Mulianya jiwa Anzalna Nasir tatkala berkongsi rezeki dengan seorang bapa tunggal anak satu sehingga mengundang pujian ramai serta doa.
Seperti yang kita tahu, Anzalna seorang yang sangat prihatin.
Jiwa keibuannya juga mudah tersentuh lebih-lebih lagi bila melibatkan kisah kanak-kanak serta keluarga yang memerlukan.
Memuat naik satu video di akaun Instagramnya, Anzalna dilihat menyantuni bapa tunggal, Mohd Azlan Roslan bersama anak perempuannya Nur Irdina Sofea yang berusia 11 bulan.
Difahamkan, bapa tunggal itu membesarkan anak tunggalnya seorang diri selepas berpisah dengan isteri sekitar Mei 2022.
Dalam video berdurasi seminit 18 saat itu, Anzalna membawa mereka keluar membeli-belah di sebuah kedai menjual barangan serta keperluan bayi.
Tidak berseorangan, pelakon berusia 35 tahun ini turut membawa bersama anak sulungnya, Mohamad Eidrees.
Tulis Anzalna di ruangan kapsyen: –
“Rezeki yang Allah bagi perlu dikongsi bersama mereka yang memerlukan.
“Kali ni Anzalna bawa bapa tunggal bersama anak kesayangan membeli-belah di tempat kesukaan Anzalna.”
Dalam kapsyen sama, pelakon drama ‘Dendam Aurora’ itu turut meminta bantuan para pengikutnya untuk berkongsi maklumat jika terdapat keluarga yang memerlukan bantuan dari segi keperluan bayi.
“InsyaAllah nanti Anzalna akan bawa lagi keluarga yang bertuah membeli-belah.
“Korang tolong tag keluarga yang memerlukan barang bayi.”
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Anzalna selain mendoakan pelakon itu dimurahkan rezeki.
Semoga Anzalna sentiasa dimurahkan rezeki serta kekal bahagia bersama suami dan dua cahaya mata tersayang.
Kredit Foto: Instagram Anzalna Nasir
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.