Adik Bella, seorang remaja kurang upaya dilaporkan telah menjadi mangsa dera. Remaja berusia 13 tahun itu telah mendapat perhatian masyarakat yang prihatin dan mahukan pembelaan buatnya.
Tidak sanggup melihat penderitaan anak istimewa sindrom Down ini, maka ramai yang bangkit mahukan keadilan buatnya.
Sememangnya anak istimewa bukan sepatutnya menjadi mangsa malah mereka sepatutnya dihargai dan dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.
Besar pahalanya menjaga anak istimewa ini. Hanya mereka yang ‘mampu’ sahaja dikurniakan oleh Allah SWT, anak syurga ini.
Sebelum ini, rumah kebajikan yang menempatan Adik Bella sudah disita. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur telah pun menyita sebuah rumah kebajikan yang terbabit dan khabarnya rumah kebajikan tersebut tidak berdaftar dengan pihak JKM.
Hari ini pula, pemilik rumah kebajikan, Rumah Bonda telah ditahan bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan wanita berusia 29 tahun itu ditahan jam 10.30 pagi semalam.
“Dia ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” kata Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Kisah Adik Bella telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.
Adik Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan. Semoga kehidupan Adik Bella terus ceria di bawah penjagaan yang sempurna.