Pelakon kacak, Arja Lee yang lama menyepikan diri kini muncul dengan perkhabaran yang sangat membanggakan apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana.
Arja atau nama sebenarnya Azharuddin Ramli menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) pada sebuah Majlis Istiadat Konvokesyen ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menerusi hantarannya di Instagram, Arja berkongsi foto dan video yang memperlihatkan dirinya mengenakan jubah konvokesyen rona biru gelap sambil memegang ijazah buat tontonan umum.
Memetik Harian Metro, menurut Arja kejayaan yang dikecapinya itu adalah untuk menunaikan impian kedua arwah ibu bapanya iaitu Allahyarham Ramli Uteh dan Allahyarhamah Salmah Aziz.
Arja turut meluahkan, dia berasa bangga dengan segala usaha dan pengorbanannya selama dua tahun pengajian. Arja juga berharap kejayaannya itu dapat dijadikan inspirasi buat semua.
“Saya gembira pengorbanan dua tahun menyambung pengajian berbaloi walaupun sibuk dengan karier sebagai pelakon dan pengacara serta pensyarah tahun pertama di Universiti Nalaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu, Kelantan.”
Arja turut menjelaskan bahawa selebriti sebenarnya mampu berjaya dalam pendidikan seterusnya menjadi contoh dan inspirasi kepada masyarakat.
Majlis penyampaikan anugerah disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Menurut Arja Lee, sebelum bermastautin di Kota Bharu dia yang menetap di Kuala Lumpur terpaksa berulang alik ke UPSI enam kali seminggu bagi meneruskan pengajian. Segala perbelanjaan dan kos menyambung pengajian adalah tanggungan sendiri serta tidak ditaja mana-mana pihak.
“Saya gembira kerana ada yang menjadikan saya sebagai contoh dan berharap mampu menjadi ikutan dan dorongan kepada golongan muda atau rakan seperjuangan untuk menyambung pengajian.”
Semoga Arja Lee terus sukses dalam karier dan menjadi inspirasi buat semua.
Kredit Foto: Instagram Arja Lee
This website uses cookies.