Meskipun popularitinya tidak sehebat Serena Williams, namun nama atlet sensasi Jessica Pegula kini heboh meniti bibir peminat sukan tersebut. Masakan tidak, beliau merupakan pewaris bapanya, Terry Pegula yang merupakan individu ke-434 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah AS$4 billion hasil pembangunan gas asli.
Berusia 28 tahun, kekayaan bintang tenis Amerika itu dikhabarkan 10 kali ganda melebihi bintang bola sepak dunia Lionel Messi, malah dikatakan senilai dengan kekayaan tiga atlet tenis legenda jika digabungkan iaitu Roger Federer, Serena Williams dan Maria Sharapova.
Meskipun dilahirkan sebagai anak jutawan dan tidak perlu pun berhempas-pulas memenangi sebarang kejohanan tenis, Jessica Pegula tetap komited memberikan yang terbaik untuk sukan yang sangat diminatinya itu.
5 FAKTA JESSICA PEGULA
1. Anak jutawan Terry Pegula
Jessica Pegula lahir pada 24 Februari 1994 di New York, Amerika Syarikat. Beliau merupakan anak perempuan Terry Pegula dan Kim Pegula yang berketurunan Korea.
Berdasarkan sumber Bloomberg, bapanya merupakan ahli perniagaan sukses di Amerika Syarikat. Terry Pegula merupakan pemilik pasukan gergasi NFL – Buffalo Bills dan pasukan hoki Buffalo Sabre yang dibelinya pada tahun 2014.
2. Meminati tenis sejak kecil
Jessica memulakan karier sukannya pada usia tujuh tahun kerana mengikut jejak langkah kakaknya – Laura Pegula yang terlebih dahulu bermain tenis.
“Saya selalu menonton latihan dan pertandingan Laura di gelanggang tenis. Pada saat itu, fikiran saya selalu berputar alangkah baiknya jika dapat memukul sekuat dan sebagus mereka.
Kemudian saya sendiri mula mempelajari sukan ini sepulangnya dari sekolah dan berlatih tiga atau empat hari seminggu.” Jessica Pegula
3. Pemain tenis profesional pada tahun 2009
Kemampuannya dalam sukan tenis tidak perlu diragukan. Sejak 2009, Jessica berjaya meletakkan dirinya sebagai atlet tenis profesional serta tersenarai di posisi tiga terbaik di dunia.
Namun pada tahun 2014, Jessica Pegula mengalami kecederaan lutut, diikuti kecederaan di pinggul pada tahun 2017. Proses pemulihan itu menjadi momen paling sulit buatnya untuk kembali aktif bermain tenis.
4. Usahawan penjagaan kulit
Sebagai anak usahawan berjaya, Jessica juga menurut jejak langkah bapanya dalam dunia bisnes. Walaupun terkenal sebagai atlet tenis hebat, beliau tidak pernah mengabaikan rutin penjagaan kulit.
Menerusi NBC, Jessica merupakan pengasas produk Ready 24, rangkaian produk penjagaan kulit yang dirumus untuk wanita yang kerap berpergian. Ini terhasil daripada pengalaman dirinya sendiri yang sering berdepan masalah kulit ketika muda akibat stres.
“Akhirnya saya belajar tentang apa yang perlu dilakukan untuk merawat kulit. Saya mengembangkan Ready 24 dengan menggunakan bahan-bahan yang saya sukai yang membuat kulit saya lebih siap.” Jessica Pegula
5. Kekayaan melebihi Lionel Messi
Sumber kekayaan Jessica bukan hanya dinilai daripada sukan tenis, tetapi juga perniagaannya. Mengutip The Sun, setelah berhasil mengalahkan Marta Kostyuk untuk mara ke pusingan keempat Australia Open, beliau memperoleh bayaran AS$348,000.
Hadiah kemenangan itu pastinya tidak begitu lumayan buat Jessica. Ini disebabkan nilai kekayaan bersihnya sendiri dilaporkan mencecah lebih daripada AS$6.2 billion. Jelas sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada atlet bola sepak Lionel Messi yang menjadi atlet dengan bayaran tertinggi 2022!
Foto: Instagram @jpegula