Wanita berhijab sering dipandang sinis di dalam dunia barat. Ada yang lantang menyatakan bahawa wanita berhijab lambang mundurnya pemikiran dan menyalahkan agama kerana ia seperti satu simbol penindasan. Ternyata tohmahan ini tidak benar dan Islam sesekali tidak pernah melarang wanita untuk berjaya di dalam kehidupan bahkan berhijab merupakan satu lambang kekuatan seorang wanita muslim.
Neelofa yang kini sedang berada di Dubai sempat meluangkan masa untuk makan malam bersama Ibtihaj Muhammad dan kelihatan pertemuan mereka umpama satu simbol kejayaan dan juga majunya wanita muslim berhijab. Seperti kita tahu, walaupun Neelofa berhijab tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi jenama antarabangsa Swarovski untuk mengangkatnya sebagai salah satu wajah yang mewakili jenama tersebut di pasaran Malaysia.
Bahkan dek kebijaksanaan dan juga profilnya sebagai usahawan berjaya beliau diangkat berada dalam senarai Forbes 30 Under 30 dan menjadi panel di Program Belia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Paling baru dia memegang jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di AirAsia.
Ibtihaj pula mencipta nama sendiri apabila menjadi wanita muslim berhijab pertama yang mewakili USA dalam pertandingan lawan pedang Olimpik dan membawa pulang pingat gangsa. Penampilannya yang berhijab mencetus perdebatan yang menjurus ke arah toleransi antara kaum dan agama yang lebih positif. Kini dia menghiasi kempen pakaian sukan ‘Nike’ khusus untuk wanita berhijab dan menambah lagi kehebatan wanita ini, jenama patung Barbie menghasilkan patung khas berhijab sempena dirinya.
Menerusi kapsyen di instagram Neelofa saat bertemu Ibtihaj, dia berkata, “The reason behind a Barbie wearing a hijab is this inspiring woman right here, @ibtihajmuhammad ! An Olympian, the first American female muslim medalist and one-of-a-kind woman! We met on social media and It was great meeting her in person for dinner last night! Such a delight to spend time with! Never stop inspiring us, girl!”
Jelas sekali kedua-dua personaliti ini menjadi lambang contoh terbaik wanita masa kini. Tidak goyah dek caci dan maki, sebaliknya mereka terus maju ke hadapan dan memandang jauh dalam mencipta fenomena yang mempu memberikan kebaikan kepada diri dan juga orang di sekeliling mereka. Syabas!