Kariernya bermula dengan pergelutan di gelanggang, kini John Cena antara pelakon lelaki ternama dengan kekayaan berjuta-juta, mengikut langkah-langkah seniornya, seperti Dwayne ‘The Rock’ Johnson dan Dave Bautista. Dari satu filem ke filem, John Cena cukup menyerlah di kelasnya tersendiri. Selain kejayaan dan bakat John Cena, turut menjadi perhatian adalah kisah hidup John Cena yang dikhabarkan semakin ceria dan berseri dengan kehadiran wanita terbaru di dalam kehidupannya.
Setelah gagal dalam perhubungan bersama pengusti wanita, Nikky Bella yang juga tunangnya ketika itu, John Cena dilihat sudah ‘move on’ dan kini bahagia bersama isteri yang dikahwininya, Shay Shariatzadeh.
Yang menariknya, Shay adalah definisi seorang wanita yang hadir dengan pakej lengkap. Bukan saja jelita, namun dia juga bijak dan berjaya. Namun siapakah wanita yang berjaya menambat hati pelakon tampan John Cena ini?
Menurut sumber, Shay merupakan jurutera dari Kanada yang lahir pada tahun 1989 di tanah Iran. Shay memegang kewarganegaraan Kanada dan tinggal di British Columbia di mana dia bekerja sebagai Pengurus Produk untuk Sonatype, sebuah firma yang mengkhususkan bidang pembangunan perisian komputer.
Shay menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari The University of British Columbia pada tahun 2013. Sejak itu, Shay berkhidmat di universiti tersebut sebagai mentor untuk pelajar baharu serta membantu universiti membina jaringan lebih kukuh dalam industri.
Shay mula bekerja pada usia 18 tahun dan pekerjaan pertamanya adalah rakan jualan di firma La Vie En Rose, peruncit pakaian dalam Kanada. Pada 2011, Shay mula bekerja sebagai jurutera ujian perisian di Alpha Technologies Ltd. “Saya sentiasa sukakan matematik dan fizik”, jelas Shay dalam satu temubual menurut sumber People.
John Cena mula menjalinkan perhubungan dengan Shay pada tahun 2018, dan pertama kali bertemu Shay di sebuah restoran di Vancouver sewaktu John Cena menjalani pengambaran filem Playing With Fire.
Setelah hampir dua tahun bertunang, Cena dan Shariatzadeh berkahwin pada 12 Oktober 2020, di Tampa, Florida, pada satu majlis kecil di pejabat peguam pusat bandar Dilip Patel, yang berkhidmat sebagai perasmi acara.
Dapat dilihat John Cena dan Shay nampak cukup serasi dan bahagia bersama. Semoga perkahwinan mereka berdua berkekalan hendaknya.
Sumber: starsunfolded.com
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***