Wanita berusia 34 tahun ini berpegang kepada prinsip sentiasa menolong orang lain kerana ini secara tidak langsung membantu diri sendiri sebenarnya. Berbual panjang dengannya banyak menyuntik input positif yang boleh dijadikan azimat pengukuhan peribadi yang positif. Memulakan kerjaya sebagai eksekutif pengiklanan di Utusan Media Sales dan kemudian di News Straits Times Press sebelum memutuskan untuk membina sebuah agensi pengiklanan sendiri pada awal tahun 2014. Pengalaman bekerja di syarikat gergasi menjadi guru terbaik baginya kerana ia seperti sebuah universiti yang mengajar bagaimana untuk mengendalikan sesuatu projek, cara berkomunikasi dan juga merancang strategi sesebuah perniagaan.
KEMAJUAN
âPada penghujung tahun 2014 saya menjadi pengasas bersama kepada syarikat VS Beauty Expert yang popular dengan produk OLIcandy dan juga Jus VSireh. Alhamdulillah hasil kerja keras daripada segi kajian dan merancang pemasaran, jenama ini mendapat sambutan yang cukup baik dan ia menjadi titik permulaan kepada saya untuk menceburi dalam perniagaan yang lain. Sehingga setelah hampir tiga tahun beroperasi, kini produk OLIcandy dan Jus VSireh mendapat permintaan yang banyak daripada pengguna setia,â ujarnya yang cantik berhijab. Selain bergelar pengasas bersama VS Beauty Expert, dia juga merupkaan pengasas bersama butik multi-jenama Gondola 31, Rumah Manik Malaysia dan juga Serigroup Global.
Boleh ceritakan tentang ketiga-tiga perniagaan anda ini? Jawabnya, âButik Gondola 31 dibuka pada tahun 2015 dan di sini pelanggan yang hadir boleh memilih seleksi rangkaian busana yang terdiri dari pelbagai jenama lokal terkenal. Bermula dengan pembukaannya di Ipoh ia telah berkembang sebagai francais terletak di Kajang. Kemudian pada tahun pertengahan tahun 2017 saya memulakan dua lagi perniagaan iaitu Rumah Manik Malaysia yang memfokuskan jualan manik-manik menarik dan istimewa dengan harga yang sangat berpatutan. Serigroup Global pula merupakan syarikat yang mengeluarkan produk kecantikan berasaskan buah-buahan. Dari produk penjagaan wajah dan kulit ke produk detoksifikasi badan. Alhamdulillah produk-produk ini semakin mendapat tempat di hati pengguna tempatan menjangkaui jangkaan saya.â
Masa merupakan harta yang sangat bernilai, tambahan pula bagi orang yang bergiat dalam dunia perniagaan. Sebagai seorang isteri dan juga ibu bagaimana anda membahagi-bahagikan masa di antara keluarga dan juga kerja memandangkan anda perlu menjaga banyak perniagaan.
âBagi saya tiada masalah langsung untuk menjalankan banyak perniagaan serentak asalkan kita tahu apa fokus yang hendak dicapai. Selain itu pengurusan jadual yang baik dan sistematik juga amat penting, oleh itu pembantu peribadi saya akan menyediakan jadual yang perlu saya ikuti kira-kira dua minggu lebih awal agar saya boleh merancang masa dengan baik. Jangan biarkan masa menghantui kita sebaiknya kitalah yang harus mengawal dan kuasai masa tersebut agar setiap langkah dan tindakan kita mencerna hasil yang produktif. Selain itu saya amat berterima kasih kepada suami, Shah Indra Shaari yang banyak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap segala apa yang saya lakukan,â kongsinya perihal pembahagian masa yang efektif.
NILAI POSITIF
Dengan kemelut ekonomi masa kini yang tidak menentu serta semakin banyak syarikat-syarikat yang terpaksa gulung tikar, bagi anda apakah peranan yang harus wanita mainkan? âSaya berbicara dari sudut pandang sebagai seorang wanita. Bagi saya wanita masa kini tidak boleh terlalu senang mengharapkan suami sahaja sebaliknya harus memiliki kerjaya yang sekurang-kurangnya mampu turut sama dalam menjana ekonomi keluarga. Bagi saya wanita yang berkerjaya mampu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi wanita yang lebih kuat dalam menghadapi segala kemungkinan. Bayangkan kalau tidak bekerja tiba-tiba suami pula meninggalkan kita? Apakah nasib anak-anak dan diri sendiri?
Jadi bina kerjaya anda, kalau bukan secara tetap mungkin boleh lakukan secara sambilan. Situasi ini menjadikan saya turut mahu menyumbang membangunkan ekonomi sesama kita. Menerusi produk-produk di bawah Serigroup Global sesiapa sahaja boleh menjadi ejen jualan kami dengan hanya bermodalkan wang sebanyak RM180. Setakat ini banyak suri rumah dan para pelajar yang ingin menambah wang sampingan mengambil peluang yang kami wujudkan, Alhamdulillah daripada maklum balas yang diberikan mereka berpuas hati bukan sahaja dengan hasil sumber pendapatan yang diperoleh bahkan mereka kagum dengan kualiti produk yang ditawarkan.â
https://www.instagram.com/p/Bc07ugTHnJ0/?taken-by=zuraposdzi
Bagaimanakah anda menangani masalah atau anasir negatif yang cuba menjatuhkan kerjaya anda dan apakah prinsip anda di dalam kehidupan? âPerkara pertama yang kita harus lakukan apabila berdepan perkara yang negatif adalah dengan mencari apa punca dan masalah kemudian selesaikannya secara profesional tanpa mengambil keputusan bersifat peribadi. Apabila terlibat dalam perniagaan masalah mesti akan berlaku sama ada besar atau kecil, namun kita perlu menghadapinya dengan tenang dan ketepikan perasaan kita sendiri, sebaliknya buat keputusan berdasarkan kebaikan bersama.
Jangan sesekali bersikap mementingkan diri sendiri kerana ia akan memakan diri. Tidak guna kita bersikap berlagak dan menyombong kerana aura negatif ini tidak akan ditafsirkan kepada persekitaran yang baik. Prinsip yang saya pegang di dalam kehidupan pula adalah sentiasa berbuat baik kepada orang lain biarpun mereka bersikap sebaliknya kepada kita. Tidak rugi berbuat baik kerana ia adalah refleksi diri kita dan memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga,â ujarnya mengakhiri perbualan kami.