Walaupun sudah tujuh bulan arwah Siti Sarah Raisuddin meninggalkan kita namun namanya masih disebut-sebut sehingga kini. Kemurnian hati Allahyarham dan sifat dermawan yang ada dalam dirinya sejak dahulu wajar diikuti.
Baru-baru ini melalui hantaran laman sosial Instagram milik suami Allahyarham yang merupakan pelawak dan ahli perniagaan, Shuib berkongsi tentang manfaat amalan sedekah yang dilakukan oleh isterinya.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37 tahun telah membuat lawatan ke sebuah rumah anak yatim di Pelabuhan Klang. Menurut Shuib, arwah Siti Sarah pernah menghulurkan sumbangan bagi pembinaan ruang solat dan dewan serbaguna di rumah anak yatim tersebut sekitar Julai tahun lalu.
Bersempena dengan sumbangan yang telah dihulurkan oleh selebriti ini, sebuah ruang solat dan dewan Rumah Anak Yatim Baitul Sakinah As-Shariff ini telah diabadikan nama Allahyarham.
“Arwah nak sangat menyumbang sebab mahu lihat ruang solat dan dewan ini untuk kegunaan anak yatim serta orang kampung berhampiran tetapi hari ini, bila semuanya sudah siap, arwah sudah pergi selama-lamanya.
Tetapi rezeki arwah, dia diberi penghormatan apabila nama ruang solat dan dewan ini meletakkan nama Sarah serta digabungkan dengan dua nama lain iaitu Musolla dan Dewan Serbaguna Sarah Muslim al-Attas,” jelas Shuib sambil menyatakan hasrat arwah untuk melihat ruang solat dan dewan tersebut tidak kesampaian selepas dijemput Ilahi akibat COVID-19 pada 9 Ogos tahun lalu.
Menerusi perkongsian itu, Shuib dilihat hadir ke rumah anak yatim tersebut ditemani tiga anaknya dan ibu bapa mentuanya, Raisuddin Hamzah dan Siti Fatimah Suberi.
Dalam pada itu, Shuib turut berterima kasih kepada arwah isterinya kerana mengajarnya tentang manfaat dan kebaikan aktiviti bersedekah.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kerana mengajar saya tentang sedekah dan yakin dengannya. Semoga pahala terus mengalir untuk awak.
Insya-Allah akan selalu bawa anak-anak ke sini. Ini lokasi terakhir kita ‘dating‘ sayang. Semoga ada pengajaran yang boleh kita ambil,” ujar bapa kepada empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11 tahun, Dzahira Talita Zahra, 9 tahun, dan Ariq Matin, 7 tahun dan Ayash, 7 bulan ini.
Baca juga; Isteri ACHEY Pernah Gadai Gelang Kahwin, Pengorbanannya Berbaloi!
This website uses cookies.