Gaya Hidup

Apabila Ustazah Facebook Buat Perangai, Hari-Hari Share QUOTES ISLAMIK Tapi Diri Sendiri Rampas Suami Orang!

“Meluat betul baca status Facebook Zila!” Ringkas pesanan Ainul menerusi aplikasi Whatsapp. Kesibukan menaip tiba-tiba saja terhenti. “Eh, kenapa pula si Ainul ni? Jarang betul dia hantar mesej marah-marah. Ini salam tak, apa tak tiba-tiba je marah-marah.” bisik hati penulis.

Kami bersahabat sejak di bangku sekolah lagi. Susah senang kami sama-sama lalui walaupun penulis di sekolah biasa dan Ainul di sekolah asrama penuh.

Sewaktu di sekolah dahulu, kami tiga bersahabat cuma penulis dan Ainul lebih rapat berbanding Zila. Entahlah, mungkin kerana Zila mempunyai perangai yang kami kurang senangi, suka cakap belakang dan mengata orang memang nombor satu.

Dulu, Zila memang terkenal dengan tubuh yang menggiurkan dan pakaiannya haruslah mencolok mata. Pendek kata, setiap kali dia berjalan, semua mata akan tertumpu padanya. Tak tahulah dengan pandangan positif atau negatif.

Apabila Allah berkehendakkan sesuatu, maka ia akan terus terjadi. Begitulah yang berlaku pada Zila. Pada suatu hari, dia hantarkan kami fotonya yang terkini. Manis bertudung, malah tudungnya lebih labuh dari kami yang memang sejak awal lagi sudah berhijab.

Bertalu-talu kami bermesej mengucapkan tahniah. Zila tidak terus riak, dengan rendah diri dia menangisi perilakunya selama ini. Ya Allah, terima kasih kerana menyedarkan Zila dan kami juga.

Sebagai sahabat, kami amat gembira dengan perubahan Zila. Di dalam laman Facebook, banyak hadis-hadis yang boleh membuka mata kita sebagai wanita Islam. Selang beberapa bulan, satu lagi khabar sampai ke pengetahuan kami. Zila menyampaikan hasrat untuk berumah tangga.

Angin tidak, ribut pun tidak, seorang lelaki seusia kami menjadi pilihan hatinya. Kami bertemu hanya sekali, dan pada kali kedua kami hadir ke majlis perkahwinan mereka. Baik penulis mahupun Ainul, kami tidak mahu menggali kisah Zila. Mulut Zila masih macam dulu, pedas dan kasar!

Majlis diadakan secara ringkas. Tidak ada pelamin bersanding, cukup sekadar majlis makan-makan. Kebetulan, penulis dan Ainul duduk bersebelahan rakan-rakan sepejabat Zila. “Wife husband Zila dah tau ke pasal wedding ni?” Bisik salah seorang rakan Zila kepada Ainul. Ainul yang terpinga-pinga mulalah menjalankan ‘siasatan’. Sekali lagi kami terkedu. Zila berkahwin dengan suami orang!

Usai majlis, kami terus pulang. Kami sempat jumpa Zila tetapi ketika itu hati kami bagai acuh tak acuh. Tak sangka pengakhiran zaman bujang Zila adalah dengan menghancurkan kebahagiaan hati wanita lain. Esoknya kami terus hubungi Zila. Tak sabar nak mendengar alasannya.

“Sekurang-kurangnya aku kahwin. Bukan terus-terusan buat maksiat. Isteri dia tu langsung tak menunjukkan ciri-ciri isteri yang sedap dipandang mata. Aku tengok FB dia macam makcik-makcik tau! Padahal dia sebaya kita je.

Bukan senang aku nak kahwin. Ada satu hari tu, aku ke rumah Borhan (suami) kerana isterinya halang aku jumpa Borhan. Depan pintu rumah, kaw-kaw aku hentam minah tu! Dahlah badan tak jaga, penampilan memang ke laut. Pakai pun tudung awning yang dah patah-patah,” lantang suara Zila.

“Kau sedar tak walau apa pun kau cakap ni, itu adalah pilihan si Borhan. Selama ni kau sibuk update status di FB mengenai wanita perampas. Alih-alih kau juga yang jadi perampas.” Geram juga rasanya bila Zila mengutuk orang lain.

“Memang la aku hancurkan kebahagiaan wanita lain tetapi sekurang-kurangnya aku yakin aku boleh membahagiakan Borhan. Aku ni mulut je jahat, tapi hati baik. Orang yang tak reti jaga laki, macam tu je cara nak ajar.” Memang Zila dah hilang akal. Dia yang merampas suami orang, isteri pertama pula yang jadi pesalahnya. Perkahwinan Zila juga sebenarnya tidak diketahui isteri pertama.

Semakin lama Zila makin melampau. Habis kami semua dihambur dengan kata-kata pedih. Dikatanya kami bertudung tapi langsung tak menjaga aurat sedangkan dia sendiri berhijab tetapi dress labuhnya sendat seperti kain yang membalut nangka!

Setiap kali foto #OOTD dipertontonkan di laman Instagram, tak habis-habis mengatakan penampilannya melambangkan Muslimah, tudung labuh menutup dada tetapi bahagian belakang bukan main singkat. Terlalu ramai ‘ustazah’ media sosial yang baru sehari dua belajar agama, terus berbisa jatuhkan hukum, baru sehari dua bertudung, habis dikatanya orang lain bukan Muslimah sejati.

Tolonglah belajar dengan orang yang lebih arif. Perbaiki diri sendiri dahulu sebelum tunjuk pandai pada orang lain. Tidak salah jika kita saling menasihati tetapi biarlah ada batasannya dan gunakan pendekatan yang halus. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Yang Maha Esa. KR

Share
Published by
Norzalina