Terinspirasi dengan perjalanan Leeyana Rahman membina perniagaan. Dalam usia 30an dan masih muda, dia sudah mampu mengusahakan legasi sendiri. Apatah lagi jenama LeeyanaRahman (LR) sudah lebih sedekad berada di pasaran. Bukan satu tempoh singkat tu, tahniah!
Lebih membanggakan, pemilik nama Nur Liyana Abdul Rahman atau mesra disapa Yana ini berjaya membuka satu lagi butik LeeyanaRahman di Kelantan sekitar Mac lalu. Kagum dengan kemampuan ibu dua anak ini mengemudi empayar perniagaan.
Dihubungi Nona baru-baru ini, Yana yang mesra menyambut panggilan penulis sudi berkongsi perkembangan diri. “Butik Kelantan memang dah lama teringin nak buka. Cuma belum bersedia dari segi masa. Perlukan orang yang betul-betul boleh handle business untuk jaga butik sana.
Alhamdulillah Allah temukan balik dengan kawan lama yang dah lost contact hampir 16 tahun. Dia adalah business partner kiriman Tuhan yang sangat sesuai untuk handle LR di Kelantan memandangkan dia sangat arif dalam dunia bisnes. Kelantan antara negeri yang ramai customer LR,” dedahnya.
Bukan hanya menjadi jenama popular busana Muslimah, LeeyanaRahman juga terkenal sebagai antara label hijab pilihan para hijabi. Setiap kali pelancaran koleksi terbaharu, pasti laris di pasaran dan sold out
dalam masa singkat.“Terbaharu LR keluarkan tudung koleksi ROSALINDA. Nak mengimbau kembali zaman dulu-dulu fenomena Rosalinda. Koleksi kali ni memang cantik dan dah pun terjual 250,000 helai.”
Pastinya kehidupan Yana menjadi idaman ramai wanita. Ada keluarga bahagia, suami penyayang, anak-anak yang comel, bisnes maju dan bermacam-macam lagi yang diimpikan golongan wanita muda.
Namun di sebalik kesenangan dan kemewahan hidup yang dinikmati hari ini, ada suka duka yang terpaksa ditempuh. Mujur, anak adalah sumber kekuatan Yana selama ini. Dalam temu bual bersamanya kira-kira dua tahun lalu Yana mendedahkan dia dapat timang anak sulung pada tahun 2019 melalui rawatan IVF.
Merancang untuk menambah ahli keluarga, wanita cekal ini yang sudah mempunyai dua anak perempuan ini bagaimana pun akur jika tidak diizinkan hamil anak lelaki kelak.
“Since masa buat IVF dulu, ada lebihan embryo yang saya frozenkan dalam masa 10 tahun boleh simpan. Dah lama teringin nak anak lelaki, jadi memandangkan masih ada baki 3 embryo, hari tu saja buat gender test untuk embryo semua tu.
So result dia satu perempuan, dua lelaki. Cuma Allah masih tak izinkan untuk mengandung anak lelaki sebab embryo lelaki dua tu tak okey. Kalau transfer IVF juga mungkin peluang untuk berjaya tu tipis.
Hanya tinggal satu je embryo perempuan yang memang normal dan akan peluang tinggi untuk berjaya IVF.”
Hasil perkongsian hidup bersama suami, Hafiz Hamid, pasangan ini dikurniakan Tyara Luthfia dan Hanna Qhalisya. Bersempena ulang tahun hari kelahiran Hannah Qhalisya yang pertama awal Mei lalu, Yana dan suami berpeluang mengadakan majlis sambutan hari lahir serba meriah di kediaman mereka.
Daripada perkongsian Yana di Instagram, pelbagai hadiah menarik dan mahal disediakan untuk kanak-kanak yang hadir. Tidak cukup itu, dia turut menyediakan mesin claw yang berisi duit raya.
“Gembirakan kanak-kanak adalah salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Saya hanya share momen di mana majlis hari lahir anak saya, saya belikan banyak hadiah untuk anak-anak lain. Pada masa yang sama, saya nak tunjuk dekat anak-anak saya supaya mereka juga boleh bahagiakan kawan-kawan dan orang lain bila besar nanti.
Dah lama tak buat majlis hari lahir anak. Jadi kali ni kita kasi all out. Beli hadiah untuk lucky draw, dan ada extra duit raya guna claw machine, anak-anak happy sampai ada yang nak main dua tiga kali.”
Cukup merendah diri dan enggan mendongak ke langit dengan kesenangan yang dimiliki hari ini, tambah Yana, “Semua benda saya dah ada. Apa yang saya nak Allah dah bagi. Sekarang ni tiba giliran saya nak orang-orang keliling saya pula yang dapat hidup senang. Family, adik-beradik, staf, stokis agent personal shopper, semua yang dah banyak bantu saya untuk sampai ke tahap ni.
Dan lagi satu doakan saya dapat banyakkan lagi sedekah untuk pembinaan masjid dan pondok yang kita tahu ia dapat bantu saya di akhirat nanti.”
Menjawab ‘gangguan’ wanita terhadap suaminya seperti yang dikongsikan di media sosial, Yana dalam nada tenang memberitahu, “Sebenarnya saya tak pernah terpikir pun benda ni. Apa yang saya boleh buat hanya doa. Nasihat saya dekat isteri-isteri luar sana, tak perlu kita nak control suami disebabkan kita risau dengan ‘gangguan’ wanita lain.
Cukuplah kita sebagai perempuan boleh berdikari, ada income dan career sendiri, ada kebolehan yang boleh banggakan suami. InsyaAllah mudah-mudahan tak ada gangguan wanita lain terhadap suami. Kalau ada pon mungkin dia fikir banyak kali.”
Semoga bisnes LeeyanaRahman terus bertapak kukuh dalam industri dan Yana menjadi sumber inspirasi ramai golongan wanita yang bercita-cita untuk bergelar usahawan berjaya sepertinya.
This website uses cookies.