Tahniah buat penerima Nona Men’s Paralympic Award, Abdul Latif Romly yang kini bergelar Datuk! Siapa sangka, atlet paralimpik kelahiran Perlis ini menerima gelaran tersebut pada usia yang masih muda iaitu 24 tahun. Syabas Datuk Abdul Latif Romly!
Pastinya, kejayaan Datuk Abdul Latif Romly mempertahankan pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo acara lompat jauh (T20) membolehkan beliau mendapat pengiktirafan tertinggi.
Apatah lagi, pencapaian membanggakan Datuk Abdul Latif menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Dalam Istiadat Pengurniaan Darjah, Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan itu, jaguh sukan berkenaan menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PWM) yang membawa gelaran ‘Datuk’. Perkara berkenaan dikongsikan Majlis Sukan Negara (MSN) di akaun Facebook rasmi mereka.
Dalam temu bual Nona bersama Datuk Abdul Latif bagi edisi Nona Superhero, beliau mendedahkan mula menceburi bidang sukan ketika zaman persekolahan lagi. “Saya mula serius ceburi sukan lompat jauh ini ketika di Tingkatan 3, umur 15 tahun. Banyak sukan yang saya masuk sebelum ini dan saya pilih lompat jauh atas saranan cikgu. Mungkin cikgu nampak fizikal saya yang tinggi, sesuai dengan kategori sukan ini. Jadi, cikgulah yang nampak bakat saya di situ.
Ikutkan dulu semua sukan saya main. Bola sepak, bola baling, bola tampar dan untuk olahraga pula saya pernah turut serta larian 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Lepas jurulatih nampak potensi saya, mereka bawa pergi buat ujian kecergasan sama ada layak masuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak.
Alhamdulillah saya diterima masuk MSN pada bulan Julai 2014. Dua tahun lepas tu, nama saya tersenarai sebagai atlet untuk Sukan Paralimpik Rio,” katanya yang menjadikan jaguh lompat jauh dunia, Aleksandr Menkov dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi.
Diaju soalan mengenai dirinya jika tidak menjadi ahli sukan, ini jawapan jujur beliau. “Saya pun tak terfikir. Mungkin saya kerja di kedai makan atau tolong mak mengusahakan bisnes kerisik. Mak berniaga kerisik di kampung secara kecil-kecilan dan buat jika ada tempahan. Dulu saya bercita-cita nak jadi polis tapi tak kesampaian.
Impian dalam bidang sukan saya berhasrat nak buat lompatan sejauh 8.03 meter dan memecahkan rekod milik Andre Anura Anuar selain berjaya masuk Sukan Olimipik. Buat masa ini sepenuh tumpuan saya hanya kepada karier sukan. Saya target untuk terus aktif dalam kerjaya sukan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Apa-apa pun saya amat berharap agar akan ada pelapis sukan lompat jauh ini yang boleh meneruskan kesinambungan legasi yang pernah saya sertai ini. Bukan hanya bakal atlet para yang berbakat dalam sukan ini tetapi juga dalam sukan lontar peluru menggantikan Muhammad Ziyad Zolkefli, jaguh lari pecut Mohammad Ridzuan Puzi dan lain-lain,” tegas Datuk Abdul Latif yang turut merancang mengakhiri zaman bujang pada hujung tahun 2022.