Atlet Terjun Negara Usia 15 Tahun, Lee Yiat Qing Hadiahkan Emas, Aksi Sulungnya Raih Pujian!

Ibarat kelahiran semula jaguh terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, Datuk Leong Mun Yee dan Dhabitah Sabri – nama atlet Lee Yiat Qing kini dilihat sebagai pengganti baru selepas kemenangannya di temasya Sukan SEA 2023.

Skuad terjun negara terus menguasai Pusat Akuatik Morodok Tech, Phnom Penh apabila meraih emas ketiga menerusi atlet muda berusia 15 tahun, Lee Yiat Qing dalam acara platform wanita.

Lee Yiat Qing jarang beraksi bagi 10 meter (m) platfrom, tetapi siapa sangka atlet berusia 15 tahun itu mampu melakukan ‘keajaiban’ dalam penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA di sini hari ini.

Ketika perhatian lebih tertumpu kepada seniornya, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, Yiat Qing yang kerap beraksi dalam acara 3m papan anjal, bangkit memberi ‘percikan’ emas kepada kem terjun negara selepas memenangi acara platform wanita itu di Pusat Akuatik Morodok Techno.

 

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mengumpul 253.80 mata bagi menamatkan saingan di hadapan Bui Thi Hong Giang dari Vietnam (242.20 mata) untuk perak dan Gladies Lariesa Garina Haga dari Indonesia meraih gangsa (228.00 mata).

Bagaimanapun, hari malang buat Nur Eilisha yang turut membuat penampilan sulung, apabila terjunan keempatnya yang lemah menafikan usahanya merebut podium bersama Yiat Qing dan hanya memperoleh 227.05 mata untuk menduduki tempat keempat daripada tujuh penerjun dalam acara yang menggabungkan kedua-dua platform 10m dan 5m.

Bercakap kepada pemberita Malaysia, Yiat Qing berkata dia tidak menyangka dapat membawa pulang emas memandangkan acara platform masih agak baru baginya.

 

“Saya biasa terjun 3m papan anjal tetapi pada Sukan SEA ini saya dipilih untuk bertanding dalam acara platform dan hanya mula berlatih pada Disember lepas.

Saya tidak terlalu banyak fikir, cuma lakukan apa yang saya mampu di sini. Prestasi hari ini benar-benar bagus, saya sendiri tidak jangka boleh lakukan begitu baik. Ia merupakan kemenangan terbesar dalam kerjaya saya setakat ini. Saya gembira dan bangga kerana semua kerja keras saya akhirnya berhasil.” Yiat Qing

 

Ditanya sama ada kemenangan hari ini akan menjadi titik tolak untuk beralih ke acara platform, Yiat Qing tidak menolak kemungkinan itu, malah mula menimbangkan untuk terjun bagi kedua-dua acara.

Pada masa depan, dia juga berharap dapat bertanding dalam Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pencapaian manis Yiat Qing hari ini menyaksikan kem terjun negara semakin menghampiri misi meneruskan penguasaan di Kemboja selepas meraih dua emas sebelum ini melalui Kimberly Bong dalam acara 3m papan anjal individu wanita dan Muhammad Syafiq Puteh dalam 3m papan anjal individu lelaki.

Sumber: Bernama

Share
Published by
Norzalina