Apabila menyebut soal pengurusan kewangan, pastinya kemudahan seperti pinjaman kredit untuk kenderaan, rumah mahupun pinjaman peribadi menjadi sebahagian gaya hidup masa kini. Namun begitu, kadang-kala proses pemeriksaan kewangan mengambil masa dan melibatkan beberapa proses yang panjang memberi kesan terhadap individu untuk membuat sebarang pinjaman.
Memandang serius keperluan rakyat Malaysia terhadap masalah tersebut, ERBE World, CTOS dan CelcomDigi hari ini mengumumkan kerjasama strategik baharu untuk merevolusikan landskap perkhidmatan kewangan negara melalui aplikasi LULUS yang akan dilancarkan pada November depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Erbe World Holding, Datuk Muhammad Amir Abdullah, aplikasi itu menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan komprehensif yang mempunyai akses kepada pelbagai pilihan bagi memenuhi keperluan unik mereka.
LULUS akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat fintech, biro kredit dan institusi kewangan yang akan meluaskan lagi jangkauan dan mempelbagaikan tawaran produk dan perkhidmatan mereka.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh melakukan semakan pinjaman menggunakan teknologi canggih serta menerusi sumber data yang boleh dipercayai dan antara muka yang mesra pengguna.
“Perkhidmatan ini juga direka bentuk untuk memenuhi keperluan individu dan perniagaan, menyediakan laporan kelayakan pinjaman yang cepat, tepat dan boleh diakses.
“Setakat sekarang, pada tahun pertama saya menyasarkan 10 juta transaksi menerusi aplikasi ini,” katanya sewaktu majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA), di sini pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Eric Chin dan Ketua Ketua Kerjasama dan Perkongsian CelcomDigi, Azman Ramli.
Tambahnya lagi, syarikat tersebut mensasarkan 21 buah bank akan terlibat sama dalam kerjasama strategik ini membabitkan lima bank digital, koperasi kredit dan syarikat pinjaman lain.
” Perancangan fasa kedua pula, pada tahun hadapan kami akan memperkenalkan LULUS sebagai platform e-dompet dan fasa ketiga yang masih dalam perancangan iaitu menjalankan perniagaan pelaburan melalui aplikasi yang sama,” ujarnya menutup perbualan.