Nama Sabina Altynbekova bukan lagi asing dalam industri sukan antarabangsa. Apatah lagi dia pernah menerima julukan atlet tercantik kerana raut wajah dan susuk tubuh menawan yang dimiliki. Bertubuh langsing dengan ketinggian enam kaki, rambut hitam panjang mengurai, hidung mancung dan bibir mungil… tidak hairanlah atlet bola tampar Kazakhstan ini menjadi perhatian ramai peminat sukan. Bukan hanya dipuja kebanyakan kaum lelaki bahkan golongan wanita juga mengagumi kecantikan Sabina. Memang cantik dan tinggi lampai orangnya!
Baru-baru ini, Sabina kembali menjadi bualan hangat apabila dia memuat naik gambar di samping seorang lelaki. Meskipun hanya gambar dari sudut belakang, namun kapsyen Sabina pada 25 Disember 2020 tersebut memberi gambaran jelas kepada peminat bahawa dirinya sudah bergelar isteri. Kongsinya, “Finishing this year as the wife of the best man.” Selain gambar berkenaan, hashtag Sabina juga mencuri tumpuan apabila dia menggunakan #mashaallah, #alhamdulillah dan #nikah. Pun begitu, yang paling mengujakan ialah penampilan Sabina yang mengenakan tudung!
Menurut laporan media antarabangsa, jejaka yang berjaya menambat hati atlet cantik ini ialah Sayat Salmanuly. Lelaki yang juga berasal dari Kazakhstan ini dikatakan lapan tahun lebih berusia daripada Sabina namun kerjaya Sayat tidak diketahui. Difahamkan Sabina antara atlet yang cukup menjaga privasi diri dan keluarga daripada pengetahuan umum.
Jika sebelum ini agama anutan Sabina menjadi tanda tanya peminat, tetapi sejak perkongsian jelitawan tersebut di media sosial miliknya… ramai yang percaya Sabina beragama Islam. Dia juga dilihat makin bahagia sejak bernikah apabila berkongsi luahan hati menyatakan ‘Betapa indahnya dicintai olehmu’. Oh, romantiknya!
Pada hari pernikahan, Sabina kelihatan anggun dalam persalinan gaun labuh polos rona pastel. Kelibat bapa tersayang juga kelihatan di majlis bersejarah itu.
Menelusuri populariti Sabina, kecantikannya mula disedari ketika dia menjadi salah seorang pemain bola tampar bagi negara kelahirannya,Kazakhstan. Dia meraih perhatian luar biasa semasa menyertai Asian Junior Women’s Vollyball Championship di Taipei, Taiwan pada tahun 2014 ketika Sabina baru berusia 17 tahun. Disebabkan bakat dan wajah cantiknya dalam sukan ini, dia terus menjadi bualan sensasi di internet dan pernah mendapat gelaran ‘The World’s Most Beautiful Volleyball Player.”
Namun, terdapat segelintir pihak mempersoalkan penglibatannya dalam bidang sukan kerana beranggapan wanita cantik sepertinya tidak sesuai memilih kerjaya sebagai atlet bola tampar. Sampai wajah cantik Sabina sentiasa menjadi bualan berbanding bakatnya dalam arena sukan berkenaan. Setiap kali kelibat Sabina muncul dalam sesuatu pertandingan, penonton akan memberi sepenuh tumpuan kepada wanita berusia 24 tahun ini. Disebabkan ‘tumpuan’ itu, jurulatih Sabina kurang senang dengan limelight yang diberikan kepada atlet cantik ini kerana ia memberi kesan dan mengganggu perhatian pemain yang lain.
Sudahnya, Sabina jarang mendapat peluang untuk beraksi dalam beberapa perlawanan dan tidak mampu mengembangkan bakatnya. Malah, dia juga menerima kritikan kerana dikatakan terlalu cantik untuk bermain bola tampar. Sebagai atlet, pastinya perkara itu menjejaskan reputasi Sabina kerana jiwanya sudah cukup sebati dengan sukan sejak kecil.
Sabina Altynbekova merupakan anak kepada pasangan Abay Altynbekov dan Nuripa Altynbekova yang juga berkecimpung dalam arena sukan. Bapanya ialah seorang atlet ski manakala ibunya pula bergelar atlet olahraga. Tidak hairanlah Sabina sangat meminati bidang sukan! Meskipun berbakat dalam sukan, Sabina turut cemerlang dalam bidang akademik. Ibu Sabina sebelum ini mahu anak perempuannya memasuki sekolah undang-undang namun Sabina enggan dan memilih untuk menjadi pemain bola tampar.
Pada tahun 2015, Sabina menerima tawaran agensi sukan Jepun, Dentsu. Dia kemudian bermain untuk pasukan GSS Sunbeams menerusi Japan Challenge League ll selama beberapa bulan. Sebelum kembali ke Kazakhstan, Sabina mengembangkan karier profesionalnya dengan sebuah kelab bola tampar di Dubai dikenali sebagai Al-Wasl.
Dengan tercetusnya fenomena kerana wajah cantik Sabina dalam sukan bola tampar sehingga dikenali di serata dunia, jelitawan ini berjaya meraih lebih sejuta pengikut di laman Instagram. Ia pastinya menjadi medium terbaik buat Sabina untuk terus dikenali dan mengembangkan bakat dalam bidang yang diminati. Khabarnya, Sabina sudah melancarkan jenama pakaian sukan miliknya sendiri iaitu ‘S20’ yang menawarkan rekaan pakaian sukan dan aksesori berkaitan.
Kredit foto: Instagram Sabina Altynbekova
This website uses cookies.