidang seni. Aina berbesar hati namun pada masa yang sama, I don’t feel good about it,” jelas Aina lagi.
Tak gusar peminat menjauh andai Aina membuat keputusan tidak bertanding lagi? “Aina percaya Ainations akan sentiasa berada di belakang Aina walau apa jua yang akan Aina tampikan selepas ini. Misi Aina adalah untuk meramaikan lagi fans
Aina Abdul, dan Aina tak sabar untuk melihat ke mana lagi Aina akan ‘terbang’ selepas ini,” ulas Aina merendah diri.Ikon Fesyen
Dia bukan sahaja dikenali dengan suara emasnya, tetapi juga keberanian dalam berfesyen. Setiap kali hadir ke mana-mana acara, stail Aina sering kali mencuri perhatian mencerminkan personalitinya yang kreatif, berani mencabar norma sekaligus melonjakkan namanya. Namun apa benar dakwaan Aina dilihat sudah mulai ‘toned down’ dan tidak seberani dulu?
“Fesyen adalah satu bentuk ekspresi diri dan jiwa seni Aina. Mana-mana wanita pasti ingin lihat yang cantik-cantik bukan? Namun setelah sekian lama dalam industri, Aina mula belajar apa yang elok untuk diri sendiri dan mula berhati-hati. Jadi setiap kali Aina ingin membuat sebarang keputusan terutama sekali bab pakaian, hanya satu insan yang Aina akan utamakan, iaitu ibu Aina.”
Pemergian arwah ayahnya di usia 15 tahun meninggalkan kekosongan yang tidak dapat digambarkan. Ketiadaan figura ayah pada usia yang begitu muda membuatkan Aina lebih menghargai setiap momen bersama ibunya, Zaini Abdullah yang banyak berkorban membesarkan dirinya dan adik-beradik, sekaligus menjadi pendorong utama kejayaannya hari ini.
“Seawal usia 15 tahun, Aina melihat kehidupan ibu Aina berubah 360 darjah selepas kehilangan suami. Sejak arwah ayah meninggal dunia, ibulah yang menggalas tanggungjawab tersebut. Pengorbanan ibu mengizinkan Aina untuk menjadi penyanyi cukup Aina hargai apatah lagi tiada siapa dari keluarga Aina berkecimpung dalam bidang seni. Ibu dan kakak Aina kedua-duanya pengajar, jadi bila kehendak Aina dipersetujui, bagi Aina itu adalah pengorbanan terbesar ibu yang tak akan Aina lupakan,” imbas Aina dalam nada sebak.
Sebagai seorang wanita dan insan biasa, Aina Abdul menganggap kritikan sebagai sebahagian daripada perjalanan hidupnya dalam industri seni.Baginya, setiap kecaman adalah peluang untuk menguji kekuatan jiwa, sekaligus memperbaiki diri.
“Aina okay dengan kritikan. Jika dulu memang Aina akan cepat mudah terasa. Dari paras rupa sehinggalah persembahan Aina sehingga kini masih ada yang mengecam. Aina percaya bahawa setiap komen, ujian yang datang dengan rahmat tersembunyi. Kita tidak boleh mengawal apa yang orang katakan, tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita menghadapinya,” kata Aina dengan penuh keyakinan.
Menganggap ‘Aina Abdul’ itu sebagai satu jenama dalam perniagaan, dia tetap berpegang pada prinsipnya bahawa kesungguhan, kerja keras, dan keikhlasan dalam berkarya adalah kunci sebenar kejayaan. Lantas Aina terbuka berkongsi modus operandinya dalam memperkukuhkan namanya dalam bidang seni sekaligus memberi semula kepada komuniti seni tanah air.
“Jika diizinkan Tuhan, Aina ingin memiliki empayar perniagaan sendiri, yakni sebuah bangunan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan – fotografi, penggambaran muzik video dan sebagainya. Selain itu, azam Aina untuk menjadi satu entiti di mana Aina dapat membantu anak-anak muda berkarya dan ingin merealisasikan impian mereka. Selain itu sudah pasti Aina mahu mengeluarkan album Aina sendiri, serta siri jelajah konsert termasuk konsert solo dari produksi sendiri, InsyaAllah.”
Kesimpulannya, Aina Abdul tidak pernah berasa selesa dengan kejayaan yang dicapainya, sebaliknya sentiasa mencari jalan untuk membawa inovasi dalam muziknya. Dengan misi mempersembahkan sesuatu yang baru kepada peminat, sama ada melalui susunan muzik yang lebih segar, lirik yang lebih mendalam, atau konsep video muzik yang unik, semangat inilah yang menjadikan Aina seorang penyanyi yang dinamik dan kekal relevan.
This website uses cookies.