
Makin cantik berseri-seri wajah Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah. Pesona dan aura puteri diraja Pahang ini ketika hadir pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim nyata mencuri perhatian khalayak.
Penampilan Tengku Puteri Afzan dalam persalinan kurung hitam yang lengkap berhijab rona sedondon menyerlahkan lagi seri wajah anakanda Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ditambah pula solekan cantik oleh makeup artist popular, Rozlan Nassir yang natural sekaligus menyerlahkan kejelitaan semula jadi jelitawan ini. Apatah lagi puteri diraja Pahang berkenaan memiliki kulit wajah mulus dan licin.
Sejak Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai lalu, momen dan gambar Tengku Puteri Afzan bertebaran di media sosial. Rata-rata warga maya memuji keanggunan beliau.



Bakal menginjak usia 24 tahun pada 11 September depan, beliau merupakan pasangan kembar kepada YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kedua-duanya disifatkan anak yang taat kepada ibu bapa. Selain dikurniakan raut wajah cantik dan kacak serta berpendidikan tinggi.
Puteri berusia 24 tahun ini ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains University of London di Egham, Surrey, United Kingdom.




Baru-baru ini tular desas-desus mengatakan puteri berkenaan bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang jejaka dikenali sebagai Fd Idzham.
Ia selepas komen Tengku Ampuan Pahang di platform TikTok menghebahkan perkahwinan Tengku Puteri Afzan yang bakal diadakan pada Ogos nanti.


Pun begitu, kenyataan rasmi daripada Istana Pahang belum mengesahkan mengenai khabar angin tersebut.
Tip Cantik Liza Soberano ‘Elak Mekap Jika Boleh’

Pelakon terkenal Liza Soberano mungkin tidak asing di bumi Filipina. Manakan tidak, Liza yang merupakan selebriti wanita berkacukan Filipina-Amerika ini cukup berbakat besar selepas muncul dalam siri Forevermore. Selepas itu, populariti Liza dilihat semakin menyerlah apatah lagi dikurniakan penampilan dan raut wajah yang sangat jelita.
Wajahnya juga sudah beberapa kali tersenarai dalam senarai “The 100 Most Beautiful Faces”. Liza mengungguli senarai tersebut pada tahun 2017, dan juga tahun-tahun seterusnya. Selain itu, aura dan personaliti Liza Soberano kian menjadi dambaan kempen jenama kecantikan seperti Maybelline dan lain-lain.
Jadi apa rahsia kecantikan dan keanggunannya? Menurut Cosmo Filipina, ini dia tip kecantikan Liza Soberano yang boleh anda aplikasikan.
- Hidrasi itu penting!
“Saya mempunyai kulit yang kering sejak kecil dan salah satu petua kecantikan terbaik yang saya amalkan adalah untuk sentiasa memastikan kulit saya lembap.”
- Biarkan kulit mengelupas dengan sendirinya.
Kanak-kanak perempuan dengan kulit kering, sila ambil perhatian: “Saya sering menggosok dan menggaru kulit saya bila ia mengelupas. Lama kelamaan saya menyedari ianya tidak baik untuk kulit dan hanya akan menjadikannya semakin kering. Apa yang saya buat. Saya akan membiarkan kulit saya mengelupas dengan sendirinya.”
- Tanggalkan solekan secepat mungkin.
Disebabkan kesibukan sesi penggambaran dan rakaman, Liza mengakui kulitnya perlu dan selalu disolek. “Bila kulit anda terdedah dengan bahan alat solek untuk tempoh masa yang lama, ia akan menyebabkan kulit wajah anda kusam dan kering. Jadi, saya pasti akan mencuci muka dan menanggalkan solekan sebaik sahaja kamera berhenti merakam”.
- Elak mekap jika boleh
“Saya sebenarnya lebih suka keluar rumah dengan gaya natural tanpa solekan. Saya hanya akan memakai balsem bibir”, jelas Liza. Memandangkan kulitnya terdedah kepada banyak tekanan, inilah cara dia memastikan kulitnya tidak berjerawat atau mengelupas.

- Kulit anda juga perlukan bantuan
Apabila bercakap tentang penjagaan kulit, Liza juga turut mendapatkan rawatan menerusi Program Kualiti Kulit yang disesuaikan daripada Dr. Vicki Belo. Salah satu rawatan kegemarann Liza dari Belo Medical Group ialah Angel Whitening, yang membantu menjadikan kulitnya “lebih ringan, lebih cerah dan kelihatan segar selepas itu.”
Kredit foto: Instagram (@lizasoberano)
Kenal 3 Hari Dah Ajak Kahwin, DATIN NOOR KARTINI Terharu Suami Terima Dirinya Ibu Tunggal 5 Anak!

Inilah yang dinamakan jodoh! Tak kira status mahupun pangkat, jika takdir sudah tertulis sebagai suami isteri maka terjadilah. Pendedahan ibu kepada selebriti cantik Noor Neelofa Mohd Noor, Datin Noor Kartini mengenai detik perkenalan dirinya dan suami iaitu Dato’ Abdul Halim Khan baru-baru ini nyata mengundang reaksi positif warga net.
Bersempena ulang tahun perkahwinan mereka, Datin Noor Kartini secara eksklusif berkongsi sisi peribadi tersebut dengan followers tersayang. Semuanya selepas dia mendapat pertanyaan ramai yang ingin mengetahui kisah percintaannya bersama suami tercinta. Lantas, ibu sembilan anak ini akhirnya membuka cerita di Instastory miliknya.
“Happy anniversary sayang. You are truly a blessing from Allah SWT. Terima kasih sayang atas segala kasih sayang, segala nikmat kehidupan yang kita lalui bersama. Terima kasih sayang menjadi contoh yang baik kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
Terima kasih telah menjadi suami yang pengasih, sahabat yang penyayang dan teman yang setia. Moga kita akan bersama hingga ke syurga. Amiin. Love you sayang.”



Menurut Datin Noor Kartini, dia dan suami mula berkenalan daripada seorang rakan mereka yang bergelar ‘Dato’. Pada awal perkenalan, mereka hanya berbalas pandangan ketika masing-masing berada di dalam kereta yang berasingan.
Bagaikan panahan asmara, ‘Dato’ yang memperkenalkan Datin Noor Kartini dan Dato’ Abdul Halim mengajak mereka berdua untuk keluar makan.
“Malam tu Dato’ tanya mama free tak nak ajak keluar makan. Mama pun keluar dan tiba-tiba uncle pun ada dekat situ. Lepas saja jumpa masa tu, mama terkejut sebab tiba-tiba esok lusa uncle nak kahwin dengan mama. Baru kenal 3 hari dan dia tahu mama ada anak 5 orang. Allah mudahkan jodoh kami.”
Dedah Datin Noor Kartini lagi, dia bersyukur suami menerima anak-anak dengan baik dan menyifatkan Dato’ Abdul Halim Khan seorang suami yang sangat bertanggungjawab.





“Uncle ni penuh kasih sayang dan kasih sayang dia sangat besar. Dia sangat menghormati dan menjaga mak dia. Dia jaga, menghormati dan membahagiakan mama juga. Rasanya ni asbab kejayaan uncle dalam kehidupan dia.”
Tambah ibu jelita ini lagi, sikap suami yang tidak pernah berkira dengan anak-anak membuatkan dia lebih bersyukur. Malah, suami melayan kesemua anak secara sama rata dan sebab itu dia menjadikan insan berjiwa murni berkenaan sebagai tulang belakang dalam mengusahakan bisnes.
“Dulu sebelum mama ada bisnes sebenarnya uncle dah mula bisnes. Masa tu semua family mama dia bantu yang mana tak berkemampuan. Alhamdulillah.
Mama bersyukur sangat sebab bukan senang nak cari seorang lelaki yang budiman menerima seorang ibu tunggal macam mama dan anak-anak dengan ikhlas.”






Sembilan anak Datin Noor Kartini ialah Noor Sara Dinna, Noor Nabila, Noor Neelofa, Noor Nellisa, Nur Athira, Mohamed Aqief, Nur Athisha, Nur Ameera dan Mohamed Faliq. Selain itu, Datin Noor Kartini juga merupakan usahawan Kucate, Young and Glow dan Aunty Tini Kitchen.
Suasana Indah Menutupi Cakap-Cakap Yang Boleh Membatalkan Niat Kita untuk Beribadah Di Tanah Allah Ini!

Biarpun dengan sedikit persiapan mental, tetapi nyata masih terlihat rasa kegelisahan, kebimbangan dan cuak silih berganti, kala saya dan 25 ahli rombongan yang mengikuti pakej perjalanan ziarah Baitulmaqdis dan Umrah bersama AZ Safir Travel & Tours Sdn Bhd tiba di kawasan imigresen Israel. Pesanan telah diberikan oleh Ustaz Dr Haji Syed Abdul Aziz supaya jangan memberi riak wajah terlalu takut, tenang, beri kerjasama jika ditahan dan jangan mengambil sebarang gambar ketika berada di kawasan sempadan tersebut. Ustaz yang bertindak sebagai mutawif akan sentiasa berada bersama ahli rombongan, tidak akan meninggalkan seorang pun di situ.
InsyaAllah semuanya dipermudahkan. Selagi kita sudah memiliki visa untuk melawat negara tersebut tidak perlu terlalu risau walaupun mungkin dalam kumpulan kita, dua atau tiga orang akan ditahan untuk soal siasat tanpa sebarang sebab. Jika kita tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mengundang tindakan pihak Yahudi Israel, kenapa perlu takut! Mereka dan kita sama sahaja, manusia. Bezanya mereka memeluk senjata berbahaya dan kita sebatang kara yang hanya bergantung pada Tuhan yang satu.
Alhamdulillah, setelah dua jam melalui proses untuk masuk ke bumi Palestin, saya dan teman lain menguntum senyuman manis kala bas mula bergerak meninggalkan kawasan imigresen. Syukur semuanya selamat! Biasa dengar tentang keadaan yang bahaya dan bermacam lagi cerita mengenai keadaan di dua negara ini tetapi apabila saya sampai di sana, ia sebenarnya berbeza dengan apa yang sering digambarkan. Apa yang boleh saya katakan, tempat-tempat tersebut suasananya harmoni dan persekitarannya bersih. Hakikatnya, pengalaman indah dan menarik jauh lebih banyak berbanding sedikit situasi cemas dan menakutkan yang dialami di kawasan imigresen. Bumi Palestin ini bukan sahaja selamat tetapi indah dengan pelbagai pemandangan menarik yang tidak terdapat di negara kita sendiri.
Perjalanan kami menuju ke kota Jericho antara kota terindah dunia yang menjadi sebutan. Ruang lingkup sejarah yang menakjubkan dan tempat suci untuk beribadat bagi tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam yang direbut sehingga ke hari ini. Berada di Bukit Zaiton, saya dapat menikmati keindahan landskap kota Jerussalem yang terhampar luas, indah eksotik dan sempurna. Dari situ, saya bisa melihat Masjid Aqsa yang berdiri anggun berdampingan dengan Dome of the Rock di Bukit Moriah, syukur alhamdulillah. Sejumlah menara masjid dan gereja juga nampak berdiri megah berdampingan di antara ribuan perumahan mewah, kawasan perkuburan dan suasana kehijauan.
Suasana senja waktu itu, memukau pandangan lalu menarik hati dan jiwa saya untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan ini. Seperti tidak percaya yang saya telah berada di bumi Baitulmuqaddis ini. Menikmati keindahan Al-Aqsa dan pemandangan kota Jerusalem, membuat kita sejenak akan melupakan bahawa ada konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin. Semoga damai akan segera terwujud di tanah suci tempat saksi lahirnya tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam.
Setelah puas saya dan rombongan menikmati pemandangan, kami dibawa ke hotel New Metropole Hotel Jerusalem tidak seberapa jauh dari kawasan Masjid Al-Aqsa. Jarak berjalan kaki yang tidak begitu jauh itu, memudahkan bagi kami untuk berulang-alik menunaikan solat di sana. Walaupun setiap pintu masuknya dikawal oleh tentera Israel, tapi saya percaya dengan niat yang ikhlas, insyaAllah semuanya dipermudahkan. Ustaz Aziz sentiasa ada bersama, membawa kami dengan selamat. Hati ini memang tak sempat-sempat lagi menahan keinginan untuk bersolat di situ. Selesai menjamu selera dan berehat seketika, malam itu juga kami turun dan berjalan ke arah Masjid Al-Aqsa. Malam agak gelap, cuaca sejuk dan kami terpaksa memakai sweater untuk mengelakkan dari kesejukan. Kami berjalan dan berjalan menyusuri lorong kecil, kiri dan kanan gerai bazar lama ‘Old City Jerusalem’.
Sedkit rasa penat kerana turun tangga naik tangga, tetapi saat kedua mata ini nampak “Dome of the Rock”, riangnya hati ini tidak dapat saya gambarkan perasaan itu. Dalam Dome of the Rock ni ada sebuah batu yang dikatakan tempat Nabi Muhammad S.A.W berdiri sebelum naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj dan batu ini mahu mengikuti Rasulullah tetapi dihalang dan ia tergantung. Kami terus berjalan menuju ke bawah, lalu terlihatlah Masjid Al-Aqsa. Alhamdulillah, sujud syukur saya tidak terhingga dan kami sempat menunaikan solat Isyak pada malam tersebut. Rasa satu kepuasan di hati dapat juga bersolat di masjid yang ketiga pentingnya selepas Masjid di Madinah dan di Mekah. Menurut kata Ustaz Abdul Aziz bersolat satu waktu di Masjid Al-Aqsa ganjarannya 500x kita bersolat, kalau di Madinah 1,000x dan di Mekah 100,000x. Begitulah istimewanya ketiga-tiga masjid ini.
Jelas sekali, saat tiga hari saya menghabiskan masa berada di kawasan Masjid Al-Aqsa ini suasananya sangat tenang, terutama pada waktu subuh. Oh! Ingin saja saya membawa semua pembaca untuk berimaginasi berjalan dalam suasana indah dengan rimbunan pohon zaitun yang berusia ratusan tahun yang menjadi simbol kekuatan masyarakat Palestin mengelilingi kawasan tersebut. Di waktu petang, saya dapat melihat kanak-kanak riang berlari dan bermain, keluarga kecil wanita dan lelaki tua duduk berkelah sepertinya tiada apa peristiwa yang berlaku dalam sejarah perjalanan hidup mereka di bumi Palestin ini. Nyata, suasana indah menutupi cakap-cakap yang boleh membatalkan niat kita untuk beribadah di tanah yang diberkati Allah ini.
Momen lebih bermakna lagi apabila saya dan ahli rombongan sentiasa diberi input perkongsian kisah sejarah Al-Aqsa oleh Ustaz Abdul Aziz, ditambah lagi ilmunya oleh tour guide dari Jerussalem sendiri. Jika saya ingin berkongsi setiap satu momen perjalanan di bumi Baitulmuqaddis terlalu panjang untuk diungkaikan kerana setiap perjalanan dan tempat yang dibawa itu mempunyai nilai sejarah Islam yang tinggi. Di Masjid Al-Aqsa sahaja, saya dibawa melawat Masjid Marwani, Masjid Buraq dan Dome of Rock. Lawatan lain selama empat hari tiga malam, saya dan rombongan dibawa ke Hebron melawat Makam Nabi Ibrahim, Makam Nabi Ishak, Makam Nabi Yaakub dan Makam Nabi Yusuf. Selain turut melawat Makam Nabi Musa, Makam Nabi Daud dan meninjau dinding “The Wailing Wall atau Crying Wall” tempat suci orang Yahudi berdoa. Jelas kedatangan kita di bumi Palestin ini memberi kita banyak ilmu tentang sejarah anbia, selain membantu saudara Islam dan memberi kekuatan kepada mereka.
Datanglah ke Palestin, jangan takut dan bimbang, jangan biarkan saudara seislam kita di Palestin berjuang sendiri dalam menegakkan tempat suci umat Islam ini. Yang penting, kita datang dan tinggal di hotel milik orang Islam Palestin, makan-minum dan membeli-belah di kedai milik orang Islam Palestin. Ia sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi mereka, insyaAllah. Saya berharap jika anda punya rezeki serta kesihatan yang baik, pergilah rasai sendiri suasana di sana kerana saya tidak mampu untuk berkongsi semua momen indah itu di sini.
Semasa berada di Jerussalem, saya akui memang agak penat tetapi berbaloi dengan apa yang diperoleh. Kepuasannya tidak sama seperti mana saya pernah melancong ke negara lain. Alhamdulillah dengan kerjasama oleh pihak agensi AZ Travel & Tours Sdn Bhd yang menjaga keselesaan setiap ahli rombongan, kebajikan, makanan dan seterusnya menjadikan semuanya lebih sempurna. Bahagia dan syukur sekali saya kerana berkesempatan menyertai rombongan ini, walaupun pada awalnya ada juga rasa cuak untuk pergi bercuti bersama rombongan beramai-ramai. Tetapi nyata, percutian ini telah membuka ruang kepada saya untuk mengenali lebih banyak sahabat baru dan memperoleh ilmu pengetahuan berguna tentang keagungan Tamadun Islam dan kisah para Nabi.
Selain itu, perjalanan ziarah ini turut membawa saya untuk berada di Amman, Jordan. Walaupun hanya untuk seketika, tetapi saya turut dibawa untuk melawat Laut Mati, Makam Nabi Shuib dan sekitar bandar Amman yang cukup indah sekali. Melalui Amman saya dan rombongan masuk ke bumi Palestin dan melalui Amman juga perjalanan saya diteruskan menuju ke Madinah dan Mekah bagi melaksanakan ibadah Umrah, bagi melengkapkan perjalanan Umrah Ziarah saya selama 14 hari bersama AZ Travel & Tours Sdn Bhd. Yang paling best! Kala mengerjakan Umrah di Makah dan Madinah, Ustaz Aziz sendiri akan membawa kita berjalan di sekitar Masjid Nabawi dan Masjid Haram, sambil duduk bercerita, berkongsi ilmu tentang sejarah Nabi. Selain itu, kita juga berkesempatan untuk bersoal jawab tentang perkara-perkara yang musykil dalam perjalanan seharian kita sebagai umat Islam.
Sejujurnya, saya amat bersyukur dan seronok sekali mengikuti pakej ziarah umrah ini. Jika diberi peluang dan rezeki, ingin sekali lagi merasai nikmat ini. Akhir kata, usah risau, tiada yang sukar seperti yang sering kita dengar. Yang penting jaga hati, jaga niat, jaga tingkah laku. Pergilah ziarah di bumi Palestin dan melaksanakan umrah kala masih muda sementara tenaga masih kuat dan sihat. Kita akan berasa tenang, terisi rohani, meningkatkan ilmu pengetahuan dan pastinya membawa damai di dalam diri. InsyaAllah.
Catatan Ringkas,
Kiffy Razak