Temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan baru sahaja membuka tirai dan menyaksikan negara-negara di seluruh dunia berkumpul di atas semangat kesukanan. Lebih membanggakan, temasya kali ini menyaksikan Malaysia juga tidak ketinggalan menyertainya dan ini merupakan penyertaan sulung negara kita dalam temasya sukan tersebut.
Apabila menyebut tentang sukan luncur ais, pastinya pakaian yang digayakan oleh atletnya mengikut potongan bentuk badan dan dihiasi perhiasan manik-manik yang cantik untuk menarik perhatian tatkala melakukan aksi luncur di atas ais. Namun begitu, kemunculan seorang peserta luncur ais dari United Arab Emirates (UAE), Zahra Lari yang mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat pastinya mencipta kelainan. Gadis berusia 22 tahun itu merupakan hijabi pertama yang bertanding di peringkat antarabangsa dalam sukan luncur ais.
Menampilkan imej bertudung dengan skirt labuh dan berseluar longgar, aksi Zahra sememangnya memukau kerana ketangkasannya dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa Zahra mampu mencabar para peserta yang turut bertanding dalam sukan luncur ais.
Sejarah penglibatan awal Zahra bermula apabila minatnya menonton filem Disney bertajuk ‘Ice Princess’ ketika berusia 12 tahun. Dari situ Zahra mula memasang impian untuk menyertai aktiviti luncur ais. Dilahirkan di negara yang tidak mempunyai musim sejuk tidak mematahkan semangatnya untuk dirinya berjaya mencapai impiannya itu.
Malah, pujian wajar diberikan untuknya apabila dia sanggup melakukan apa sahaja dan komited dalam usaha memantapkan kemahirannya meskipun perlu bangun seawal jam 4.30 pagi untuk berlatih sebelum pergi ke sekolah.
Antara rintangan yang perlu dihadapi oleh Zahra termasuklah halangan dari bapanya. Berasal dari negara Islam yang bersifat konservatif, bapa Zahra sememangnya tidak bersetuju apabila dia melahirkan hasrat untuk bertanding. Menganggap ia bertentangan dengan budaya dan tradisi mereka, keputusan bapanya itu sedikit sebanyak menghalang kebolehannya pada usia remaja.
Disinilah ibu Zahra memainkan peranan untuk memujuk suaminya itu memberi keizinan untuk Zahra menyertai sukan tersebut. Salah satu keraguan yang disuarakan oleh bapanya termasuklah kostum yang menjolok mata untuk aktiviti sukan luncur ais ini.
Walau bagaimanapun, keadaan mula berubah selepas bapanya melihat Zahra dapat beraksi dengan begitu baik sekali. Lebih meyakinkan apabila Zahra menggayakan kostum yang tidak terlalu menjolok mata! Kini, Zahra telah mempunyai penyokong tegar iaitu bapanya sendiri!
Cita-cita gadis berusia 22 tahun ini adalah untuk terpilih mewakili UAE pada Sukan Olimpik Musim Sejuk. Di sebalik pandangan negatif masyarakat terhadap penglibatan wanita berhijab dalam sukan ini, Zahra membuktikan dirinya mampu mengatasi segala halangan.
Malah Zahra turut membantu negaranya untuk muncul sebagai negara Arab pertama menyertai Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) sekali pun rantau negaranya tiada salji dan ais.
Dengan mengenakan pakaian sopan dan seluar lebih tebal menutup aurat terutamanya kedua-dua belah kaki, aksi luncur ais Zahra begitu memukau apatah lagi tudung kepala yang dipakainya paling menarik perhatian dan muncul peluncur ais pertama bertanding dengan pendekatan itu pada Piala Eropah di Canazei, Itali pada 2012. Bagaimanapun, hakim menolak satu markah disebabkan perlanggaran peraturan pakaian digunakan.
Isu tudung kepala yang dipakai oleh Zahra turut mencetus kontroversi memandangkan tidak pernah ada mana-mana peserta yang mengenakannya dan faktor keselamatan penggunaan penutup kepala itu turut diperdebatkan agar ia selamat untuk digunakan di atas ais.
Bagi memastikan kostum tersebut boleh diterima di peringkat antarabangsa, Zahra turut berkempen untuk perubahan peraturan dan ketika Trofi Nebelhorn di Jerman, pegawai diberitahu agar tidak menganggap penutup kepala bertentangan dengan sut luncur ais.
“Sasaran saya melebihi mewakili UAE pada Sukan Olimpik musim sejuk. Saya mahu bertanding pada saingan Kejohanan Luncur Ais Empat Benua dan Kejohanan Dunia. Pertandingan ini adalah sasaran utama saya sekarang.”
Sumber:Klick.my/independent.co.uk
This website uses cookies.