Tumpang gembira dengan kehidupan penyanyi muda, Syasya Rizal sekarang. Bukan hanya ‘berhijrah’ dari segi penampilan ke arah lebih baik dan menutup aurat, bahkan kian bahagia melayari hidup sebagai isteri dan kini berstatus ibu.
15 Januari lalu, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal genap berusia 24 tahun. Tindakan figura ini yang nekad berundur daripada menjadi anggota kumpulan wanita popular, Dolla dari tahun 2019 hingga 2024 nyata mengejutkan peminat.
Difahamkan Syasya Rizal meninggalkan kumpulan itu ketika kerjaya seninya berada di puncak dan atas sebab peribadi. Bagaimana pun dia tidak menoleh ke belakang dan makin ‘laju’ merencana masa depan.
Pelancaran lagu raya baharu ‘Raya Pum Pang’ bersama Fazura pada 7 Mac lalu mendapat sambutan hangat daripada pendengar. Sehingga kini, lagu berkenaan meraih hampir sejuta tontonan di saluran YouTube.
Jelitawan ini turut menyifatkan momen dapat kembali rakam lagu raya ini seperti hadiah kecil untuk peminat yang merindui suaranya. Malah dia juga menampilkan anak lelakinya dalam video muzik Raya Pum Pang.
Syasya Rizal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya, Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember 2024 yang diberi nama Muhammad Yassir Hayyan.
This website uses cookies.