Sepasukan jurutera lengkap coveralls kuning seperti biasa sibuk di bilik kawalan. Dalam kesibukan itu, tumpuan Nona terarah kepada Wan Afiedatul Syamimi Wan Ishak atau Fieda, satu-satunya Jurutera Sistem Kawalan wanita yang bertugas di sana.
Bahang Hari Wanita Sedunia masih terasa kehangatannya. Peranan kaum wanita zaman ini dalam mendepani era dwi-kerjaya menemukan Nona dengan Fieda, wanita jelita berusia 32 tahun yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas multinasional di Kerteh, Terengganu.
Persis model, anak jati Kelantan berkulit putih bersih itu begitu lemah-lembut orangnya. Namun di sebalik kelembutan, Fieda sering mengetuai pelbagai projek besar serta memberi arahan kepada ahli pasukan lain yang majoritinya lelaki.
“Bekerja di loji petrokimia kadangkala menguji ketahanan dan kesabaran diri kita sebagai wanita. Tugas di sistem kawalan sangat penting kerana ia ibarat ‘otak’ kepada loji ini. Saya pula bertanggungjawab di bahagian Distributed Control System
(DCS), Emergency Shutdown System (ESD), Programmable Logic Controllers (PLC) serta sistem fire and gas secara keseluruhan.Saya perlu memastikan agar semua sistem perisian dan perkakasan telah diperiksa serta berfungsi dengan baik demi kelestarian loji ini. Selain itu, saya harus terlibat dengan pelbagai projek, rekaan, merangka strategi penyelenggaraan dan juga mengkaji inisiatif atau teknologi baru tentang sistem kawalan kami.”
Sebagai jurutera, Fieda perlu sentiasa bersedia untuk bekerja pada hujung minggu atau syif malam, terutamanya ketika unplanned shutdown. Tekanan pasti lebih meningkat apabila berlakunya kerugian dalam produksi.
Masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu masalah pula amat singkat dan mereka perlu menepati garis masa yang ditetapkan.
Dengan stres yang tinggi, tertanya-tanya juga… Mengapa Fieda memilih bidang ini, bukankah kebanyakan wanita lebih suka bidang fesyen dan kecantikan?
“I love challenges! Memikirkan setiap hari saya bertemu cabaran baru dan kepuasan apabila berjaya menyelesaikannya dengan ilmu kejuruteraan, betul-betul mengujakan saya. Bidang ini juga melibatkan ilmu menyelesaikan masalah, komunikasi dan semangat berpasukan yang tinggi.
Sebenarnya saya pernah bercita-cita mahu terjun ke dunia korporat. Mungkin bekerja di KLCC, tak perlu bergelumang dengan equipments walaupun belajar tentang kejuruteraan.
Tapi jalan hidup saya rupanya telah disusun lebih indah oleh-Nya. Saya ditawarkan posisi terbaik di sini,” cerita Fieda yang berkelulusan Bachelor of Engineering (Hons) – Electrical and Electronics Engineering
dari Universiti Teknologi Petronas.Lumrah ibu berkerjaya, Fieda tidak menafikan kadang-kadang perlu bertugas lebih masa, selalu standby dan memberi tumpuan lebih di tempat kerja. Mungkinkah gaya hidup sebegini mengurangkan masa berkualitinya dengan keluarga?
“Jujurnya, yes! Di sebalik cita-cita untuk meningkatkan kemahiran dan menjadi aset syarikat, meluaskan network ke peringkat profesional, menginspirasikan golongan muda serta menjadi seseorang yang didengari, saya juga mencari keseimbangan hidup sebagai seorang ibu dan isteri.
Saya merupakan ibu kepada dua cahaya mata, Zara Aesha, 6 tahun, dan Zayn Omar, 3 tahun. Rasa bersalah pasti mencengkam jika saya terpaksa menumpukan perhatian pada kerjaya. Tambahan lagi kalau mereka tidak sihat atau saya perlu meninggalkan mereka pada pengasuh.
Untuk mengatasi perasaan bersalah, biasanya saya akan fokus pada waktu makan malam dan rancang aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan dengan anak-anak.
Mempunyai suami yang berprinsip ‘kita kongsi tanggungjawab’ juga sangat bermakna kerana kami akan sama-sama bergilir menggalas peranan ibu bapa sebaik mungkin ketika salah seorang perlu bekerja,” terang Fieda sambil memaklumkan bahawa suaminya juga seorang jurutera.
KESAMARATAAN
Banyak perkara positif dapat diserap apabila bekerja dikelilingi rakan sekerja lelaki. Ulas Fieda, dia bertuah kerana mereka bukan saja berpengalaman tapi sanggup menjadi coach
dan melatih dirinya sebagai pelapis.“Pesan mereka, every difficulties come with solution and it is just a matter of ways to get to the solution. Mereka juga ajar supaya jangan terburu-buru buat keputusan dan dapatkan nasihat kalau buntu. Belajar bertenang ketika cemas dan semua inilah yang mengajar saya agar lebih matang dan berpengalaman.
Tidak dinafikan bahawa bukan mudah menyesuaikan diri dengan bidang ini. Ada ketikanya saya begitu penat tapi dalam waktu yang sama, saya mahu buktikan kemampuan diri setaraf dengan lelaki.
Pernah saya rasakan begitu susah untuk membuat suara saya didengari. Saya hanya minoriti dan masih muda dalam posisi teknikal. Tapi pada akhirnya, saya sedar bahawa satu-satunya orang yang mencabar adalah diri saya sendiri,” akhiri Fieda dengan positif.
This website uses cookies.