Penghidap albino dianggap sebagai pembawa malang oleh segelintir masyarakat. Justeru kelahiran Xueli Abbing yang begitu putih, dengan kulit dan rambutnya yang berwarna pucat telah membuatkan ibu bapa kandungnya tergamak meninggalkan si kecil itu terbaring di atas tanah, menangis kesejukan di halaman rumah anak yatim.
Mujurlah nasib bayi yang terbiar ini dibela oleh seorang pengasuh di rumah kebajikan itu. Dia diberi nama Xueli, bermaksud salju (Xue) dan cantik (Li). Pada usianya mencecah tiga tahun, Xueli telah diambil sebagai anak angkat dan dibawa menetap di Belanda.
“Ketika dilahirkan, kerajaan China menetapkan bahawa sebuah keluarga hanya diizinkan memiliki seorang anak.
Nasib bayi albino seperti saya, sudah pasti akan dibuang oleh ibu bapa sendiri. Malah ada juga yang dikurung atau rambut kami diwarnakan agar boleh bersekolah.
Saya tidak pernah tahu sejarah kelahiran saya. Bila dilahirkan dan berapa usia sebenar saya. Sehinggalah pada tahun lalu, saya melakukan rontgen tangan untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang usia saya.
Hasil kajian doktor, dianggarkan usia saya adalah sekitar 15 tahun,” kata Xueli dalam temu bualnya bersama Jennifer Meierhans.
Foto: Jet Van Gaal
Penyakit albino atau albinisme sememangnya tidak dapat disembuhkan. Ia berlaku apabila seseorang manusia memiliki kelainan genetik disebabkan oleh penghasilan melanin.
Anak-anak dengan masalah ini amat memerlukan perhatian dan dilindungi daripada cahaya matahari kerana mereka berisiko mengalami kanser kuLIT.
DUNIA MODELLING
Ads
Penglibatan Xueli dalam dunia peragaan bermula seawal usia 11 tahun. Ibu angkatnya berkawan dengan seorang pereka fesyen Hong Kong, yang kebetulan juga mempunyai seorang anak yang berbibir sumbing.
Suatu hari, pereka fesyen tersebut menghasilkan himpunan eksklusif bertemakan ‘ketidaksempurnaan yang sempurna’ khusus untuk anaknya. Dia bertanya jika Xueli mahu menyertai peragaan koleksi tersebut di Hong Kong.
Foto: Biel Capllonch
Di situlah bermulanya pengalaman Xueli apabila bakat remaja itu menjadi perhatian jurufoto terkemuka Inggeris, Brock Elbank.
Ads
Hasil karya Elbank nyata luar biasa. Potret-potret Xueli menarik minat agensi model Zebedee Talent, yang kemudiannya melamar remaja itu sebagai model kelainan upaya dalam industri fesyen.
Salah satu potret Xueli turut ditampilkan di majalah Vogue edisi Itali Jun 2019. Debut pertama itu berjaya melonjakkan namanya apabila Xueli diminta memperagakan koleksi pereka Kurt Geiger dan dibiarkan bebas mengekspresikan diri sendiri.
Foto: Kurt Geiger
“Meskipun terdapat ramai model yang kurus dan tinggi lampai, tapi model kelainan upaya atau yang memiliki penampilan berbeza juga semakin sering tampil di media. Ini adalah sesuatu yang positif dan membuatkan golongan kami diterima dalam masyarakat” Xueli
Ads
Sebagai model albinisme, penglihatan Xueli hanya berfungsi sekitar 8 – 10% sahaja. Dia tidak boleh melihat terus ke sumber cahaya kerana itu boleh menyakitkan mata.
“Ketika photoshoot, saya akan meminta untuk memejamkan mata. Jurufoto juga perlu ‘melembutkan’ cahaya flash demi kesihatan mata saya,” terang Xueli yang perlu fokus pada suara dan arahan kerana masalah penglihatan itu.
Kini pada usia 16 tahun, Xueli jelas begitu teruja dengan kerjaya barunya. “Saya senang berjumpa orang baru, sambil berlatih Bahasa Inggeris dan membuatkan orang senang melihat foto-foto saya.
Saya juga mahu menjadikan bidang ini sebagai medium berbicara tentang albinisme kepada masyarakat. Saya mahu mereka faham bahawa ini adalah kelainan genetik, bukannya sumpahan atau nasib malang seperti yang didakwa.
Saya ingin mengubah dunia. Mengubah stigma tentang anak-anak albinisme. Kami juga boleh menjadi apa yang kami inginkan,” akhiri Xueli yang gemar berolahraga dan melakukan sukan panjat tebing.
Sumber: BBC
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mekap mineral kini semakin mewarnai lambakan produk kosmetik tempatan. Walaupun penggunaannya baik untuk kulit tetapi sebagai wanita yang mementingkan kecantikan dan kesihatan perlu menyelidik terlebih dahulu kelebihan dan kekurangan mekap mineral ini.
Selain itu anda perlu mengetahui kelebihan dan kekurangan kulit anda. Adakah tergolong dalam kumpulan kulit bermasalah seperti jerawat atau kulit sensitif.
Kelebihan Mekap Mineral
(a) Sesuai untuk semua jenis kulit
Kosmetik mekap memang dibuat khusus tidak mengandungi bahan kimia dan pengawet, bebas wangian dan tiada pewarna. Oleh itu, mineral mekap ini sesuai digunakan oleh semua jenis kulit termasuk mereka yang mempunyai kulit sensitif dan berjerawat. Antara kandungan bahan mineral yang terdapat di dalamnya bersifat anti-radang dan boleh meredakan kulit yang sedang berjerawat teruk. Kebiasaannya produk mineral mekap ini berbentuk serbuk untuk mengelak penggunaan bahan pengawet.
(b) Non-comedogenic
Mineral kosmetik juga bebas minyak sehingga penggunaannya tidak akan menyebabkan pori-pori tersumbat atau menimbulkan alergi. Namun, itu bukan alasan untuk tidak menyemak label yang terdapat di setiap produk mineral. Baca isi kandungan dalam setiap produk kosmetik yang mahu dipakai dan elak bahan yang boleh menimbulkan iritasi seperti paraben.
(c) Halang sinar matahari
Mineral mekap telah dibentuk mengandungi SPF untuk menghalang kesan bahaya sinar matahari kepada kulit. Walaupun begitu, tetap disarankan untuk menyapu krim pelindung matahari terlebih dahulu sebelum menggunakan mineral mekap sebagai perlindungan tambahan. Ini kerana mineral mekap tidak mengandungi banyak SPF di dalamnya.
(d) Antioksida
Mekap mineral mengandungi antioksida yang tinggi. Antioksida ini membantu kulit menangkis tumbuh jerawat dan mengeluarkan kolagen demi memelihara kelembapan kulit.
Kekurangan Mekap Mineral
Hasil tidak sekata
Mekap mineral secara umumnya datang bentuk serbuk dan sangat ringan. Serbuk ini biasanya tidak menyerap di kulit seperti kosmetik biasa. Hasil solekan jika tidak dilakukan dengan teliti pasti tidak sekata berbanding dengan kosmetik biasa.
Tidak tahan lama
Mekap mineral diketahui diperbuat daripada bahan-bahan mineral yang tidak mengandungi pengikat seperti kosmetik lain yang mampu bertahan lebih lama di kulit. Mekap mineral memerlukan anda melakukan touch up untuk hasil yang maksima.
Pilihan terbatas
Produk mekap mineral ini tidak banyak di pasaran dan juga tidak mempunyai banyak pilihan. Pilihan rona juga tidak banyak kerana kandungannya tidak menggunakan pewarna tiruan dan ditambah dengan harga yang lebih sedikit daripada kosmetik biasa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Diam tak diam dah lapan tahun usia perkahwinan pereka fesyen ternama tanah air, Ruzaini Jamil dan isteri tercinta. Kian bahagia melayari alam perkahwinan, pasangan merpati dua sejoli ini sering menjadi perhatian khalayak dek kerana kerjaya suami sebagai designer jenama fesyen mewah, Rizman Ruzaini.
Tanggal 5 Februari lalu genap lapan tahun Ruzaini Jamil dan Nurul Hidayati Yahaya atau mesra disapa Ida. Rumah tangga mereka lebih bermakna dengan kehadiran cahaya mata comel, Wan Rahil Wan Mohd Ruzaini yang bakal menginjak usia empat tahun.
Diuji dengan kelahiran anak pramatang, Ruzaini dan Ida bagaimana pun tenang melalui tempoh tersebut dengan sabar. Kini, anak lelaki kesayangan mereka semakin membesar sihat dan comel!
Berkongsi luahan hati saat dikurniakan anugerah terindah itu, Ida yang berasal dari Perak yang pernah ditemu bual Nona dulu terbuka berkongsi sisi kehidupannya.
“Saya sendiri dibesarkan dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan soal agama dan akademik. Arwah ibu dan Abah tidak berkompromi bab solat, mengaji dan akademik. Semasa kecil, arwah Abah mewajibkan kami adik beradik solat berjemaah waktu Subuh, Maghrib dan Isya’. Saya juga khatam al-quran dengan arwah ibu.
Saya beritahu suami kalau boleh nak terapkan amalan solat berjemaah seperti arwah Abah ajar dulu. Kalau boleh juga, Rahil khatam al-quran dengan saya atau suami.
Jadi, sejak mengandung kami mula belajar ilmu tajwid, bacaan dalam solat yang betul sebagai persiapan mendidik Rahil. Saat itu baru tersedar, banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Benarlah, kadang kala teguran Allah tu dihantar melalui anak.”
Ida juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 5 Februari 2016 dan majlis perkahwinan mereka disambut penuh meriah dengan tema Bollywood dan tradisional Melayu untuk majlis resepsi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak dinafikan, wajah jelita Datin Emylia Rosnaida sewaktu membintangi filem Cinta Metropolitan pada tahun 1996 masih terkesan di hati penonton sehingga ke hari ini. Malah, lakonan mantap beliau di samping kumpulan KRU dan beberapa pelakon ternama lain seperti Vanidah Imran dalam filem berkenaan nyata mempunyai aura tersendiri.
Meskipun sudah lebih 20 tahun berlalu, namun pesona Datin Emylia masih terserlah. Kecantikan miliknya sentiasa meniti di bibir peminat. Apatah lagi beliau cukup setia dengan gaya potongan rambut ‘Bob’ dari zaman anak dara sehinggalah sekarang!
Potret Aidiladha Datin Emylia sekeluarga
Selepas bergelar isteri kepada pengacara TV popular, Dato’ Mizal Zaini atau lebih dikenali dengan nama komersialnya Dato’ AC Mizal… Datin Emylia dilihat tidak lagi aktif dalam kerjaya lakonan. Sebaliknya beliau lebih selesa berada di belakang tabir dan menyokong kerjaya suami tercinta, selain menguruskan keluarga dan anak-anak.
Begitu pun, Datin Emylia aktif mengemaskini dan berkongsi rutin bersama peminat setianya di media sosial. Mengimbas kembali perjalanan cinta beliau dan Dato’ AC, pasangan sama cantik sama padan ini mendirikan rumah tangga pada tanggal 10 Oktober 2002. Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Reeve Damien dan Fea Eryssa.
Kenangan majlis persandingan pada tahun 2002
Difahamkan Reeve Damien kini berusia 17 tahun sementara Fea pula genap mencecah usia 12 tahun pada 5 Februari lalu. Sepanjang hampir 18 tahun berkahwin, pasangan romantis ini tidak terlepas mendapat perhatian khalayak kerana disifatkan pasangan selebriti yang cukup ideal dan saling memahami di antara satu sama lain.
Walau rezeki Datin Emylia dan Dato’ AC semakin melimpah ruah namun kakak kepada Emylia Rosmila ini tanpa berselindung pernah mengakui berdepan detik sukar ketika baru melayari alam perkahwinan. Malah, beliau juga telah berkali-kali menyaksikan ‘jatuh bangun’ suami sepanjang membina kerjaya seni dan legasi perniagaan.
Namun berkat kerja keras dan sokongan yang tidak putus-putus, pasangan ini akhirnya berjaya melebarkan empayar niaga dan bergelar usahawan produk kosmetik K1SS Lip Matte dan Idealyst Biocare Products. Bahkan Dato’ AC juga menerima banyak tawaran mengacara selepas meraih pelbagai anugerah dalam bidang pengacaraan antaranya ketika menjadi hos program Maharaja Lawak Mega (MLM) selama lapan tahun.
Sebelum ini, Dato’ AC pernah berkahwin dengan Shafnie Zainuddin pada tahun 1995 namun berpisah pada 17 Oktober 2001. Hasil perkahwinan pertama, beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Shafiq Iman dan Muhammad Shabil Iman.
Pada penghujung tahun 2009, bekas kumpulan 4U2C ini juga telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang yang sekaligus membawa gelaran Dato’. Semoga kejayaan yang diraih pasangan selebriti ini terus menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat untuk berjaya.
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.