Mewah, eksklusif serta elegan! Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kelebihan Arzuscarf. Bermula daripada fabrik sehingga kepada stail penggayaan, Arzuscarf tidak sekadar fesyen. Ia turut mendidik golongan wanita untuk menghargai kecantikan serta gaya hidup yang dimiliki.
Arzuscarf yang diperkenalkan pada tahun 1995 sering kali menjadi pilihan golongan profesional dan kenamaan. Tidak hairanlah tudung bertaraf antarabangsa ini dijual pada harga setanding dengan kualitinya.
EKSKLUSIF
Arzu Daud, satu nama penting yang berjaya menjadikan Arzuscarf salah satu jenama terkenal di Malaysia. Mesra disapa sebagai Arzu, wanita kelahiran Turki berusia awal 50-an ini menganggap semua pesaingnya dalam industri hijab sebagai pencetus semangat bagi melakukan yang terbaik.
Arzu sentiasa menampilkan kelainan agar Arzuscarf terus relevan dengan permintaan semasa. Berbekalkan pengalamannya menetap di Malaysia sejak 28 tahun lalu sudah cukup membuatkan Arzu mengenali identiti, budaya serta gaya hidup masyarakat di sini.
“Arzuscarf mementingkan nilai eksklusif dalam rekaan yang menggabungkan fabrik asli berkualiti tinggi. Rekaannya on-trend seiring permintaan semasa. Saya menganggap Arzuscarf berjaya menambat hati masyarakat Malaysia dengan identitinya yang tersendiri.
Saya juga menjaga kualiti fabrik dengan cara tidak menggunakan campuran bahan sintetik dan polyester yang keras kerana kedua-duanya tidak sesuai untuk kulit serta boleh merosakkan. Sebab itulah saya katakan Arzuscaf tidak sekadar fesyen, ia turut mendidik wanita agar menjadi lebih peka.
Setiap rekaan tudung Arzuscarf menggunakan fabrik cotton paling mewah, wool dan sutera. Keadaan iklim di Malaysia akan memberi kelainan saat anda menyarungkan tudung Arzuscarf,” kongsi ibu tunggal kepada seorang anak perempuan bernama Akida.
PERMULAAN
Segalanya bermula sebaik Arzu mengenali seorang lelaki bernama Haji Yusuf yang berasal dari Terengganu. Beliaulah yang mengajar Arzu selok-belok perniagaan. Ketika itu Arzu seorang pensyarah berkelulusan kejuruteraan komputer. Dia juga kerap bercuti ke Malaysia dan mempunyai ramai kenalan di sini di samping turut membantu perniagaan tudung Haji Yusuf.
“Tahun 1999 saya membuka kedai menjual tudung pertama di Masjid Jamek dan sambutannya sangat baik. Setiap hari saya perlu berhadapan dengan bermacam karenah pelanggan serta persaingan. Saya latih diri sendiri untuk belajar dan faham budaya masyarakat Malaysia. Saya banyak belajar daripada pelanggan untuk menjadi peniaga yang baik.
Saya gemar mendekati pelanggan dengan cara mendidik mereka tentang kualiti dan nilai eksklusif. Saya percaya jika sesebuah produk itu berkualiti dan punya nilai eksklusif, pelanggan pasti kembali dan berpotensi untuk menjadi pelanggan tetap. Setiap produk kami dihasilkan di Malaysia termasuklah rekaan coraknya,” jelas Arzu yang kagum dengan kecantikan asli wanita Malaysia.
KEKUATAN
“Saya sentiasa utamakan kehendak pelanggan. Interaksi saya bersama mereka amat penting. Selalunya saya juga akan menasihati mereka seperti pentingnya mempunyai tudung berwarna asas di dalam wardrobe
. Selain itu, saya juga membantu para pelanggan untuk suai padan dengan menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi.Banyak perkara yang saya belajar daripada pelanggan dan selalu turun padang untuk mendekati peminat setia Arzuscarf. Ada kalanya saya berkongsi masalah bersama mereka yang mampu menjadi pendengar yang baik,” akhiri Arzu. Butik terbaharu Arzuscarf telah pun dibuka di Indonesia diikuti Dubai tidak lama lagi. Bagi anda yang ingin membeli koleksi Arzuscarf, boleh mengunjungi butik Arzu di KLCC, Pavilion dan Mid Valley. AMYMOHD
This website uses cookies.