‘Arwah Mak Lang Terpaksa BUANG KEDUA-DUA PAYUDARA Akibat Enggan Buat Rawatan’ – Farhan Asri, Naib Juara Hero Remaja 2017

Pemergian Nortafsiah Sulaiman atau Mak Lang iaitu ibu saudara kepada Naib Juara Hero Remaja 2017, Farhan Asri akibat barah payudara sememangnya meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan jejaka berusia 20 tahun ini. Meskipun sudah lima tahun berlalu namun kenangan bersama arwah Mak Lang masih segar di ingatan. Masakan tidak, insan berjiwa murni itu jugalah yang pernah menjaga dan mendidiknya sejak kecil.

Mengakui sejarah keluarga yang mempunyai genetik kanser, Farhan berkata arwah neneknya juga merupakan penghidap kanser usus. “Paling menyedihkan bila aunty Farhan disahkan menghidap barah payudara. Dia dapat tahu tentang baran ini sebenarnya di peringkat awal lagi. Masa itu baru stage

satu tapi dia pandang ringan penyakit ini. Pendek kata, dia memang buat tak tahu saja dan kata boleh sihat dan semua semula. Tak perlu risau.

Seingat saya, pada tahun keenam atau ketujuh dia ada datang ke hospital untuk buat pemeriksaan. Sayangnya, sel kanser dah merebak ke stage four dan menjangkiti ke jantung serta organ dalaman sampai Mak Lang terpaksa buat operation untuk buang kedua-dua payudaranya.

Sejak pembedahan membuang payudara, dia dah mula duduk di rumah dan tak boleh bergerak. Doktor pun dah nasihatkan kami sekeluarga yang Mak Lang boleh hidup tak sampai setahun. Kalau tak silap saya, dia meninggal ketika usia 42 tahun dan meninggalkan empat orang anak. Anak bongsu pun masa itu baru darjah satu.”

Tatkala ditanya tentang usaha keluarganya pada detik sukar itu, Farhan berkata, “Mak Lang bukan jenis orang yang suka pergi ke hospital. Dia tak suka environment

di sana dan kalau ada saudara-mara yang masuk hospital memang dia tak suka pergi. Disebabkan sudah lali dengan perangai ibu mereka, anak Mak Lang siap bawa balik ubat dari hospital untuk lihat dia sihat semula. Tapi sayang, bila anak-anak bawa balik ubat, Mak Lang akan pura-pura ambil dan makan. Walhal dia akan buang ubat itu ke sinki.”

Jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi, pemergian Mak Lang benar-benar mengusik perasaannya. Bahkan dia sendiri pernah melihat penderitaan yang ditanggung ibu saudaranya itu. “Bila dah besar, saya memang tanamkan sifat dalam diri agar jangan pandang ringan sesuatu perkara. Para wanita di luar sana tak kisah dalam lingkungan umur berapa pun kena jaga kesihatan.

Kena ambil tahu tentang pemakanan walaupun ada yang cakap boleh makan apa saja tapi harus beringat. Sebab kita tak tahu apa akan jadi pada diri kita kelak. Tidak kira muda atau tua, amalkan diet sihat, selalu buat aktiviti sihat. Inshaallah, moga kita semua akan diberi kesihatan yang sebaik-baiknya.”

Dalam pada itu Farhan turut menasihati kaum wanita khususnya untuk peka terhadap perubahan diri dan sentiasa lakukan pemeriksaan agar kejadian yang menimpa ibu saudaranya tidak berulang dalam kalangan wanita lain.SUZIANA ABU DAUD

 

 

Share
Published by
Suzi