Tiga tahun pertama merupakan fasa perkahwinan paling mencabar. Dalam tempoh inilah suami isteri belajar memahami serta menerima kekurangan masing-masing apabila sudah duduk sebumbung.
Pasangan harus berdepan dengan banyak konflik rumah tangga antaranya melibatkan masalah kewangan, mertua, sukar memahami pasangan atau sebagainya.
Isu kahwin cerai ini sudah agak lama tetapi hari ini ia seolah-olah sudah menjadi satu trend. Usahkan tiga tahun, kahwin tidak sampai tiga bulan pun sudah bercerai. Ini menunjukkan betapa rapuhnya nilai sebuah perkahwinan.
Menurut Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah, ada pasangan yang mudah menyerah kalah pada saat kehidupan berumah tangga mula dilanda krisis. Lebih malang apabila sudah tidak ada lagi chemistry dengan pasangan.
Akhirnya tanpa berfikir panjang, perceraian pun menjadi pilihan mudah. Tiada usaha langsung untuk mempertahankan hubungan yang dibina sehingga pulih semula.
Perkahwinan adalah pintu bagi pertemuan dua hati dalam naungan pergaulan hidup yang berlangsung dalam tempoh yang lama mahupun seketika.
Di dalamnya terdapat berbagai-bagai hak dan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan bagi mendapatkan kehidupan yang bahagia serta keturunan.
Orang yang tidak mahu berkahwin umpama seekor burung tanpa sarang. Perkahwinan menjadikan manusia mampu menjadi tempat berlindung dan berkongsi susah senang.
Manakala perceraian, dalam istilah agama bermaksud talak yang memutuskan ikatan perkahwinan. Perceraian amat dibenci oleh Allah SWT. Pun begitu, jika perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan lagi perceraian jalan terbaik. Lakukan secara aman.
Punca Kegagalan Perkahwinan
(a) HILANG HORMAT ANTARA PASANGAN
Pasangan mula mengasari antara satu sama lain yang berlaku ketika perbalahan kecil kemudian dipanjangkan sehingga tercetusnya kata-kata kesat. Kedua-dua pihak tidak mampu lagi meneruskan perhubungan.
(b) KELEMAHAN KOMUNIKASI
Komunikasi yang lemah boleh membuatkan pasangan salah sangka terhadap sesuatu isu yang menyebabkan perbalahan. Jika ia berpanjangan akan mencetuskan perceraian.
(c) MASALAH KEWANGAN
Isu terbesar dalam perkahwinan yang akan menjadi lebih rumit apabila pasangan berbelanja melebihi daripada pendapatan. Situasi ini menjadi lebih tidak terkawal apabila pasangan memiliki hutang yang banyak dan tidak dapat menampungnya secara berhemah. Masalah yang runcing ini boleh mencetuskan konflik sehingga mencetuskan perpisahan.
(d) KURANG PENDEDAHAN ILMU PERKAHWINAN
Ramai pasangan yang berkahwin hanya kerana mereka ingin berkahwin. Mereka tidak pernah belajar ilmu perkahwinan demi mencari kebahagiaan bersama. Akibatnya, pasangan tidak tahu bagaimana untuk mengatasi konflik rumah tangga dengan bijak. Lantas perceraian menjadi pilihan.
(e) TIADA PERSEFAHAMAN
Selepas berkahwin ada pasangan yang mula saling menyalahkan dan sering menuding jari antara satu sama lain. Perbalahan ini akhirnya membawa kepada perceraian.
(f) MASALAH SEKSUAL
Masalah seperti ejakulasi dan mati pucuk. Sekiranya masalah yang serius ini tidak dirawat ia boleh menyebabkan perceraian.
(e) TIDAK FAHAM TANGGUNGJAWAB
Ada pasangan yang berkahwin tetapi tidak mengetahui tanggungjawab mereka sebagai suami isteri. Mereka masih lagi mengamalkan gaya hidup seolah-olah masih bujang dan berfoya-foya dengan rakan-rakan tanpa memikirkan kehendak pasangan masing-masing. Amy Mohd