“Apa Guna Jadi CEO Tapi Anak Tak Terurus Di Rumah!”- Tan Sri Rafidah Aziz

Tan Sri Rafidah Aziz memang kita kenali sebagai seorang yang sangat tegas dan lantang dalam menyuarakan pendapat dalam apa jua perkara sekalipun. Namun siapa sangka di sebalik mempunyai personaliti tegas, sebenarnya beliau seorang yang sangat ringkas dan kelakar!

Walaupun mesej yang cuba disampaikan oleh Tan Sri Rafidah Aziz kepada semua wanita supaya bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya adalah serius,tapi beliau menyampaikannya dengan penuh santai dan ada sedikit unsur lawak.

Tak percaya, cuba tengok video ni…

Ditanya adakah beliau bersetuju wanita yang workaholic itu seorang wanita yang sukses dalam kehidupan?, Tan Sri Rafidah menjawab “Orang yang workaholic

ni kalau dia tak work smart, tak bekerja dengan cerdik, tak bekerja dengan bijak tak akan membuahkan hasil. Jadi, bekerja jangan work hard macam orang Inggeris kata tu tak betul..work smart. Jadi, wanita yang bekerja sampai malam. Apa yang dicari? Orang boleh tidur malam awak kerja lagi buat apa? Jadi, kerja dengan cara yang produktif.”

Menjadikan ibu sebagai wanita inspirasi dalam hidupnya, prinsip hidup yang menjadi pegangan dalam hidupnya ialah berani kerana benar, takut kerana salah dan menganggap sifat tegas yang ada dalam diri sebagai superpower yang dimiliknya.

“Kita tidak boleh menilai kekuatan diri sendiri. Walau bagaimanapun, saya merupakan seorang wanita yang tegas. Saya tidak takut kepada sesiapa kecuali kepada Allah SWT. Saya percaya dan mengamalkan prinsip berani kerana benar. Saya tidak peduli siapa dan kalau saya rasa benda yang saya lakukan itu betul, saya tidak takut. Itu adalah kekuatan saya”, jelas wanita yang berusia 75 tahun ini.

Menurut Tan Sri Rafidah juga, untuk mendapatkan pengiktirafan sehingga di peringkat global, seseorang wanita itu harus berkerja dan berusaha mengikut tahap kemampuan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mensasarkan kejayaan yang lebih tinggi.

“Lakukan yang terbaik dan termampu oleh diri sendiri . Jangan ikut tahap kemampuan orang lain kerana kejayaan itu tidak akan berpihak kepada kita. Kadang-kadang kita nak berlumba dengan orang, namum bagi saya berlumba dengan diri sendiri terlebih dahulu.

Kalau orang mahu buat lebih daripada kita, tidak apa. Selepas kita berjaya mencapai sesuatu target itu, baru lah kita cuba untuk meningkatkan lagi tahap kemampuan kita dari semasa ke semasa”, tambah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini.

Bekas menteri kabinet Tan Sri Rafidah Aziz menerima pengiktirafan sebagai Nona Superwoman Of The Year 2018 daripada Majalah Nona di Majlis Nona Superwoman Award 2018 pada 4 Disember lalu di Sime Darby Convention Centre.

Share
Published by
Elly Jalil