Arab Saudi Lancar Aplikasi Digital Bersepadu Pertama NUSUK Versi Bahasa Melayu Bagi Kemudahan Jemaah Haji

Pihak Pelancongan Arab Saudi baru-baru ini menganjurkan roadshow bersama 22 rakan kongsi termasuk DMC, pengusaha hotel, syarikat umrah serta persatuan pelancongan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Ia bagi mengumumkan pelancaran Nusuk (nusuk.sa) platform digital bersepadu umrah baharu yang mengalu-alukan jemaah dari seluruh dunia merasai pengalaman umrah.

Nusuk merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh pihak pelancongan Arab Saudi dengan kerjasama Vision 2030 Pilgrim Experience Program. Turut hadir Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama Dr Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah.

Nusuk bakal memperluaskan rangkaian pilihan dan meningkatkan pengalaman umat Islam yang melawat Arab Saudi. Ia juga membolehkan prosedur ketibaan yang lebih mudah untuk pelawat menunaikan umrah.

Menurut Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, “Kami berharap dapat menyediakan pengalaman tempahan yang lancar, dengan pilihan perjalanan yang diperluas seterusnya membawa mereka ke sebuah kembara rohani merentasi tarikan yang berbeza antara Mekah dan Madinah.”

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah pihak pelancongan Arab Saudi serta Pengarah Urusan Nusuk, Fahd Hamidaddin menjelaskan: –

“Kami komited untuk menjadikan Arab Saudi mudah diakses oleh pelawat. Untuk jemaah haji kami melancarkan platform digital Nusuk yang direka untuk jemaah haji dan pelawat merancang perjalanan mereka.

“Jemaah haji dari Malaysia boleh memohon e-visa di platform Nusuk dan boleh menempah pakej istimewa ke Mekah, Madinah dan seterusnya. Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menggalakkan jemaah haji meneroka negara kita yang indah dari pelbagai aspek melalui program Umrah+ kami.

“Ini memberi peluang perniagaan baharu untuk rakan kongsi yang ingin menawarkan pengalaman di Arab Saudi.”

Kongsi Alhasan Aldabbagh, Presiden Nusuk-APAC: –

“Platform Nusuk versi Bahasa Melayu ini mempamerkan ketangkasan kami untuk bertindak balas terhadap keperluan pasaran. Kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Malaysia.”

Malaysia sudah pun menjadi pasaran sumber pelancongan utama untuk Saudi yang sedang mengeratkan hubungan dengan rakan kongsi dan komited untuk melabur dan bekerjasama rapat dengan pemain tempatan. Tahun lepas, Saudi mengalu-alukan 312,000 pelawat Malaysia dan tahun ini sasarannya adalah untuk menggandakan bilangan pelawat.

Bagi mencapai matlamat, pihak pelancongan Arab Saudi mengumumkan dua inisiatif utama iaitu pakej Umrah+ dan Visa Persinggahan.

Visa Persinggahan yang diumumkan baru-baru ini terbuka kepada semua pengembara, perniagaan dan keagamaan yang terbang di SAUDIA dan flynas. Pengembara boleh melakukan persinggahan di Arab Saudi sehingga 96 jam dan menikmati penginapan hotel percuma satu malam. Ini menjadikan Arab Saudi destinasi sempurna untuk rakyat Malaysia yang melancong ke Eropah, UK dan AS.

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad