Gaya Hidup

Apakah Implikasinya Apabila Usia Suami JAUH LEBIH TUA, Isteri Materialistik Atau Suami Romantik?

Perkahwinan di antara lelaki berusia dengan wanita muda kini bukanlah sesuatu yang asing. Kebanyakan pasangan sebegini percaya bahawa jarak usia tidak menentukan kebahagiaan, sebaliknya apa yang penting adalah keserasian di antara satu sama lain.

Melihat kebahagiaan selebriti Hollywood, Catherine Zeta Jones (48) dan Michael Douglas (73) yang telah berkahwin selama 18 tahun serta dikurniakan dua cahaya mata membuktikan dakwaan materialistik itu silap.

Namun benarkah tanggapan lelaki tua lebih romantik ataupun faktor usia mampu menjejaskan prestasi mereka di ranjang? Age ain’t nothing but a number… Nona membuat perbandingannya.

SISI POSITIF

(a) Lebih berjaya

Ramai wanita muda yang tertarik dengan lelaki berusia kerana faktor material. Kerjaya mereka lebih kukuh dan lebih disegani berbanding lelaki muda. Ini juga bermakna, kehidupan anda dijamin stabil serta berkemampuan untuk membeli barangan mewah.

(b) Lebih matang

Pengalaman yang dilalui akan mendewasakan fikiran lelaki berusia. Inilah yang tidak dimiliki oleh kebanyakan lelaki muda yang mudah cemburu setiap kali melihat anda bercakap dengan lelaki lain. Mereka mampu berkompromi dengan ego sendiri dan melihat kehidupan ini dalam perspektif berbeza.

(c) Lebih hebat di ranjang

Kata orang, salah satu kerugian terbesar mengahwini lelaki berusia adalah kehidupan seks atau tarikan seksual yang membosankan. Realitinya, lelaki berusia jauh lebih hebat, malah mementingkan kepuasan isteri dahulu sebelum dirinya. Malah kini pengambilan ubat-ubatan tertentu juga mampu memanjangkan libido serta kesuburan mereka.

(d) Membuat anda berfikiran terbuka

Tanpa disedari, perkahwinan anda dengan lelaki berusia turut mengundang pandangan serong masyarakat. Ada yang melabel anda sebagai pengikis wang atau mengambil kesempatan terhadap krisis pertengahan usia yang dilalui. Namun keadaan ini akan membuat fikiran anda lebih terbuka dan matang meniti cabaran yang mendatang.

(e) Menghargai setiap detik

Bersama dengan lelaki berusia akan membuat anda lebih menghargai setiap waktu yang dilalui. Dia akan mengingatkan anda agar menghirup aroma bunga mawar di taman, bau rumput selepas hujan atau segala keindahan yang sering anda abaikan. Di samping itu, banyak ilmu praktikal atau kewangan yang dapat dikongsi bersama.

SISI NEGATIF

(a) Ramai kekasih lama

Lelaki berusia mungkin mempunyai bekas isteri atau bekas kekasih yang lebih ramai daripada lelaki muda. Inilah yang menjadikan mereka lebih pintar dalam perhubungan. Mereka juga sering menyimpul persepsi bahawa semua wanita adalah sama.

(b) Mempunyai anak

Bergantung pada jarak usia si dia dan anda, ada segelintir daripada mereka yang telah memiliki anak serta mungkin hampir seusia dengan anda. Bersedialah untuk menjadi ibu segera atau anda berkemungkinan terpaksa bermusuh dengan mereka.

(c) Tidak mahu berkongsi minat

Been there and done that. Tidak ramai lelaki berusia yang mahu berkongsi minat, nilai, pendapat dan kepercayaan mereka dengan anda. Mereka juga tidak mahu melakukan sesuatu yang mengikut trend atau dilakukan oleh generasi anda.

(d) Menjadi semakin tidak berdaya

Untuk 10 tahun pertama, perkahwinan anda mungkin menyeronokkan. Namun terimalah hakikat bahawa si dia semakin berusia dan akhirnya anda perlu bersedia untuk menjaga atau menjadi balunya. Fikirkan semua situasi ini sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. KR

Share
Published by
Norzalina