Aura DATO’ SRI SITI NURHALIZA Masih Berbisa, Dilantik Ahli Lembaga Pengarah ASWARA!

Amboi, Dato’ Sri Siti.. semenjak bersalin dan bergelar ibu kepada Siti Aafiyah, makin menjadi-jadi ‘bisanya’. Bukan saja kejayaan beliau menurunkan berat badan dan kembali langsing menjadi inspirasi kaum ibu, bahkan karier seninya hari ini semakin mencanak naik. Satu per satu pencapaian diraih isteri Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa ini dan terbaru, Dato’ Sri Siti menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) pula! Sememangnya beliau adalah lagenda muzik yang dikagumi ramai.

Dengan segala anugerah, pingat, piala dan kejayaan yang pernah diraih penyanyi tersohor negara ini sepanjang lebih dua dekad menceburi bidang seni, tidak hairanlah nama Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin dipilih untuk menyandang jawatan tersebut. Ternyata beliau layak diberikan penghormatan tersebut. Difahamkan, pelantikan Dato’ Sri Siti sebagai Ahli Lembaga Pengarah ASWARA berkuatkuasa 1 Ogos lalu yang dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

“Selama ini saya aktif dalam bidang seni, menyanyi, membuat persembahan dan menimba pengalaman. Kini, masanya untuk saya berkongsi semula apa yang saya ada dengan masyarakat. Pelantikan ini juga satu anjakan baharu kepada diri saya sendiri kerana penglibatan saya sebagai ALP Aswara ini dalam bidang pendidikan,” jelas Dato’ Sri Siti yang turut menduduki kerusi Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar.

Hadir sama pada majlis penyampaian watikan pelantikan ini adalah penyanyi veteran, Datuk A. Rahman Hassan dan pengarah filem dan drama, Rashid Sibir yang merupakan dua lagi karyawan seni sebagai Ahli Lembaga Pengarah institusi berkenaan.

Selain mereka, wartawan TV3 iaitu Azwaliza Azman juga antara individu yang dilantik sebagai ALP Aswara.

Sumber: Utusan Online

 

Share
Published by
Suzi