
Mulianya jiwa Anzalna Nasir tatkala berkongsi rezeki dengan seorang bapa tunggal anak satu sehingga mengundang pujian ramai serta doa.
Seperti yang kita tahu, Anzalna seorang yang sangat prihatin.
Jiwa keibuannya juga mudah tersentuh lebih-lebih lagi bila melibatkan kisah kanak-kanak serta keluarga yang memerlukan.
Memuat naik satu video di akaun Instagramnya, Anzalna dilihat menyantuni bapa tunggal, Mohd Azlan Roslan bersama anak perempuannya Nur Irdina Sofea yang berusia 11 bulan.
Difahamkan, bapa tunggal itu membesarkan anak tunggalnya seorang diri selepas berpisah dengan isteri sekitar Mei 2022.
Dalam video berdurasi seminit 18 saat itu, Anzalna membawa mereka keluar membeli-belah di sebuah kedai menjual barangan serta keperluan bayi.
Tidak berseorangan, pelakon berusia 35 tahun ini turut membawa bersama anak sulungnya, Mohamad Eidrees.
Tulis Anzalna di ruangan kapsyen: –
“Rezeki yang Allah bagi perlu dikongsi bersama mereka yang memerlukan.
“Kali ni Anzalna bawa bapa tunggal bersama anak kesayangan membeli-belah di tempat kesukaan Anzalna.”
Dalam kapsyen sama, pelakon drama ‘Dendam Aurora’ itu turut meminta bantuan para pengikutnya untuk berkongsi maklumat jika terdapat keluarga yang memerlukan bantuan dari segi keperluan bayi.
“InsyaAllah nanti Anzalna akan bawa lagi keluarga yang bertuah membeli-belah.
“Korang tolong tag keluarga yang memerlukan barang bayi.”
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Anzalna selain mendoakan pelakon itu dimurahkan rezeki.
Semoga Anzalna sentiasa dimurahkan rezeki serta kekal bahagia bersama suami dan dua cahaya mata tersayang.
Kredit Foto: Instagram Anzalna Nasir
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Dari Editor Penerbitan Kini Jutawan Pemasaran, Norzira Syarini Bantu Masyhurkan Jenama Tempatan Ke Tahap Tertinggi!

Setiap butir bicaranya memberi inspirasi kepada telinga yang mendengar dan mata yang memandang. Kisah kejayaannya juga bagaikan sebuah lembaran aspirasi untuk wanita di luar sana melangkah maju mencipta kejayaan.
Ditubuhkan pada tahun 2020, Newsfeed Media merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasaran dan pengiklanan secara luar talian di Malaysia.
Bagi Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 36, yang menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, ia bagaikan seperti mimpi jadi realiti.
Hanya berbekalkan pengalaman kerjanya selama 10 tahun dan bijak merancang strategi, kini Newsfeed Media berdiri megah dengan barisan lebih 500 jenama dan produk yang menggunakan perkhidmatan syarikatnya.
BERMULA KERANA DESAKAN
Menjadi noda hitam dalam lembaran diari hidupnya, anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang memiliki segulung liazah Sarjana (Master) dalam jurusan Komunikasi ini pernah menemui jalan buntu saat diberhentikan kerja serta-merta pada tahun 2019.
Norzira atau lebih mesra dengan panggilan Ira, yang ketika itu menggalas tugas sebagai editor di sebuah akhbar kesihatan, terpaksa akur dan redha biarpun perit menerima realiti. Namun, dari situlah bermulanya langkah kejayaannya hingga ke hari ini.
“Apabila ketua saya memaklumkan saya menjadi salah seorang pekerja yang diberhentikan serta-merta, disebabkan faktor kewangan syarikat yang tidak begitu baik, minda saya hanya memikirkan tentang hari-hari yang mendatang.
Bagaimana untuk saya membayar segala komitmen hidup saya? Apakah caranya untuk saya mendapat wang yang cepat dengan jumlahnya sama dengan gaji saya ketika itu, RM7 ribu? Semuanya menjadi celaru. Sungguh, ketika itu dunia jadi gelap. Terkejut dan tergamam.” Norzira Syarini
Biarpun airmata mengalir memikirkan nasib dirinya, namun tangisannya hanya sementara. Ternyata, wanita ini punya hati yang kental. Tidak mudah melatah, tidak pula termangu lama. Mindanya ligat mencari solusi membuatkan jiwanya bersemangat untuk bangun dan berdiri kuat.
“Jujur saya katakan, jika saya masih berterusan menangis, saya pasti tidak akan memiliki apa yang saya ada hari ini. Desakan hidup pada saat itu seolah-oleh seperti membakar diri untuk menjadi versi yang lebih kuat.
Saya fikir, inilah masanya untuk saya mengubah kehidupan saya dan keluarga. Saya tidak mahu menoleh ke belakang. Lantas, saya mengambil pen dan kertas, lalu senaraikan kekuatan yang saya ada.

Diri lebih cenderung dalam bidang perhubungan awam (PR). Lantang bersuara, bijak berkata-kata dan yakin dihadapan orang ramai menjadi bonus untuk diri sendiri.
Malah, 10 tahun pengalaman dalam bidang media kewartawanan serta penerbitan turut membuatkan saya lebih yakin dengan keputusan yang dilakukan.”
USAH GENTAR MELAWAN ARUS
Benar kata orang. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ketika Ira memulakan misi mencari klien pertamanya, pada saat itu dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Malaysia juga memulakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ramai usahawan-usahawan baru kecundang dan mempunyai krisis dalam perniagaan mereka. Pastinya, ia bukanlah sebuah keputusan bernas untuk memulakan langkahnya memulakan misinya mencari klien, namun Ira punya ideologi sendiri.
“Untuk berjaya kita harus berani melawan arus. Melawan arus menjadikan kita luar biasa. Jika kita hanya mengikut arus, maka kita menjadi orang yang biasa-biasa. Harus bijak mencari peluang, itu yang paling penting. Alhamdulillah, klien pertama saya pada waktu itu seramai 12 orang, antaranya Crown Diamond Manager (CDM) dari Sahajidah Hai O Marketing.
Hari berganti hari, jumlah keuntungan saya mencecah lima angka. Pada masa itu, saya berpuas hati dan berfikir untuk berhenti, Tetapi, persoalan muncul di minda, mengapa harus berhenti?
Bermula dari saat itu, saya meminta restu suami untuk meneruskan apa yang sudah dimulakan dan Newsfeed Media terus berkembang maju dan semakin dikenali ramai.” Norzira Syarini
Berbicara mengenai sudut persaingan dalam dunia pengiklanan di Malaysia, Ira akui dikelilingi ole barisan syarikat yang lebih senior dan berpengaruh.
Oleh sebab itu, dia harus bijak memasang strategi untuk pergi jauh dari mereka. Bagi Ira, untuk kekal relevan dan melangkah setapak kehadapan, dia perlu laju dan pantas. Itulah kunci kejayaan yang menjadi resepi rahsianya.
“Benar, dunia hari ini semakin maju berkembang. Sudut persaingan pula semakin sengit. Sebagai orang baru, saya akan memastikan kami bergerak lebih pantas untuk mendapat lebih ramai perhatian orang di luar sana.”
Melihat dari sudut kejayaan yang sudah dikecapi, pasti ada faktor istimewa dan menarik minat klien untuk terus kekal setia bersama syarikatnya. Mengulas berkaitan hal itu, Ira menyatakan bahawa dia tidak pernah culas memberi yang terbaik kepada setiap klien.
Sentiasa menjaga kebajikan kliennya dari awal hingga ke akhir proses. Itu antara magis yang menjadi punca utama mereka kekal setia bersama dengannya.
“Kami akan sentiasa menjaga mereka (klien) sehinggalah ke lambaian terakhir mereka meninggalkan kami dengan rasa puas dan gembira.
Maksudnya, andai kata mereka mempunyai sesi temu bual dalam program televisyen, Newsfeed Media akan hadir memberi sokongan serta tunjuk ajar cara untuk bercakap di hadapan kamera, posisi badan yang tepat serta pilihan maklumat bernas yang harus dibicarakan sewaktu sesi temu bual itu berlangsung. Jadi, barangkali inilah sebab mereka masih lagi setia bersama kami sehingga ke hari ini.”
Memasang impian untuk menjadi syarikat pengiklanan nombor satu di Malaysia, Ira percaya dengan keistimewaan yang ada pada syarikatnya ini mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award, Norzira Syarini Mohammed Pauzi ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Putra Mokhter
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Norezz Idris
Beli Rumah Pertama Umur 21, Janna Nick Anggap IBU & Famili Punca Rezeki

Siapa yang tidak kenal dengan figura cantik dan berkulit putih ini. Walaupun gadis yang sering melemparkan senyuman ini baharu berusia 24 tahun namun perwatakannya lebih matang daripada usia sebenar. Penglibatan gadis yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini dalam usia yang begitu muda mungkin membuatkan dirinya kelihatan lebih dewasa.

Bersemuka dengan figura yang mempunyai nama komersil Janna Nick ini benar-benar telah menyentuh hati kecil penulis. Siapa sangka penyanyi lagu Mungkin Saja ini sanggup buat apa sahaja atau berhabis demi keluarga tercinta. Terpancar riak bahagia di wajah Janna Nick setiap kali berbicara tentang keluarganya.

“Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga. Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ianya merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.
Pada saya lagi banyak membantu, rezeki saya semakin murah dan lebih berkat. Secara tidak langsung menjadi ‘ketua keluarga’ kepada keluarga kecil saya ini mengajar untuk lebih tanggungjawab untuk masa depan. Mungkin kalau saya ada keluarga sendiri nanti saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” tutur anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.

Memulakan karier dalam bidang seni seawal usia 16 tahun, Janna Nick kini semakin bijak merencana masa depannya. Berbicara tentang perancangan kewangan pelakon drama adaptasi Korea, My Coffee Prince ini, “Saya mula merencana kewangan bila menyasarkan untuk beli rumah dulu.
Saya bersyukur berjaya capai impian untuk beli rumah pertama di usia 21 tahun. Sejak itu saya berazam untuk mengumpul aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka berbelanja tanpa sebab dan tidak memilih jenama,” ujar Janna Nick yang mahu beli sebuah lagi rumah pada tahun ini.

Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan.”Tahun ini saya lebih memilih watak kerana mahukan kualiti bukan kuantiti. Sebelum ini saya hanya mencari duit dan sekarang ini saya mementingkan kualiti.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk menambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.

Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam.
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.

Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.

Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau kritikan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Putera Raja Rupanya, Tinjau Kemasyhuran Istana Pataudi Milik Saif Ali Khan, Ada 150 Bilik!

Selain popular dan tampan, nama aktor Bollywood Saif Ali Khan, 50 tahun, yang juga suami kepada Kareena Kapoor ini juga menggemparkan peminatnya apabila dilaporkan merupakan seorang putera raja dari keturunan keluarga diraja India.
Awal Disember lalu, pasangan bintang Bollywood itu dilihat berkumpul di Pataudi Palace atau Istana Pataudi bersama teman-teman mereka. Dalam gambar itu, Kareena Kapoor kelihatan elegan manakala Saif kelihatan seperti seorang raja dengan latar belakang Istana Pataudi yang merupakan warisan nenek moyangnya.
Laporan dari bollywoodshaadis.com menyebut bapa Saif Ali Khan, Mansoor Ali Khan Pataudi adalah seorang bekas kapten kumpulan kriket di India dan juga Nawab Pataudi iaitu pemerintah Pataudi dari era 1952 hingga 1971.
Pataudi adalah sebuah bandar indah yang terletak di kaki bukit Aravali, Daerah Gurgaon, India. Ini adalah bandar yang pernah menjadi kerajaan kecil sebelum India mencapai kemerdekaannya.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal dunia, Saif Ali Khan telah dinobatkan sebagai Nawab Pataudi. Beliau adalah putera ke-10 yang masih mempunyai darah biru di India.
Seperti putera di negara lain, Saif juga mempunyai istana iaitu Istana Pataudi yang terletak di kota Pataudi di daerah Gurgaon di Haryana.
Sayangnya selepas kemerdekaan India, keluarga itu kehilangan title (Pataudi) mereka termasuklah istana tersebut. Dalam satu temu bual dengan akhbar India, Saif mendedahkan bagaimana mereka terpaksa ‘menebus’ semula hartanah itu menggunakan wang simpanannya sebagai pelakon filem daripada rangkaian hotel Neemrana.
Kini Istana Pataudi kembali menjadi milik pasangan ini dan dijadikan rumah penginapan singgah keluarga mereka. Apakah rupa interior Istana Pataudi? Mari lihat sedikit info tentang istana ini seperti dilaporkan oleh India Today.
(1) Warisan Keluarga Pemerintah
Pataudi Palace seperti yang dijelaskan sebelumnya, telah diserahkan dari pemerintah yang terakhir, Iftikhar Ali Khan kepada anaknya, Mansoor Ali Khan.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal, Saif Ali menjadi pewaris. Jadi ia mempunyai istana dengan seni bina yang mengagumkan, sebuah dewan besar dan taman-taman yang rimbun.
(2) Rumah Kolonial
Pada awal tahun 1900-an, Pataudi Palace telah direka dan dibina dalam gaya rumah kolonial Imperial Delhi oleh Robert Tor Russell, dibantu oleh arkitek Austria, Karl Molt von Heinz. Selepas mewarisi tempat ini, Saif Ali Khan mengambil pereka dalaman Darshini Shah untuk mengubahsuainya.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan keselesaan dan menjadi lebih bergaya daripada hanya mewah dan besar.
(3) Istana Bernilai RM466 Juta
Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan sebenarnya banyak menghabiskan kehidupan sehariannya di Mumbai. Tetapi, mereka sering memilih Pataudi Palace sebagai lokasi percutian musim sejuk.
Seperti yang dilaporkan oleh architecturaldigest.in, rumah percutian Saif Ali Khan dan ahli keluarganya ini mempunyai kawasan seluas 10 hektar dan mempunyai 150 bilik, termasuk tujuh bilik persalinan, tujuh bilik tidur, tujuh bilik snooker, serta ruang tamu dan ruang makan mewah. Istana ini bernilai RM466 juta.
(4) Dihiasi Foto Lama
Sebagai warisan keluarga diraja, tidak hairanlah Istana Pataudi mempunyai banyak kenangan sejarah. Semua kenangan dicatatkan dalam gambar-gambar lama yang menghiasi di pelbagai tempat di istana yang indah ini.
(5) Pernah Dijadikan Hotel
Mansoor Ali Khan pernah menyewa tempat ini selama 17 tahun dengan Francis Wacziarg dan Aman Nath, pemilik rangkaian Neemrana Hotels. Tempat ini dikendalikan sebagai The Pataudi Palace Hotel antara tahun 2005 dan 2014 sebelum Saif Ali Khan mengambil alih harta pusaka ini.
Menurut laporan dari architecturaldigest.in, Saif terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri untuk mendapatkan semula istana ini dari pemilik hotel.
(6) Lokasi Penggambaran Filem
Jadi lokasi penggambaran filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts.
Kerana mereka tidak mendiami Istana Pataudi setiap hari, Kareena dan Saif Ali membuat istana mereka sebagai lokasi penggambaran seperti filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts, kepada filem-filem popular lain iaitu Mangal Pandey, Veer Zara, juga menyewa Istana Pataudi sebagai lokasi penggambaran.