Khabar duka dari Kota Jakarta apabila pelakon kelahiran Malaysia, Ashraf Sinclair dilaporkan meninggal dunia pagi tadi, Selasa (18 Februari 2020). Ashraf meninggalkan isterinya yang juga penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari dan seorang anak lelaki, Noah Aiden Sinclair.
Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Pelakon yang berusia 40 tahun ini merupakan abang ipar kepada penyanyi, Yuna.
Ucapan takziah daripada artis dua negara Malaysia dan Indonesia membanjiri posting terakhir Ashraf di laman Instagram miliknya.
Salam takziah kepada Bunga Citra Lestari dan keluarga daripada team Nona. Semoga roh arwah ditempatkan bersama para solihin.
Sumber: www.kompas.com
Foto: ashrafsinclair
Menghitung Hari Hahagia, WATIE HANIFIAH Teruja Hadiri Kursus Kahwin Sebagai Peserta Paling Berusia!
Bakal menjadi isteri kepada pelawak terkenal Shuib, Watie Hanifiah meluahkan rasa teruja selepas selesai menghadiri kursus kahwin. Watie Hanifiah, 35 dan Shuib yang selamat bertunang awal Mei lalu akan disatukan pada 23 Jun depan.
Menghitung hari bahagia itu, menerusi perkongsian di Instagram, Watie memberitahu bahawa dia merupakan satu-satunya peserta paling berusia berbanding pada kursus pra-perkahwinan tersebut.
“Peserta Tertua. Takpelah kata orang, yang lambat tu selalunya sebab ALLAH nak bagi yang terbaik dan yang paling tepat. Mungkin sebab selalu dengar kata orang, akhirnya dapat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Terdahulu, Shuib yang juga penyampai radio Suria FM menamatkan teka-teki hubungannya bersama Watie dan mengakui bakal bernikah pada Jun depan.
Shuib sebelum ini berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, berusia setahun lima bulan.
Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
BACA JUGA: Bakal Bergelar Raja Sehari, Shuib Tamatkan Zaman Duda & Nikah Watie Jun Depan!
Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya mendoakan agar urusan Watie bersama bakal suaminya sentiasa dipermudahkan.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
PM Potong 2 Bulan Gaji Demi Hargai Jasa Frontliners & Rakyat Terjejas Covid-19!
Selepas beberapa hari rakyat bersedih dan muram dengan keadaan semasa negara, petang semalam penduduk Malaysia kembali menarik nafas lega. Seolah-olah mereka diberi sinar dan semangat baru lebih-lebih lagi apabila mendengar analogi ‘Makcik Kiah’ dalam usaha Tan Sri Muhyiddin menyampaikan contoh mudah kepada masyarakat mengenai bentuk bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. Sememangnya Perdana Menteri Kelapan ini bijak menceriakan hati rakyat Malaysia!
Belum pun sampai sebulan Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalas tanggungjawab besar memimpin negara tetapi telah banyak usaha yang dilakukan beliau. Apa yang membuatkan rakyat lebih terharu adalah kesanggupan Tan Sri Muhyiddin melaksanakan pemotongan dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung Covid-19. Satu jumlah yang besar tu!
Ditambah pula dengan pemberian elaun dan bantuan khas kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19 seperti doktor, kakitangan perubatan, anggota polis, tentera, kastam, pertahanan awam dan RELA. Tidak terkecuali para pejawat awam termasuk petugas media yang turut terdedah risiko demi menyampaikan maklumat terkini dan sahih setiap hari.
Salah seorang frontliners yang menerima elaun khas tersebut ialah Inspektor Norhaslina Md Nor yang kini bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor. Ini reaksinya ketika dihubungi Nona, “Bagi saya dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban kami sebagai anggota polis. Ini juga salah satu sokongan kerajaan kepada kami sebagai frontliners untuk terus bertugas dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi bagi memutuskan rantaian Covid-19.”
Dengan elaun khas RM200 sebulan yang bakal diterima, ia sudah pasti melegakan anggota polis sepertinya. Apatah lagi, dia dijangka menimang cahaya mata sulung pada 1 Mei nanti.
Selain anggota polis, Nona turut mendapatkan reaksi penjawat awam yang juga petugas media BERNAMA. Menurut Izzah Fatihah Ibrahim, “Saya bersyukur sebab sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tiada istilah untuk saya bekerja dari rumah. Walau pun ada segelintir pihak beranggapan RM500 satu amaun yang kecil tapi bagi saya sedikit sebanyak duit itu boleh dimasukkan dalam tabung emergency.
Walaupun saya tak pasti sama ada turut menerima (Bantuan Prihatin Nasional RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000) tapi kalau keluarga saya dapat, memang bersyukur. Harapan saya agar semua rakyat akan manfaatkan bantuan diberi dan dapat ‘berkongsi’ bersama pengusaha kedai runcit yang terjejas dengan cara membantu mereka membeli barang keperluan yang dijual.”
Turut menzahirkan ucapan terima kasih ialah Nurul Adillah Mohd Sani, seorang kakitangan perubatan di Hospital Besar Ampuan Rahimah, Klang. Ketika dihubungi Nona, dia yang baru pulang dari tempat kerja terharu diberi penghargaan seumpama itu.
“Syukur alhamdulillah, terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan atas pemberian bantuan kepada kami penjawat awam termasuk rakan frontliners yang terlibat mengekang pandemik Covid-19. InsyaAllah bantuan ini akan digunakan dengan sebaik mungkin,” ujarnya yang mempunyai empat orang anak yang masih kecil.
Meneliti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang bersandarkan matlamat pertama iaitu lindungi rakyat, ia termasuklah Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,000 kepada isi rumah yang berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; baki bawah Bantuan Sara Hidup dibayar pada Julai 2020, Elaun Khas RM200 sebulan kepada tentera, polis, kastam, pertahanan awam dan RELA yang terlibat mulai 1 April 2020; Elaun Khas RM600 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan mulai 1 April 2020; Bantuan RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam termasuk mereka yang bekerja secara kontrak untuk Gred 56 ke bawah pada April 2020 dan Bantuan RM200 seorang kepada pelajar pengajian tinggi.
Menerusi pakej rangsangan ekonomi ini jelas membuktikan betapa kerajaan berusaha memenuhi kehendak dan keperluan rakyat yang menyaksikan tiada seorang pun tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.
“Masa Disahkan, Kami Terkejut Sangat-Sangat!” Isteri DATUK JAMAL ABDILLAH Hamil Anak Kedua
Manusia hanya mampu merancang tapi Allah penentu segalanya. Syukur alhamdulillah, tumpang gembira dengar berita kehamilan isteri Datuk Jamal Abdillah yang disahkan
sedang hamil anak kedua. Bagi empunya diri, Datin Zai Izatti bagaimanapun tidak menyangka rezeki untuk timang cahaya mata sekali lagi datang secepat ini. Apatah lagi anak sulung, Nur Azura Yamani bakal memasuki usia 7 bulan pada 10 Mei ini.
Ketika dihubungi untuk mendapatkan kepastian, isteri Raja Pop tanah air ini dengan mesra mengesahkan berita gembira tersebut. Memandangkan kurniaan terindah dari ilahi ini diterima dalam bulan Ramadan, Datin Zai dan Datuk Jamal Abdillah menganggap ia merupakan satu rahmat buat rumah tangga mereka berdua. Yang pasti, ini reaksi kedua-duanya saat doktor memberi keputusan ujian kehamilan beberapa hari lepas.
“Masa disahkan hamil tu, kami terkejut sangat-sangat! Saya tahu yang saya hamil sebab rasa mual-mual teruk sampai nak makan pun tak selera. Tapi waktu tu tak fikir sangat pun sebab masih menyusu badan. Tambahan pula period saya tak teratur. Cuma bila rasa diri kerap sangat rasa mual-mual tu yang terasa hendak check. Tengok-tengok positive, alhamdullilah. Tapi dalam masa sama masih terkejut,” ujar Datin Zai yang kini meniti usia 12 minggu kehamilan.
Mengakui sedang melalui fasa ‘alahan’, Datin Zai turut berkongsi keadaan dirinya ketika ini. “Memang sekarang ni tengah alahan, hilang selera makan, muntah dan berat badan pun turun. Apa-apa pun alahan waktu mengandungkan Azura dulu lagi teruk berbanding sekarang. Sejujurnya saya dan suami tak jangka langsung akan hamil lagi. Iyalah, masa bersalin Azura kan czer. Memang kami merancang, tapi tak sangka rezeki Allah nak bagi secepat ini. Alhamdullilah.”
Tambahnya lagi, “Buat masa ini Datuk okay. Cuma dia suka makan asam pedas je.”
Bercerita tentang si comel Azura pula Datin Zai berkata anak perempuannya ini makin bijak dan mencuit hati. “Azura masuk 7 bulan, dah pandai merangkak dan duduk. Baru-baru ni dia dah mula berdiri. Juga paling pandai meragam. Sejak tahu hamil anak kedua, doktor pesan suruh saya rehat secukupnya, banyak minum air kosong dan jangan buat kerja berat-berat,” kata Datin Zai yang merancang mahu empat orang anak jika diizinkan Allah.
Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober lalu merupakan cahaya mata pertama Datin Zai Izzati sementara zuriat ketiga bagi Datuk Jamal Abdillah. Awal kehamilan, baik Datuk Jamal mahupun isteri memilih untuk tidak mengumumkan berita gembira tersebut kepada peminat. Ini kerana ujar penyanyi yang berasal dari Perak itu, isterinya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali dan mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim.
Syukur kerana kehadiran Nur Azura Yamani menyerikan lagi rumah tangga Datin Zai Izzati dan Datuk Jamal Abdillah. Mereka sah bergelar suami isteri pada tanggal 1 April 2017 di Ipoh, Perak selepas berkenalan selama dua bulan dan berjumpa hanya sekali sebelum bernikah. Tiga tahun melayari bahtera perkahwinan dan kini diserikan dengan kehadiran Azura serta cahaya mata yang bakal dilahirkan kelak, pastinya pasangan selebriti ini sedang diulit bahagia!
Mengenali suri hati Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati yang berusia 26 tahun sememangnya seorang wanita yang cukup sempurna. Rupa paras beliau yang sarat dengan kelembutan dan berkulit mulus mampu membuatkan sesiapa sahaja menoleh beberapa kali.