Perjalanan selama empat dekad merentasi industri seni tanah air bukanlah satu eprjalanan singkat buat penyanyi popular Anuar Zain. Bermula daripada seorang penyanyi kanak-kanak sekitar tahun 1983 sehinggalah menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi, Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan penggemar muzik sepanjang kerjaya seninya.
Tak hairanlah mengapa nama penyanyi kesayangan ramai ini diangkat menerima pengiktirafan sebagai Nona Men’s Legend Award sempena NONA Superhero Award 2023. Sememangnya, aura Shahrul Anuar Zain dalam seni muzik mempunyai impak yang besar dan menjadi contoh untuk generasi muda mempelajari rahsia bagaimana namanya terus meniti di bibir para peminat seni suara. Pelantun lagu ‘Lelaki Ini’ mempunyai tempat yang utuh di hati peminat dan penggemar muzik tanah air.
Empat dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan, Anuar Zain yang berusia 54 tahun tampil dengan pakej vokal lunak, senyum manis dan pesona yang kuat. Malah dia sememangnya amat bertuah kerana untaian lagu-lagu miliknya cukup popular dan menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang kariernya dalam bidang seni.
“Masya-Allah, saya amat bersyukur kerana NONA menjadi salah satu platform yang menjadi idaman semua orang seperti saya, penyanyi, pelakon dan selebriti. Dapat menempatkan diri dalam Majalah NONA bermakna ia memberi satu kedudukan yang amat tinggi.
Saya rasa amat bersyukur kerana dalam ramai-ramai selebriti, nama saya terpilih menerima pengiktirafan ini. Kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama sememangnya begitu indah dan anugerah ini adalah pencapaian dalam kerjaya saya,” ujar Anuar Zain yang terharu menerima pengiktirafan ini sekaligus menyuntik motivasi untuk lebih bersemangat menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk para peminat.
Baharu sahaja meraikan sambutan ulang tahun ke-40 dalam industri, Anuar Zain muncul dengan konsert berskala besar iaitu Anuar Zain 40th Aniiversary Concert atau AZ40 di mana ia berjaya memukau lebih 8,000 penonton yang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam.
Meskipun berdepan dengan kekangan suara yang serak kerana baru sahaja pulih dari masalah kehilangan suara ketika itu, Anuar berjaya menghiburkan penonton dengan rangkaian 20 lagu popular serta mengimbas nostalgia bersama para peminatnya.
KESAYANGAN
Ketika ditanya mengenai ‘rahsia’ bagaimana dia berjaya memenangi hati para peminatnya dalam tempoh yang lama, pelantun ‘Bila Resah’ ini melemparkan senyuman penuh bermakna.
“Saya amat terharu dengan sokongan dan dorongan para peminat yang sentiasa berada di belakang Anuar Zain dan memberi dorongan dalam kerjaya saya. Para peminat adalah kekuatan untuk saya memberikan yang terbaik di atas panggung dan apa sahaja yang saya hidangkan di pentas. Luar dari lingkungan pentas persembahan, saya menjadi diri saya iaitu Shahrul Anuar Zain dan hidup seperti individu lain,” ujar Anuar Zain Ketika ditemui di sesi fotografi sempena Nona Superhero Award baru-baru ini.
Penyanyi yang amat menghargai para peminatnya ini tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur dan penghargaan untuk para peminatnya yang memberi sokongan selama ini dalam kerjaya dirinya sebagai anak seni.
“Setiap apa yang kita lakukan, individu yang kita jumpa Allah guide untuk berada pada jalur yang betul.
Sebenarnya, saya amat bersyukur peminat memberikan perhatian terhadap apa yang saya lakukan dalam kerjaya dan kehidupan”, ujar Anuar Zain lagi.
Keperibadian dirinya yang tidak pernah lelah untuk bertemu dan melayan para peminat memberikan kebahagiaan kepada para peminat yang merasa dekat dengan penghibur kesayangan mereka.
“Saya make sure saya berikan waktu untuk para peminat kenal dan sayang kita. Alhamdulillah ini yang saya amalkan selama ini untuk sentiasa dekat di hati peminat.”
Bila melihat penampilan dirinya yang sentiasa on point, ramai yang bertanya rahsia Anuar Zain menjaga penampilan diri. Meskipun usianya kini sudah memasuki angka 50-an, soal penampilan diri tetap diberi perhatian khusus olehnya. Bagi Anuar, dia lebih mementingkan kesihatan mental dan emosi, selain menjaga pemakanan agar stamina dan kesihatan tetap berada dalam keadaan terbaik.
“Saya jaga pemakanan dan pastikan mendapat rehat yang secukupnya. Namun, yang paling penting adalah minda. Banyak perkara yang kita lalui dalam hidup. Saya pernah dijangkiti Covid-19. Saya cukup bersyukur, kesihatan saya okey, walaupun ada yang kata untuk pulih daripada kesan selepas Covid-19 itu mengambil tempoh sekurang-kurangnya lebih setahun.
Saya rasa semangat dan sokongan rakan-rakan dan pihak pengurusan saya banyak memudahkan saya untuk memberikan tumpuan kepada konsert ini. Alhamdulillah, emosi dan kesihatan mental terjaga dan saya bersyukur kerana dapat fokus untuk kerjaya saya.
MENCINTAI
Biarpun terus bersendirian, itu tidak bermakna Anuar menafikan fitrah manusia untuk mencintai dan dicintai. Andai sampai seru dan ditakdirkan Allah untuk dirinya jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga, Anuar memberitahu, dia terima ketentuan itu dengan hati terbuka.
“Percaya atau tidak, saya masih lagi memikirkan soal jodoh. Saya percaya institusi perkahwinan kerana itu adalah sunnah dan seelok-eloknya buat kita. Jodoh itu rahsia Allah, kita tidak akan tahu bila. Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berdoa.”
Sehingga ke hari ini, belum terdengar Anuar menjalin hubungan cinta, selain sekadar gosip yang kemudiannya hilang dibawa angin lalu. Adakah sukar sebenarnya untuk mendekati dan menawan hati Anuar Zain?
“Bagi saya karakter dan personaliti adalah paling penting. Kena sentiasa positif. Saya suka berborak pasal isu semasa dan hal berkaitan sejarah. Saya mahu berjumpa seseorang yang boleh bersembang apa sahaja… Itu sangat penting. Rupa pada saya jatuh tempat kedua atau ketiga. Personaliti kena selari dengan saya kerana tak dinafikan, saya ini sangat rumit dan sensitif orangnya,” katanya.
Namun, percaya dengan qada dan qadar, Anuar berkata, jika ditakdirkan dia terus hidup solo buat selama-lamanya, Anuar reda dengan ketentuan itu. “Saya terima apa sahaja takdir Allah dengan hati terbuka. Kalau ada jodoh, saya akan terima. Tapi jika tiada jodoh di dunia, mungkin jodoh saya di alam sana. Jika ada rezeki yang diberi Allah, saya kahwin,” katanya mengakhiri bicara.