Berpuasa menurut bahasa kesihatan bermaksud menyahtoksin. Menyahtoksin adalah proses pengeluaran sisa toksin beracun dari dalam tubuh, yang kerap kali muncul dari sisa makanan, metabolisma tubuh, pencemaran dan ubat-ubatan hingga tercetusnya pelbagai penyakit. Justeru, sewajarnya peluang diambil untuk meningkatkan ibadah di bulan mulia ini dalam keadaan tubuh yang sentiasa cergas dan segar. 25 panduan berikut pasti dapat membantu untuk meningkatkan kecergasan anda sepanjang hari!
Sewaktu azan berkumandang, jangan berbuka dengan minuman atau kuih-muih yang manis kerana ini akan membebankan sistem endokrin tubuh akibat kadar gula yang naik mendadak. Sebagai ganti, mulakan dengan segelas air putih, diikuti makanan berkarbohidrat kompleks seperti kurma.
Siapa kata anda tidak boleh bersenam ketika berpuasa? Dianjurkan supaya anda melakukan latihan beban kerana ia lebih memfokuskan glikogen otot sebagai penjana tenaga. Latihan seperti mengangkat dumbbell, sit-up atau push-up boleh dilakukan kira-kira 20-30 minit sebelum berbuka.
Prinsip makanan sihat harus diamalkan ketika bersahur. Ambil makanan yang mengandungi zat penting iaitu karbohidrat, lemak, protein, vitamin dan mineral. Contoh karbohidrat kompleks ialah ubi, nasi merah, roti gandum atau bubur kacang hijau dengan gula merah. Nikmati juga segelas susu rendah lemak dan berkalsium tinggi.
Bagi penghidap penyakit hipertensi, jantung, diabetes, strok dan sebagainya, pastikan anda bertemu pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk berpuasa. Ingatan bagi penghidap diabetes yang ingin bersenam ketika sedang berpuasa, anda jangan terlalu memaksa diri kerana paras gula darah yang turun boleh menyebabkan hipoglikemia.
Melakukan ibadah terawih atau solat-solat sunat pada sepertiga malam juga merupakan aktiviti olahraga yang menyihatkan untuk melancarkan peredaran darah. Apatah lagi dengan jumlah rakaat yang banyak, ia membantu sistem tubuh untuk fokus pada proses penghadaman selepas seharian berpuasa.
Jangan lupa mengambil suplemen untuk bekalan nutrien yang lengkap. Ini membantu membekalkan zat yang secukupnya kepada tubuh semasa anda berpuasa. Selain itu, pastikan label suplemen jika tertulis perlu ‘minum banyak air’ kerana jenis sebegini mudah membuatkan tubuh terhidrat dan penat.
Bilakah masa terbaik untuk minum banyak air? Nikmati jus buah-buahan segar semasa berbuka dan sebelum tidur agar tubuh anda dapat mengimbangi paras cecair dalam tubuh mengikut masa. Pelbagaikan jenis jus seperti oren, jambu batu, lobak dan timun untuk mendapatkan khasiat yang pelbagai.
Dr. Farouk Haffejee dari Persatuan Perubatan Islam Afrika Selatan menganjurkan pengambilan makanan tinggi serat yang lambat dihadam seperti bijirin dan biji-bijian seperti barli, gandum, oat, kekacang, tepung gandum penuh dan beras sewaktu bersahur. Contoh karbohidrat yang cepat dihadam pula ialah gula dan tepung putih.
Sembelit merupakan penyakit biasa yang sering dialami semasa puasa. Ia disebabkan pengambilan makanan berproses yang banyak, kurang minum air dan serat penting dalam diet. Kurangkan pengambilan makanan segera dan bergoreng, tingkatkan pengambilan air dan amalkan makanan berserat tinggi.
Masalah penghadaman atan perut dimasuki angin disebabkan oleh makanan pedas, bergoreng dan berlemak yang banyak, selain pengambilan makanan yang menyebabkan angin seperti telur, kubis serta minuman bergas. Pastikan anda tidak terlebih makan dan minumlah banyak jus buah-buahan sewaktu berbuka.
Masalah tekanan darah rendah lazimnya membuat tubuh berpeluh berlebihan, tidak bermaya, mudah penat, kurang tenaga, ingin pitam apabila bangun dari posisi duduk serta berwajah pucat apabila menjelangnya tengahari. Pastikan anda minum banyak air semasa bersahur dan kurangkan pengambilan garam.
Minuman teh, kopi dan bergas mengandungi kafein yang bersifat diuretik. Kurangkan pengambilannya dari hari ke-3 hingga ke-5 sebelum Ramadan kerana jika dihentikan pengambilan kafein secara tiba-tiba akan menyebabkan pening kepala dan perubahan mood yang ketara.
Usah jadikan sambutan puasa sebagai alasan untuk naik berat badan! Bagi anda yang mempunyai berat badan berlebihan, puasa adalah peluang terbaik untuk mengembalikan berat badan ideal. Rancanglah diet anda dengan bijak dan amalkan gaya hidup aktif di siang hari.
Adat berpuasa, selera pastinya terbuka dengan aneka juadah lazat yang terhidang. Tidak salah menikmati saat-saat ini, asalkan anda bijak mengatur menu untuk keluarga. Pastikan ada satu hidangan utama seperti nasi atau mi, diikuti lauk-pauk seimbang lengkap sayuran dan kekacang dan snek segar seperti buah-buahan sebagai pencuci mulut.
Ambil 1-2 hidangan buah-buahan sitrus yang kaya vitamin C semasa berbuka. Anda juga boleh memakan buah sebagai penyudah makan malam untuk melancarkan proses penghadaman dan mencegah masalah perut/usus yang lain. Buah-buahan kering pula boleh dijadikan snek selepas makan atau terawih.
Susu dan produk tenusu adalah sumber protein serta kalsium yang baik. Semasa berpuasa, nutrien penting ini perlu diambil bagi mengekalkan pembinaan tisu tubuh dan tulang yang kuat. Amalkan meminum segelas susu, yogurt atau hirisan keju semasa bersahur.
Tidak perlu makan banyak sewaktu bersahur mahupun berbuka! Tubuh kita mempunyai mekanisma yang menakjubkan semasa berpuasa. Secara automatik, basal metabolisma akan menurun dan lemak di bawah kulit akan dibakar sebagai tenaga. Walaupun pengambilan makanan berkurangan, anda akan tetap sihat dan aktif asalkan mengambil diet yang seimbang semasa makan.
Semasa cuaca sangat panas dan terik, jangan berjemur di luar. Elakkan sebarang aktiviti luar ketika ini dan berteduhlah di tempat yang sejuk. Hadkan aktiviti anda dengan melakukan kerja pejabat atau belajar untuk mengelakkan rasa penat atau kehausan.
Ketika makan, sentiasa ikuti peraturan yang ditetapkan oleh para Nabi iaitu satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga angin di dalam perut. Peraturan ini bukan sahaja menjamin kesihatan, malah memberi keselesaan semasa anda beribadah.
Semasa waktu rehat, carilah sebuah tempat yang sunyi dan tetapkan jam penggera pada jam atau telefon bimbit agar anda dapat tidur seketika. Walaupun hanya 15 minit, tubuh akan kembali segar lebih-lebih lagi selepas anda bangun awal untuk bersahur.
Berpuasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum malah menguji kesabaran emosi anda. Selain melakukan ibadah, tetapkan psikologi anda agar lebih terkawal kerana ia boleh mempengaruhi kecergasan tubuh dan tahap ketahanan diri semasa sedang berlapar.
Bagi mengekalkan bekalan susu yang mencukupi untuk si comel anda, minum dua gelas susu segar, semangkuk sayuran dan buah-buahan serta sepinggan pasta, roti atau nasi. Pastikan juga anda banyak berehat di siang hari dan menyusui bayi dengan kerap.
Rutin penjagaan kecantikan anda seharusnya ditingkatkan menjelang bulan Ramadan. Selain memberi perhatian pada aspek kebersihan kulit, elakkan memakan makanan ringan seperti coklat, gula-gula atau makanan berminyak lain yang boleh menyebabkan timbunan jerawat. Malah, jangan lupa menyapu krim tabir suria dengan kandungan SPF yang lebih tinggi.
Untuk mengekalkan kesihatan kulit, pastikan anda sentiasa membersih, menyental, menyegar dan melembap kulit setiap hari. Pilih solusi pembersihan kulit yang sesuai jenis kulit, samada kering, berminyak atau normal. Di bulan Ramadan ini, gunakan air yang agak hangat untuk membersih dan bilas dengan air suam.
Lumrah berpuasa, tubuh akan terhidrat kerana tidak dapat meminum air. Bekalkan lembapan pada wajah dengan pemakaian pupur pelembap atau masker vitamin C selama beberapa minit. Kulit yang lembap nyata lebih berseri berbanding wajah pucat dan kusam.
This website uses cookies.